Bahagian Tanjong Katong Road South yang ditutup bagi kerja pembaikan menyusuli kejadian lubang benam pada petang 26 Julai telah dibuka semula sepenuhnya pada 5 pagi, 4 Ogos.
Semasa tinjauan The Straits Times (ST) di lokasi itu antara 8 dengan 10 pagi ketika waktu sibuk pada pagi 4 Ogos, aliran trafik didapati lancar dan tenang.
Beberapa kerja lain juga sedang dijalankan di kawasan sekitar, termasuk pemasangan paip di sepanjang jalan Amber Gardens berhampiran stesen MRT Tanjong Katong, serta kerja-kerja di jalan susur dari Mountbatten Road ke Tanjong Katong Road South.
Bahagian Tanjong Katong Road South yang terjejas itu telah dibuka secara berperingkat, dengan laluan dari ekspreswe East Coast Parkway (ECP) menuju ke Mountbatten Road dibuka lebih awal pada tengah hari 2 Ogos.
Laluan arah bertentangan pula dibuka pada 5 pagi, 4 Ogos.
Penduduk yang ditemui ST berkata mereka gembira apabila jalan itu dibuka semula, selepas ia ditutup sekitar seminggu.
Encik Ryzky Yuda, 36 tahun, yang tinggal di sebuah kondominium berhampiran, berkata beliau gembira kerana kini dapat kembali pada rutin hariannya menaiki perkhidmatan bas 36 untuk ke tempat kerjanya di Suntec City.
Penutupan jalan itu telah menyebabkan laluan perkhidmatan bas 36 dan 48 dipesongkan serta tidak berhenti di beberapa hentian bas sepanjang Marine Parade Road, Amber Road, Mountbatten Road dan Tanjong Katong Road.
Eksekutif jualan teknologi maklumat itu berkata, sepanjang minggu lalu beliau terpaksa menaiki tren di Laluan Thomson-East Coast (TEL) dari stesen MRT Tanjong Katong ke stesen Marina Bay, sebelum menukar laluan untuk ke stesen Promenade.
Perjalanan itu mengambil masa sekitar 35 minit – lebih panjang berbanding perjalanan biasa selama 15 minit dengan menaiki bas.
Ia ekoran kejadian lubang benam yang berlaku di Tanjong Katong Road South sekitar 5 petang pada 26 Julai, menyebabkan sebuah kereta dan pemandunya terjatuh ke dalam lubang tersebut.
Pemandu kereta itu telah diselamatkan oleh para pekerja di lokasi kejadian dan dibawa ke hospital dalam keadaan sedar.
Menurut laporan sebelum ini, beliau mengalami kesakitan otot dan masih menjalani rawatan di hospital setakat 29 Julai.
Pada 27 Julai, kereta yang rosak itu telah dibawa keluar dari lubang benam berkenaan.
Lubang itu telah ditimbus semula pada awal 28 Julai menggunakan campuran tanah, simen dan air.
Kerja menguji keadaan tanah dijalankan selepas itu.
Pada 29 Julai, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, memohon maaf bagi pihak kementeriannya dan agensi air negara PUB, kepada pemandu yang cedera serta individu lain yang terjejas akibat kejadian itu, sambil menegaskan bahawa ia tidak sepatutnya berlaku.
Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) akan menjalankan siasatan bebas ke atas kejadian tersebut, manakala Kementerian Kemampanan dan Sekitaran pula akan menjalankan siasatan dalaman.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg