PARIS: Perancis merancang untuk mengiktiraf negara Palestin dalam tempoh beberapa bulan dan boleh mengatur langkah itu dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Jun.
Langkah itu untuk menyelesaikan konflik antara Israel dengan Palestin, kata Presiden, Encik Emmanuel Macron, pada 9 April.
“Kami mesti bergerak ke arah pengiktirafan dan kami akan melakukannya dalam beberapa bulan akan datang,” kata Encik Macron, yang sedang dalam lawatan ke Mesir, kepada saluran televisyen, France 5.
“Matlamat kami adalah untuk mempengerusikan persidangan ini dengan Arab Saudi pada Jun bagi memuktamadkan gerakan pengiktirafan bersama (negara Palestin).
“Saya akan melakukannya kerana saya percaya pada satu ketika, ia adalah langkah yang wajar dan kerana saya juga mahu menyertai dalam satu gerakan kolektif, yang seharusnya membolehkan mereka yang mempertahankan Palestin mengiktiraf Israel,” tambahnya.
Pengiktirafan sedemikian akan membolehkan Perancis “bersikap tegas dalam menentang mereka yang menafikan hak Israel untuk wujud – seperti yang berlaku dengan Iran – dan untuk memastikan kita komited untuk keselamatan kolektif di rantau ini”, ujar beliau.
Menteri Luar Palestin, Cik Varsen Aghabekian Shahin, menyatakan pengiktirafan Perancis “adalah satu langkah ke arah yang betul sejajar dengan matlamat menjaga hak rakyat Palestin dan penyelesaian dua negara”.
Perancis telah lama memperjuangkan penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin, termasuk selepas serangan oleh anggota Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023.
Namun pengiktirafan rasmi oleh Paris terhadap negara Palestin berisiko memusuhi Israel yang menegaskan langkah sedemikian oleh negara asing adalah tindakan pramatang.
Pada 3 Disember, Encik Macron mengumumkan beliau dan pemimpin Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, akan mempengerusikan bersama persidangan mengenai penubuhan negara Palestin pada Jun 2025.
“Kami telah memutuskan untuk mempengerusikan bersama persidangan melibatkan kedua-dua negara pada Jun 2025,” kata Encik Macron, merujuk kepada Israel dan negara Palestin yang berpotensi untuk ditubuhkan.
“Dalam beberapa bulan akan datang, bersama-sama kita akan memperbanyak dan menggabungkan daya usaha diplomatik untuk membawa semua orang ke arah matlamat ini,” tambah beliau. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg