Timur Tengah melabuh tirai 2025 dengan landskap politik dan keselamatan yang berubah secara ketara.
Selepas dua tahun konflik bersenjata yang memusnahkan nyawa dan masyarakat, rantau ini kelihatan berada hampir dengan satu titik perubahan bersejarah.
Beberapa konflik utama tidak lagi berada pada tahap kemuncak keganasan seperti sebelumnya, dan terdapat isyarat awal ke arah diplomasi serta penyusunan semula hubungan serantau.
Namun, sama seperti banyak detik penting dalam sejarah Timur Tengah dan Asia Barat, peluang ini kekal rapuh dan bergantung kepada kesediaan ‘aktor’ utama untuk melakukan penilaian semula strategik yang mendalam.
Menjelang 2026, rantau ini menunggu dua perubahan strategi besar.
Pertama, di Israel, sama ada pemerintah mampu beralih daripada kemenangan ketenteraan kepada penyelesaian politik yang mampan.
Kedua, di Iran, sama ada kepimpinan di Teheran sanggup meninggalkan strategi lama yang kini semakin tidak berfungsi.
Kegagalan melakukan perubahan ini berisiko menjadikan 2026 satu lagi tahun yang tidak sepenuhnya aman, tetapi juga tidak cukup berani untuk mencapai keamanan sebenar.
Selepas satu lagi tahun yang sarat dengan perkembangan penting dan perubahan besar, Timur Tengah dan Asia Barat memasuki 2026 dalam keadaan yang serba tidak menentu.
Di satu sisi, rantau ini kelihatan hampir mencapai titik perubahan bersejarah yang berpotensi menamatkan konflik berpanjangan dan membuka ruang kepada integrasi serantau.
Namun di sisi lain, peluang itu masih rapuh dan bergantung kepada kesediaan ‘aktor-aktor’ utama, khususnya negara-negara serantau dan Amerika Syarikat, untuk melakukan penilaian semula strategik yang sukar tetapi perlu.
Tanpa perubahan tersebut, proses yang dimulakan pada 2025 berisiko berakhir sebagai satu lagi episod penuh harapan yang tidak menjadi kenyataan.
Di Israel, pemerintah telah memenangi banyak pertempuran ketenteraan, namun gagal membangunkan strategi untuk beralih daripada konflik bersenjata yang terbuka kepada susunan politik yang mampan.
Hamas di Gaza telah dilemahkan secara ketara, tetapi tiada pelan jelas sama ada dalam kerangka satu negara atau dua negara bagi menjamin masa depan selamat 7 juta penduduk Yahudi Israel yang hidup bersama kira-kira 7 juta rakyat Arab.
Pelan damai 20 perkara yang diperkenalkan Presiden Donald Trump merupakan satu anjakan positif, namun ia memerlukan susulan diplomatik yang konsisten. Tanpa kerangka politik yang jelas, kejayaan ketenteraan Israel kekal bersifat sementara dan gagal diterjemahkan kepada kestabilan jangka panjang.
Di utara Israel, konflik telah membuka ruang kepada kemunculan kepimpinan baru di Syria dan Lebanon.
Namun tindakan ketenteraan Israel yang tidak terhad serta ketiadaan penyelarasan strategik telah melemahkan proses kebangkitan semula negara-negara ini.
Rundingan yang kini berlangsung antara Israel dengan Syria dan Lebanon merupakan petanda positif, tetapi kemajuan yang perlahan berisiko menggagalkan potensi penstabilan.
Status quo semasa tidak mampan. Tanpa langkah diplomatik yang lebih tegas dan terkoordinasi, konflik terbuka antara Israel dan Syria berpotensi tercetus, sekali gus mengancam proses peralihan Syria yang masih rapuh.
Sokongan Amerika terhadap kepimpinan peralihan Syria berterusan, termasuk pemansuhan sekatan dan kerjasama keselamatan.
Namun cabaran besar masih belum diselesaikan: pendudukan Israel, integrasi Pasukan Demokratik Syria dan krisis Suwayda. Tanpa penyelesaian terhadap isu-isu ini, peralihan Syria berisiko tergelincir ke arah konflik baru.
Dalam dunia Arab yang lebih luas, Arab Saudi kekal sebagai penentu arah.
Kerajaan itu masih bersedia untuk mencapai perjanjian pemulihan bersejarah dengan Israel, dengan syarat Israel mampu menawarkan masa depan yang bermaruah kepada rakyat Palestin.
Namun ketiadaan strategi jelas dari pihak Israel menyebabkan peluang ini terus tergantung.
Kegagalan merebut peluang ini bukan sahaja menjejas hubungan Israel-Arab, tetapi juga mengekalkan jurang integrasi serantau yang selama ini menjadi sumber ketidakstabilan.
Penilaian semula strategik yang lebih mendesak diperlukan di Teheran.
Strategi 30 tahun Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan Ayatollah Ali Khamenei untuk mengekang Israel melalui rangkaian sekutu dan proksi kini berada dalam keadaan runtuh.
Program nuklear Iran rosak teruk, ekonominya tenat, sumber air semakin susut, dan sokongan domestik semakin terhakis.
Walaupun perdebatan strategik dalaman semakin rancak, dasar luar Iran masih bergerak secara rutin tanpa pembaharuan yang jelas, terus bergantung kepada kumpulan bersenjata sekutu dan retorik ancaman terhadap Israel serta Amerika, tanpa memperlihatkan kesediaan serius untuk merintis haluan baru melalui rundingan yang bermakna.
Iran memasuki 2026 dengan gabungan tekanan luaran dan dalaman yang belum pernah berlaku sejak tamat Perang Iran-Iraq. Hubungannya dengan Barat semakin tegang, sokongan Russia dan China bersyarat, dan pertikaian wilayah dengan negara Teluk meningkatkan risiko konfrontasi berganda.
Di dalam negara, sistem politiknya semakin rapuh. Persaingan dalaman, krisis ekonomi dan ketidakpuasan awam meningkatkan kebarangkalian protes baru.
Iran kini berada di persimpangan antara kelangsungan ideologi dan keperluan pemulihan ekonomi – satu dilema yang akan menentukan hala tuju negara itu.
Dalam tahun pertama penggal keduanya, Presiden Trump memberikan perhatian luar biasa kepada Asia Barat, mungkin yang paling intensif sejak era mantan Presiden Barack Obama pada 2009.
Lawatan beliau ke rantau ini pada Mei dan Oktober, usaha diplomasi ekonomi, perjanjian perniagaan, serta gencatan senjata Israel-Hamas menandakan penglibatan aktif Washington.
Antara langkah strategik utama pentadbiran Trump ialah pengukuhan hubungan dengan kuasa ekonomi serantau seperti Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Israel; penglibatan pragmatik dengan kepimpinan baru Syria; pencapaian gencatan senjata di Gaza; serta operasi ketenteraan terhad terhadap program nuklear Iran.
Namun, pendekatan ini turut mengundang risiko. Tanpa usaha diplomatik harian yang rapi dan berterusan, cita-cita besar Encik Trump berpotensi terperangkap dalam apa yang boleh digambarkan sebagai “kompleks Icarus” – iaitu kecenderungan untuk menetapkan sasaran terlalu tinggi berasaskan keyakinan diri yang besar, tetapi tanpa sokongan pelaksanaan yang cukup kukuh untuk mengekalkannya.
Pelan damai 20 perkara yang diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan legasi diplomatik utama Encik Trump pada 2025.
Namun dengan fasa pertama gencatan senjata hampir selesai, cabaran sebenar kini bermula. Aliran bantuan masih tidak mencukupi, korban awam terus berlaku dan Gaza berada dalam keadaan jeda yang rapuh.
Fasa kedua yang melibatkan tadbir urus peralihan, keselamatan antarabangsa dan pelucutan senjata Hamas dijangka bergerak perlahan.
Hamas masih mempunyai keupayaan tawar-menawar, Israel enggan berundur sepenuhnya, dan penyumbang pasukan antarabangsa berhati-hati untuk terlibat tanpa mandat jelas.
Dalam konteks ini, jangkaan terhadap kejayaan perlu direndahkan.
Kebimbangan utama menjelang 2026 ialah kebarangkalian konflik bersenjata kembali tercetus.
Israel bimbang Iran akan membina semula keupayaan peluru berpandu dan mengaktifkan proksi serantau.
Sekiranya pelaksanaan pelan Gaza terus tergendala, Israel mungkin kembali meningkatkan operasi ketenteraan.
Di Lebanon, usaha melucutkan senjata Hezbollah semakin kehilangan momentum.
Di Syria pula, tindakan ketenteraan Israel berterusan tanpa penyelesaian politik yang jelas.
Mesir memainkan peranan penting dalam kestabilan Asia Barat, namun berdepan tekanan serentak di pelbagai arah.
Konflik di Gaza, Sudan dan Libya memberi kesan langsung kepada keselamatan dan ekonomi negara itu.
Penurunan hasil Terusan Suez akibat serangan Houthi, kemasukan pelarian Sudan, serta tekanan domestik menjadikan kestabilan Mesir satu keutamaan serantau.
Walaupun terdapat perkembangan positif dari segi makroekonomi, tekanan luar yang berterusan menuntut pengurusan krisis yang berpanjangan.
Pada awal 2025, Ankara menilai Syria sebagai antara agenda dasar luar yang paling berpotensi dan strategik.
Namun, kembalinya Encik Trump ke Rumah Putih serta kejatuhan mantan Presiden Bashar al-Assad menimbulkan harapan bahawa konflik yang berlarutan lama akhirnya boleh bertukar menjadi peluang strategik.
Pegawai Turkey menjangkakan pengunduran tentera Amerika, penamatan kerjasama Washington dengan pasukan Kurdi Syria yang dikaitkan dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), serta pembaikan hubungan Turkey-Amerika.
Kerajaan baru yang mesra di Damsyik pula diharap dapat mengecilkan autonomi Kurdi, melucutkan senjata kumpulan bersenjata, dan membuka semula Syria kepada kepentingan perniagaan Turkey, khususnya sektor pembinaan yang rapat dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Namun menjelang penghujung tahun, jangkaan itu gagal menjadi kenyataan.
Syria kini muncul sebagai antara cabaran paling rumit bagi Ankara menuju 2026.
Turkey berdepan dua isu mendesak.
Pertama, rundingan yang tergendala antara Damsyik dan Pasukan Demokratik Syria (SDF). Walaupun satu persefahaman dicapai pada 10 Mac dengan sokongan Ankara, pelaksanaannya hampir tidak bergerak.
Kedua-dua pihak saling menuduh melanggar perjanjian, sementara pertempuran kecil di kawasan kawalan bersama mencerminkan ketidakpercayaan yang berterusan.
Cabaran kedua ialah operasi ketenteraan Israel di Syria.
Ankara bimbang selagi Israel terus aktif, pihak Kurdi tidak akan terdorong untuk berkompromi dengan Damsyik. Justeru, Turkey meletakkan harapan pada rundingan yang dimediasi Amerika antara Israel dan Syria.
Namun, walaupun wujud persefahaman terhad, jurang besar masih kekal, menjadikan sebarang perjanjian rapuh dan bersifat sementara.
Bagi Ankara, 2026 diharapkan menjadi tahun penyelesaian. Namun realitinya, laluan ke arah itu kelihatan penuh ketidaktentuan.
Asia Barat melangkah ke 2026 dengan peluang yang wujud tetapi amat rapuh. Sama ada peluang itu dapat diterjemahkan kepada kemajuan sebenar bergantung kepada kesediaan ‘aktor-aktor’ utama untuk melakukan susulan strategik yang konsisten dan berani.
Tanpa komitmen politik yang jelas, diplomasi yang teliti dan berterusan, serta keberanian untuk menangani punca sebenar konflik, rantau ini berisiko menyaksikan satu lagi tahun di mana keganasan mungkin reda, namun keamanan yang mampan terus gagal dicapai.
Jika Asia Barat mahu mengelakkan 2026 daripada menjadi satu lagi tahun yang terbuang, keputusan sukar tidak lagi boleh ditangguhkan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg