GEORGETOWN (Pulau Pinang): Satu lubang benam yang berlaku di sepanjang Jalan Burmah berhampiran pusat beli-belah Komtar, dekat Georgetown, Pulau Pinang, menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar, pada 21 September.
Lubang benam berukuran kira-kira 1.5 meter lebar dan 2.5 meter panjang itu cukup besar untuk merosakkan tayar kereta atau mengakibatkan motosikal terbalik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun ) Komtar, Encik Teh Lai Heng, berkata kejadian yang berlaku sekitar 9 pagi itu dipercayai berpunca daripada paip pembetungan milik Indah Water Konsortium (IWK) bawah tanah yang pecah.
“IWK telah menghantar kontraktor mereka untuk membaiki kebocoran dan menurap semula jalan,” katanya, lapor portal berita MalaysiaGazette.
Beliau menambah bahawa pegawai Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut berada di lokasi untuk mengawal lalu lintas.
“Bagi mengalihkan trafik, pegawai MBPP ditempatkan di lokasi. Kami jangka kerja pembaikan dapat diselesaikan dalam masa terdekat dan aliran trafik akan kembali normal,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan tiada risiko keselamatan serius dilaporkan.
Encik Teh turut memaklumkan bahawa tindakan pantas pasukan pembaikan telah membantu mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini di kawasan berkenaan yang menjadi laluan sibuk kenderaan.
Kejadian di Georgetown itu adalah insiden lubang benam kedua berlaku pada September, selepas lubang benam di Jalan Gua Musang-Lojing di Kilometer 78 berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke, Gua Musang, Kelantan, pada 17 September lalu.
Berikutan kejadian, jalan berkenaan terpaksa ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan sehingga diberitahu kelak bagi membolehkan kerja pembaikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Kejadian itu menyusuli kes lubang benam di beberapa kawasan sama sejak akhir Ogos lalu.
Pada 23 Ogos 2024, Malaysia menjadi tumpuan dunia berikutan kejadian lubang benam di tempat tumpuan pelancong dekat Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, mengorbankan seorang wanita warga India.
Dalam kejadian kira-kira 8.20 pagi itu, pelancong berkenaan, Cik G Vijaya Lakshmi, 48 tahun, yang datang ke Malaysia bersama beberapa ahli keluarganya, hilang tanpa jejak selepas terjatuh dalam lubang benam sedalam lapan meter.
Mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras dalam lubang berkenaan sehingga tubuhnya gagal ditemui selepas lebih seminggu usaha pencarian dijalankan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg