Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Putin, Trump dijangka bertemu di Alaska runding tamat perang Ukraine

Aug 15, 2025 | 11:56 AM
ukraine, protest
Penunjuk perasaan memegang bendera gergasi Ukraine ketika berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada Ukraine di sepanjang lebuh raya Seward, Anchorage, Alaska, pada 14 Ogos, sehari sebelum pertemuan yang dijadualkan antara Presiden Amerika Syarikat dengan Russia. - Foto AFP

MOSCOW: Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dijadual bertemu buat pertama kali dalam tempoh enam tahun pada 15 Ogos di Alaska, dalam usaha mencapai kemajuan ke arah gencatan senjata di Ukraine.

Perjumpaan empat mata itu akan bermula pada 11.30 pagi waktu tempatan di Pangkalan Tentera Udara Elmendorf-Richardson, Anchorage.

Pertemuan akan diadakan secara tertutup dengan kehadiran jurubahasa, diikuti sesi sarapan kerja bersama delegasi kedua-dua pihak.

Pembantu Presiden Russia, Encik Yury Ushakov, berkata mesyuarat itu dihadkan kepada lima wakil setiap negara kerana sifat perbincangan yang sensitif”.

Delegasi Russia akan disertai Menteri Luar Encik Sergey Lavrov; Menteri Pertahanan Encik Andrey Belousov; Menteri Kewangan Encik Anton Siluanov; Ketua Dana Pelaburan Langsung Russia Encik Kirill Dmitriev, serta Ushakov sendiri. Delegasi Amerika pula akan diumumkan oleh Washington.

“Selain kedua-dua presiden, akan ada lima peserta tambahan dalam setiap delegasi.

Turut hadir kumpulan pakar yang bersedia memberikan bantuan,” kata Encik Ushakov.

Encik Ushakov menegaskan agenda utama sidang puncak itu ialah mencari penyelesaian terhadap krisis Ukraine.

“Kita akan membincangkan perkembangan rundingan sebelum ini di Kremlin pada 6 Ogos bersama utusan khas presiden Amerika, Encik Steve Witkoff,” jelasnya.

Selain itu, kedua-dua pihak dijangka membincangkan kerjasama perdagangan dan ekonomi yang disifatkan oleh Encik Ushakov sebagai “mempunyai potensi besar tetapi masih belum diterokai sepenuhnya”.

Isu keselamatan serantau dan antarabangsa yang mendesak turut dijangka dibincangkan.

Encik Ushakov menyifatkan lokasi pertemuan itu sebagai “simbolik” kerana berhampiran tanah perkuburan peringatan 13 warga Soviet yang terkorban antara 1942 dengan 1945 semasa pemindahan pesawat dari Amerika ke Soviet Union di bawah program Lend-Lease.

“Lokasi ini mengingatkan kita kepada ikatan persaudaraan dalam peperangan antara kedua-dua negara,” katanya.

Encik Trump, yang menggambarkan dirinya sebagai pendamai global, berharap hubungan peribadinya dengan Encik Putin mampu membuka jalan kepada perjanjian gencatan senjata.

Namun beliau mengakui terdapat “25 peratus kemungkinan” mesyuarat itu tidak akan berjaya.

Mesyuarat ini berlangsung seminggu selepas tarikh akhir yang ditetapkan Encik Trump kepada Russia untuk mencapai gencatan senjata atau berdepan sekatan baru.

Walaupun Kyiv dan Moscow tidak mencapai kata sepakat sebelum tarikh itu, pengumuman pertemuan ini secara tidak langsung menangguhkan tekanan sekatan dan memberi masa tambahan untuk kedua-dua pihak mempertimbangkan langkah seterusnya.

Sepanjang minggu ini, pendekatan Amerika terhadap sidang puncak itu berubah-ubah daripada optimis, berhati-hati, hinggalah bernada amaran.

Encik Trump pernah memberi amaran tentang “akibat yang sangat serius” jika Encik Putin enggan menamatkan perang.

Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, tidak dijemput ke mesyuarat ini dan memberi amaran bahawa sebarang keputusan tanpa penglibatan Kyiv adalah “tidak sah”.

Beliau bimbang selepas Encik Trump membayangkan kemungkinan “pertukaran wilayah” antara Russia dengan Ukraine.

“Kita tidak akan menarik diri dari Donbas. Wilayah kita diduduki secara haram. Jika kita menyerahkan Donbas, ia hanya membuka jalan kepada serangan baru,” tegas Encik Zelensky.

Menurutnya, Donbas adalah titik strategik bagi Russia untuk melancarkan serangan masa hadapan, dan sebarang konsesi akan mengancam kedaulatan Ukraine.

Encik Trump bagaimanapun berjanji akan memaklumkan perkembangan kepada Encik Zelensky selepas pertemuan di Alaska, dan bercadang mengatur mesyuarat tiga hala dalam masa terdekat.

Pihak Kremlin kekal berdiam diri sepanjang minggu, hanya mengulangi pendirian tegas bahawa perang hanya akan tamat jika Russia memperoleh kawalan penuh ke atas wilayah Donetsk, Luhansk, Kherson dan Zaporizhzhia, serta jaminan bahawa Ukraine akan melucutkan keupayaan ketenteraan dan tidak menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Penganalisis politik, Cik Tatyana Stanovaya, berkata objektif utama Encik Putin ialah “menjadikan Ukraine berkecuali dari segi geopolitik”, matlamat yang sukar dicapai kerana melibatkan isu kedaulatan dan keselamatan jangka panjang.

“Sukar untuk masyarakat menerima bahawa Putin mungkin mahukan begitu banyak dan benar-benar serius mengenainya. Malangnya, beliau memang serius,” katanya.

Bagi Encik Trump, kejayaan pertemuan ini akan menjadi bukti kepada pengundi bahawa beliau menepati janji kempen untuk menamatkan perang Ukraine dengan segera dan mengurangkan penglibatan Amerika dalam konflik asing yang mahal.

Encik Trump percaya gaya rundingan secara langsung akan memberikan hasil.

“Saya mungkin tahu dalam dua minit pertama sama ada perjanjian boleh dicapai atau tidak,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg