Topik diikuti
Pergi ke BHkuLonjakan saham SpaceX tambah kekayaan putera Saudi dan Elon Musk
Lonjakan saham SpaceX tambah kekayaan putera Saudi dan Elon Musk
Firma pelaburan milik putera catat kenaikan saham sehingga lima peratus selepas nilai pegangan syarikat dalam SpaceX meningkat kepada hampir AS$7b
Lonjakan saham SpaceX tambah kekayaan putera Saudi dan Elon Musk
RIYADH: Lonjakan besar saham syarikat aeroangkasa Amerika Syarikat, SpaceX, selepas penyenaraiannya di Nasdaq bukan sahaja mengukuhkan kedudukan pengasasnya, Elon Musk, malah turut melonjakkan kekayaan salah seorang putera terkaya Arab Saudi, Putera Alwaleed Talal.
Firma pelaburan milik putera itu, Kingdom Holding Company, mencatat kenaikan saham sehingga lima peratus pada pembukaan dagangan pada 14 Jun selepas nilai pegangan syarikat itu dalam SpaceX meningkat kepada hampir AS$7 bilion (S$9.5 bilion).
Menurut kenyataan syarikat kepada Bursa Saudi, Kingdom Holding memiliki 42.4 juta saham SpaceX bernilai sekitar AS$6.83 bilion berdasarkan harga penutupan saham syarikat teknologi itu pada hari pertama dagangannya.
“Kami melihat perkembangan ini sebagai pencapaian penting dalam strategi pelaburan teknologi jangka panjang syarikat,” menurut kenyataan Kingdom Holding.
SpaceX, yang secara rasmi dikenali sebagai Space Exploration Technologies, memulakan dagangan pada 12 Jun selepas berjaya mengumpulkan AS$75 bilion dalam tawaran awam permulaan (IPO), sekali gus menjadi IPO terbesar dalam sejarah Wall Street.
Saham syarikat itu ditutup melonjak 19 peratus kepada AS$160.95 sesaham, memberikan pulangan puluhan bilion dolar kepada pelabur awal termasuk Kingdom Holding.
Lonjakan itu turut meningkatkan nilai kekayaan Putera Alwaleed kepada lebih AS$27 bilion, tertinggi dalam tempoh sedekad menurut Indeks Bilionair Bloomberg.
Pelaburan Kingdom Holding dalam SpaceX bermula secara tidak langsung menerusi pegangan syarikat itu dalam Twitter pada 2011 sebelum syarikat media sosial itu dibeli Elon Musk pada 2022 dan dijenamakan semula sebagai X.
Melalui beberapa transaksi melibatkan X dan syarikat kecerdasan buatan (AI), xAI, pegangan tersebut akhirnya bertukar menjadi saham dalam SpaceX.
Dalam pemfailan kepada Bursa Saudi, Kingdom Holding menjelaskan saham SpaceX yang dimilikinya tertakluk kepada tempoh pegangan minimum sehingga 180 hari selepas penyenaraian.
“Pegangan saham ini akan terus dinilai semula berdasarkan harga pasaran semasa pada setiap tempoh laporan kewangan,” menurut syarikat itu.
Dengan harga penutupan terkini, nilai pasaran SpaceX kini dianggarkan sekitar AS$2.1 trilion, menjadikannya antara syarikat paling bernilai di dunia.
Kejayaan penyenaraian itu juga melonjakkan kekayaan Elon Musk sehingga melepasi AS$1.1 trilion, sekali gus menjadikannya individu pertama di dunia mencapai status “trilionwan”.
Menurut Forbes dan The Wall Street Journal, sebahagian besar kekayaan Musk datang daripada pegangan beliau dalam SpaceX yang kini dianggarkan bernilai sekitar AS$866 bilion selain saham dalam Tesla.
Penganalisis pasaran berkata kejayaan luar biasa SpaceX bukan hanya berpunca daripada industri angkasa lepas, tetapi juga strategi syarikat itu yang kini memberi fokus besar kepada AI dan robotik.
“Pelabur melihat SpaceX bukan sekadar syarikat roket, tetapi syarikat teknologi masa depan yang menggabungkan AI, satelit dan prasarana digital global,” kata seorang penganalisis teknologi Timur Tengah.
Antara rancangan utama syarikat itu ialah pembangunan pusat data AI di orbit angkasa menggunakan sistem roket generasi baharu Starship.
Kejayaan SpaceX turut memberi manfaat kepada pelabur besar Asia Barat lain termasuk Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF) bernilai AS$1 trilion yang memiliki pegangan dalam Kingdom Holding.
Tahun 2026 ini, syarikat AI yang disokong PIF, Humain, melabur AS$3 bilion dalam xAI sebagai sebahagian daripada pusingan pembiayaan bernilai AS$20 bilion.
Pelaburan itu memberi Humain pegangan minoriti besar dalam xAI yang kemudiannya ditukar kepada saham SpaceX.
Negara Teluk lain juga giat memperkukuh kedudukan mereka dalam sektor AI global.
Firma pelaburan Abu Dhabi, MGX, kini memiliki pegangan dalam OpenAI, Anthropic dan xAI, manakala Qatar turut melabur dalam Anthropic dan xAI.
Pemerhati ekonomi berkata langkah agresif negara Teluk melabur dalam AI dan teknologi angkasa menunjukkan rantau itu sedang mempercepat usaha mempelbagaikan ekonomi selain minyak.
“Asia Barat kini mahu menjadi pemain utama dalam ekonomi digital dan AI global. Pelaburan dalam SpaceX dan syarikat AI adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang itu,” kata seorang penganalisis ekonomi serantau.
Sebelum ledakan AI menjadi fenomena global, beberapa pelabur Teluk sebenarnya sudah lama membuat pertaruhan dalam teknologi masa depan.
Abu Dhabi menerusi IHC melabur dalam SpaceX pada 2020, manakala Aabar mengambil pegangan dalam Virgin Galactic milik Richard Branson seawal 2009.
Dengan kejayaan IPO SpaceX, pelaburan awal tersebut kini dilihat sebagai antara keputusan paling menguntungkan dalam sejarah pelaburan teknologi moden. - Agensi berita
