WASHINGTON: Presiden Perancis Emmanuel Macron menyeru agar sekatan ditingkatkan terhadap Russia jika pemimpinnya Vladimir Putin tidak meneruskan perdamaian dengan Ukraine.
“Presiden Amerika syarikat Donald Trump percaya kita boleh mencapai persetujuan dan Presiden Putin juga mahukan perjanjian damai,” kata Encik Macron kepada pemberita selepas perbincangan di Rumah Putih pada 18 Ogos.
Beliau menambah: “Jika pada akhirnya proses ini dipenuhi dengan penolakan, kita juga bersedia untuk menyatakan bahawa kita perlu meningkatkan sekatan.”
Beliau merujuk kepada sekatan baru-baru ini yang dikenakan oleh pentadbiran Encik Trump ke atas India, yang telah membeli bekalan tenaga dari Russia apabila negara Barat mengurangkannya disebabkan sekatan berikutan pencerobohan Encik Putin ke atas Ukraine.
“Sekatan ke atas India telah memberi banyak kesan,” tambah Encik Macron.
Encik Trump telah mengundang Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, ke Rumah Putih tiga hari selepas beliau mengalu-alukan rundingan di Alaska dengan Encik Putin.
Pada hujung minggu, Encik Trump sekali lagi secara terbuka menekan Ukraine supaya menyerahkan wilayah, memihak kepada Encik Putin dan bukannya Encik Zelensky, yang telah berkeras mempertahankan semua wilayah yang telah ditawan Russia secara paksa.
Ditanya wartawan sama ada Encik Trump berkata konsesi diperlukan sebelum sebarang jaminan keselamatan diberikan Amerika kepada Ukraine, Encik Macron berkata: “Tidak, itu tidak dibincangkan sama sekali. Kami jauh daripada itu.”
Menurut beliau, Encik Trump dan pemimpin Eropah juga bersetuju bahawa tidak boleh ada sekatan ke atas saiz tentera Ukraine dalam perjanjian masa depan dengan Russia.
Encik Macrom menyatakan semua pemimpin yang bermesyuarat di Washington menyokong “tentera Ukraine yang kuat dan boleh menahan sebarang bentuk serangan”.
Beliau berharap Russia dan Ukraine akan menyambung semula hubungan “dalam beberapa hari akan datang” dengan potensi sidang puncak tiga hala melibatkan Encik Trump, Encik Putin dan Encik Zelensky “dalam dua hingga tiga minggu”.
Bagaimanapun, Presiden Finland, Encik Alexander Stubb, yang turut berada di Rumah Putih bersama Encik Trump, Encik Macron dan pemimpin Eropah lain, menarik perhatian bahawa Encik Putin tidak boleh dipercayai.
“Encik Putin sukar dipercayai. Jadi sekarang kita lihat sama ada beliau mempunyai keberanian untuk datang ke mesyuarat seperti ini.
“Adakah beliau mempunyai keberanian untuk datang ke mesyuarat tiga hala, atau adakah beliau sekali lagi bermain dengan masa?” kata Encik Stubb. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg