Topik diikuti
Pergi ke BHkuMadinah bakal tampil dengan roda Ferris gergasi untuk jemaah umrah
Madinah bakal tampil dengan roda Ferris gergasi untuk jemaah umrah
Madinah bakal tampil dengan roda Ferris gergasi untuk jemaah umrah
RIYADH: Arab Saudi kini berusaha menarik pelabur swasta bagi membiayai pembinaan roda Ferris gergasi bernilai AS$135 juta (S$173 juta) di Madinah sebagai sebahagian usaha memperluaskan tarikan pelancongan untuk jemaah haji, umrah dan pelancong domestik.
Projek dikenali sebagai Hijaz Eye itu disenaraikan dalam platform Invest Saudi, pangkalan data kerajaan yang menghimpunkan kira-kira 2,200 peluang pelaburan negara.
Roda Ferris berkenaan akan dibina di atas tapak seluas 33,700 meter persegi, bersamaan kira-kira lima padang bola sepak.
Walaupun dokumen tender tidak mendedahkan ketinggian roda itu, projek berkenaan dipromosikan sebagai “destinasi terbaik untuk menikmati pemandangan bandar dari udara”.
Menurut Invest Saudi, projek bernilai 511 juta riyal Saudi (S$175 jiuta) itu dijangka mampu memberikan pulangan modal kepada pelabur dalam tempoh tujuh tahun.
Pembangunan Hijaz Eye menjadi sebahagian strategi Arab Saudi untuk menggalakkan pelawat tinggal lebih lama di kota suci seperti Makkah dan Madinah, bukan sekadar menunaikan ibadah sebelum pulang.
Pendekatan itu dikenali dalam industri pelancongan sebagai “Umrah Plus”.
Pengarah Urusan firma penasihat pelaburan Certares, Encik Amin Ismail, berkata masih banyak ruang untuk memperluaskan pengalaman jemaah haji dan umrah di Arab Saudi.
“Banyak lagi boleh dilakukan dari segi konsep ‘Umrah dan Haji Plus’,” katanya pada Forum Pelaburan Sidang Kemuncak Hospitaliti Masa Depan di Riyadh pada lewat Jun lalu.
Menurut beliau, kota suci mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai pusat pengalaman pelancongan dan budaya.
Ketua Pegawai Eksekutif firma pelaburan Millat Group, Encik Hamza Farooqui, pula berkata kebanyakan pelawat ketika ini hanya datang untuk beribadah sebelum meninggalkan bandar tersebut tanpa pengalaman tambahan.
“Saya percaya Makkah dan Madinah mempunyai asas perniagaan yang sangat besar, tetapi kita belum benar-benar memanfaatkannya,” katanya.
“Orang datang, berdoa dan pulang. Belum ada pihak yang benar-benar memberi perhatian untuk meningkatkan pengalaman di bandar-bandar ini. Pengembara hari ini mahukan pengalaman yang lebih bermakna,” katanya lagi.
Platform pelaburan Saudi itu turut menyatakan Hijaz Eye akan “memperkaya pengalaman jemaah” selain memenuhi “keperluan yang semakin meningkat untuk meningkatkan komunikasi budaya antara jemaah”.
Pelancongan domestik dan pelancongan agama kini menjadi antara teras utama program transformasi ekonomi Visi 2030 Arab Saudi yang diterajui Putera Mahkota, Mohammed bin Salman.
Melalui program itu, Arab Saudi berusaha mengurangkan kebergantungan ekonomi kepada minyak dengan memperkukuh sektor pelancongan, hiburan dan pembangunan bandar moden.
Data Kementerian Pelancongan Arab Saudi menunjukkan kira-kira 14 juta pelawat luar negara datang ke negara itu pada 2025 bagi tujuan keagamaan.
Jumlah itu adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding pelancong rekreasi dan tujuh kali ganda berbanding pelawat perniagaan.
Pada masa sama, sekitar 14 juta pelancong domestik turut melakukan perjalanan ke destinasi keagamaan, dengan 6.5 juta daripada mereka mengunjungi Madinah.
Timbalan Menteri Pelancongan Arab Saudi bagi pembangunan destinasi, Encik Mahmoud Abdulhadi, berkata sektor pelancongan negara itu terus berkembang walaupun rantau Timur Tengah berdepan ketegangan geopolitik.
“Kunjungan pelawat meningkat lapan peratus dalam tiga bulan pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu, terutama dipacu permintaan domestik yang kukuh,” katanya.
Hijaz Eye juga mencerminkan perubahan pendekatan Riyadh dalam membiayai projek mega negara.
Sebelum ini, kebanyakan projek besar di bawah Visi 2030 dibiayai oleh Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF), yang mengurus aset bernilai kira-kira AS$1 trilion.
Namun, Gabenor PIF, Encik Yasir Al-Rumayyan, baru-baru ini mengumumkan langkah untuk menarik lebih banyak modal swasta dan asing bagi mengurangkan kebergantungan kepada dana pemerintah semata-mata.
Pelan lima tahun baharu PIF yang diluluskan pada April lalu membahagikan pelaburan kepada tiga portfolio utama dengan sektor pelancongan dan pembangunan bandar disenaraikan sebagai keutamaan.
Langkah itu dibuat selepas beberapa projek mega Arab Saudi mengalami peningkatan kos dan kelewatan pembinaan, termasuk projek futuristik Neom yang menjadi antara simbol utama Visi 2030.
Walaupun begitu, kerajaan Arab Saudi dilihat terus optimis bahawa sektor pelancongan agama mampu menjadi pemacu ekonomi jangka panjang negara itu.
Jika berjaya dibina, Hijaz Eye bakal menjadi antara roda Ferris terbesar di rantau Asia Barat.
Rantau itu sebelum ini mempunyai Ain Dubai di Amiriah Arab Bersatu (UAE), namun tarikan tersebut berdepan pelbagai masalah teknikal sejak dibuka pada Oktober 2021 dan kini ditutup semula. - Agensi berita
