Israel mungkin melanggar undang-undang antarabangsa dengan menyekat penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Walaupun Singapura telah sentiasa menyatakan bahawa Israel mempunyai hak mempertahankan diri, PM Wong berkata Israel “sudah keterlaluan dan tindakannya telah menyebabkan bencana kemanusiaan yang dahsyat.”
“Sekatan yang dikenakan ke atas penghantaran bekalan kemanusiaan tidak boleh diterima sama sekali. Pada pendapat kami, ia mungkin melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Jadi, ia tidak boleh dibenarkan,” katanya.
PM Wong berkata demikian semasa berucap di sidang media bersama yang diadakan di Bangunan Parlimen bersama Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron pada 30 Mei.
Sidang media itu diadakan bagi mengumumkan peningkatan hubungan antara Singapura dengan Perancis merentasi beberapa bidang termasuk pertahanan, risikan dan tenaga nuklear.
PM Wong mengulangi pendirian Singapura yang menyokong hak rakyat Palestin untuk mempunyai tanah air sendiri melalui rundingan penyelesaian dua negara, melangkaui krisis semasa.
PM Wong berkata Singapura menyertai negara-negara di seluruh dunia untuk menyeru gencatan senjata segera, penyampaian bantuan kemanusiaan tanpa halangan, perlindungan orang awam dan pemulangan tebusan.
Terdapat usaha antarabangsa mengenai gencatan senjata serta peta jalan ke arah penyelesaian dua negara, kata PM Wong.
Beliau turut menyatakan penyertaan Singapura dalam persidangan antarabangsa pada Jun yang dipengerusikan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi untuk mencari jalan ke arah penyelesaian.
Persidangan Jun itu, yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), merancang untuk mencapai penyelesaian konkrit bagi menamatkan konflik.
Kumpulan kerjanya termasuk pengaturan keselamatan untuk kedua-dua Israel dan Palestin, daya maju ekonomi Negara Palestin, dan tindakan kemanusiaan serta pembinaan semula.
PM Wong berkata demikian semasa menjawab soalan yang diajukan kepada Encik Macron oleh media Perancis mengenai pendirian Eropah terhadap konflik itu, dan sama ada Kesatuan Eropah sedang mempertimbangkan sekatan ke atas Israel.
Encik Macron, yang bercakap terlebih dahulu, berkata semua akan bergantung kepada pilihan yang dibuat oleh Israel dalam beberapa hari akan datang dan “sangat jelas bahawa kita tidak boleh membiarkan keadaan itu berterusan”.
Beliau berkata sekatan ke atas penyampaian bantuan kemanusiaan menyebabkan keadaan di sana tidak tertanggung.
Encik Macron berkata: “Semua bantuan kemanusiaan yang datang dari seluruh dunia disekat oleh tentera Israel. Ini tidak boleh diterima”.
Beliau menambah jika tiada respons yang selaras dengan situasi kemanusiaan di Gaza “dalam beberapa jam dan hari akan datang... kita perlu memperkukuh kedudukan kolektif kita”.
Encik Macron menambah Eropah mungkin perlu mengenakan sekatan, tetapi beliau mempunyai harapan bahawa Israel akan mengubah pendiriannya dan membenarkan bantuan. Encik Macron berkata:
“Perancis akan menyumbang untuk mengadakan persidangan ini di New York pada Jun, dan saya telah mengadakan perbincangan yang sangat penting dengan Perdana Menteri (Wong) mengenai kerjasama kami dalam konteks persidangan ini.”
Krisis kemanusiaan di Gaza semakin memuncak berikutan penyambungan semula serangan Israel sejak Mac selepas peruntuhan gencatan senjata yang berlangsung selama dua bulan.
Pada 2 Mac, dua minggu sebelum penyambungan semula serangan ketenteraannya, Israel mengenakan sekatan menyeluruh terhadap bantuan kemanusiaan dan bekalan komersial ke Gaza.
Dalam satu kenyataan pada 30 Mei, Kementerian Ehwal Luar (MFA) menggesa semua pihak yang terlibat supaya mengelak daripada mengambil tindakan sehala yang menghalang proses pendamaian.
Ia mengulangi gesaan Singapura agar bantuan kemanusiaan ke Gaza dapat diteruskan dengan sepenuhnya dan dengan segera, dan agar gencatan senjata dilaksanakan segera.
Amerika Syarikat berkata pada 30 Mei bahawa ia telah merangka satu lagi cadangan gencatan senjata, yang telah dipersetujui Israel.
Agensi berita Reuters melaporkan bahawa rancangan ini melibatkan gencatan senjata selama 60 hari dan pemulangan tebusan Israel sebagai pertukaran untuk membebaskan tahanan Palestin.
Ia juga termasuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza sebaik sahaja Hamas menandatangani perjanjian itu. Hamas memberitahu Reuters ia sedang mengkaji semula rancangan itu.
“
“Sekatan yang dikenakan ke atas penghantaran bekalan kemanusiaan tidak boleh diterima sama sekali. Pada pendapat kami, ia mungkin melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Jadi, ia tidak boleh dibenarkan.”“
“Sekatan yang dikenakan ke atas penghantaran bekalan kemanusiaan tidak boleh diterima sama sekali. Pada pendapat kami, ia mungkin melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Jadi, ia tidak boleh dibenarkan”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg