Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mahasiswa tuntut perubahan melalui gelombang protes ‘Indonesia Gelap’

Feb 18, 2025 | 3:16 PM
Sekumpulan mahasiswa merobohkan penghadang semasa protes anti-pemerintah berhampiran Istana Presiden di Jakarta, Indonesia, pada 17 Februari 2025. Ratusan mahasiswa mengadakan demonstrasi bagi membantah dasar terbaru pemerintah berkaitan kecekapan bajet.
Sekumpulan mahasiswa merobohkan penghadang semasa protes anti-pemerintah berhampiran Istana Presiden di Jakarta, Indonesia, pada 17 Februari 2025. Ratusan mahasiswa mengadakan demonstrasi bagi membantah dasar terbaru pemerintah berkaitan kecekapan bajet. - Foto EPA-EFE

JAKARTA: Ketidakpuasan rakyat terhadap situasi semasa di Indonesia semakin memuncak, dengan ribuan mahasiswa turun ke jalan bagi menyuarakan bantahan terhadap dasar Presiden Prabowo Subianto dan pentadbiran terdahulu.

Gerakan protes besar-besaran yang dikenali sebagai ‘Indonesia Gelap’ berlangsung serentak di beberapa bandar utama pada 17 Februari dan dijangka berlanjutan selama tiga hari.

Di Jakarta, ribuan mahasiswa yang diselaraskan oleh Gabungan Badan Eksekutif Mahasiswa Seluruh Indonesia (BEM SI) berhimpun di sekitar Patung Arjuna Wiwaha, berhampiran Monumen Nasional (Monas).

Sementara itu, protes turut mendapat perhatian luas di media sosial, dengan simbol ‘Garuda Hitam’ – lambang negara berlatar belakang hitam – menjadi imej utama gerakan ini, bersama tanda pagar #IndonesiaGelap.

Menurut penunjuk perasaan, negara kini semakin jauh daripada visi ‘Indonesia Emas’ dan sebaliknya menuju ke arah kegelapan.

Sejak tahun 2024, pelbagai sindiran muncul di media sosial, termasuk frasa ‘Indonesia Cemas’ dan ‘Indonesia Lemas’, menggambarkan ketidakpastian yang dirasai rakyat terhadap masa depan negara.

BEM SI dalam kenyataannya menyatakan kebimbangan terhadap pelaksanaan dasar yang dikatakan semakin menekan rakyat.
“Dasar negara semakin represif dan merugikan rakyat,” menurut BEM SI dalam edaran rasmi mereka, seperti yang dipetik oleh idntimes.com.

“Perlembagaan 1945 dan Pancasila mesti dipertahankan sepenuhnya demi kesejahteraan semua rakyat Indonesia.”

Antara tuntutan utama yang dibawa oleh para penunjuk perasaan termasuk desakan agar pemerintah memastikan ketelusan dalam pelaksanaan program makanan percuma, bagi mengelakkan sebarang ketirisan atau penyalahgunaan dana.

Mereka juga menolak pindaan Undang-Undang Perlombongan yang memberi kebenaran kepada universiti untuk terlibat dalam sektor perlombongan, kerana dikhuatiri akan mengalihkan fokus institusi akademik daripada peranan utama mereka dalam pendidikan dan penyelidikan.

Selain itu, para penunjuk perasaan turut menuntut penghapusan sistem dwi-fungsi tentera dalam politik dan pemerintahan, dengan alasan bahawa penglibatan tentera dalam urusan awam boleh menjejaskan demokrasi serta mewujudkan potensi penyalahgunaan kuasa.

Mereka juga menggesa agar bekas Presiden Joko Widodo didakwa atas pelbagai isu yang dikaitkan dengannya semasa tempoh pentadbirannya.

Dalam masa yang sama, mereka menuntut pemerintah mempercepatkan kelulusan rang undang-undang rampasan aset, yang dianggap penting bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil terhadap pihak yang terlibat dalam amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, sekali gus mengembalikan aset negara yang telah diseleweng.

Sementara itu, Badan Eksekutif Mahasiswa Universiti Indonesia (BEM UI) turut mengeluarkan tuntutan tersendiri, termasuk pembatalan Arahan Presiden No. 1/2025 yang berkaitan pemotongan bajet kerana didakwa memberi kesan negatif kepada rakyat.

Ketua BEM UI, Encik Iqbal Cheisa Wiguna, memberi amaran bahawa jika pemerintah tidak memberikan maklum balas terhadap protes ini, demonstrasi yang lebih besar akan dianjurkan.

“Jika tuntutan ini diabaikan, tindakan susulan pasti akan dilakukan dalam skala yang lebih besar,” tegasnya kepada kompas.com.

Di Surabaya, protes yang pada mulanya aman bertukar tegang apabila mahasiswa bertembung dengan pihak berkuasa. Penunjuk perasaan menuntut supaya wakil Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Jawa Timur menemui mereka, namun hanya tiga anggota dewan yang keluar.

Tindakan itu ditolak oleh penunjuk perasaan, yang sebaliknya meminta Ketua Dewan, Musyafak Rouf, turun padang.
Encik Musyafak akhirnya bersetuju untuk bertemu dan menandatangani tuntutan mahasiswa, serta berjanji akan menghantar tuntutan itu ke pemerintah pusat.

Namun, keadaan kembali tegang apabila berlaku tolak-menolak antara pelajar dan polis, menyebabkan pihak berkuasa menggunakan meriam air bagi menyuraikan orang ramai. Protes akhirnya berakhir sekitar jam 4.30 petang, menurut tribunnews.com.

Selain protes jalanan, satu lagi bentuk ketidakpuasan rakyat terhadap pemerintah adalah gerakan #KaburAjaDulu.

Kempen ini menggalakkan rakyat Indonesia untuk bekerja atau belajar di luar negara, sebagai tanda protes terhadap ketidaktentuan ekonomi dan politik di dalam negara.

Malah, ada yang memilih untuk melepaskan kewarganegaraan Indonesia sebagai bentuk penentangan ekstrem terhadap dasar pemerintah.

Penyokong gerakan ini berpendapat bahawa bekerja di luar negara bukan sahaja memberi mereka kestabilan ekonomi, tetapi juga membantu negara dengan mengirim wang pulang, sekaligus mengurangkan kadar pengangguran domestik.

Namun, gerakan ini mendapat reaksi keras daripada pegawai kerajaan. Timbalan Menteri Tenaga Kerja, Immanuel Ebenezer, secara sinis mengulas:
“Kalau mahu lari, lari sahaja. Jangan kembali, kalau perlu,” katanya kepada kompas.com.

Walaupun kenyataan tersebut menimbulkan kontroversi, Menteri Tenaga Kerja Yassierli mengambil pendekatan berbeza, menganggap fenomena ini sebagai cabaran untuk pemerintah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di dalam negara.

“Sebenarnya, bekerja di luar negara itu bukan melarikan diri. Ia adalah satu peluang,” katanya.

Sementara itu, Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Bahlil Lahadia, yang sebelum ini dikritik kerana mengubah sistem penjualan gas LPG subsidi secara tiba-tiba, turut mempertikaikan nasionalisme rakyat yang memilih bekerja di luar negara.

Nada sama turut disuarakan oleh Menteri Agraria dan Tata Ruang, Nusron Wahid, yang mempersoalkan semangat patriotisme rakyat yang memilih untuk berhijrah.

“Kalau mereka menyokong #KaburAjaDulu, mereka ini rakyat Indonesia atau bukan?” katanya kepada Antara pada 17 Februari.
“Kalau kita benar-benar patriot, kita akan berusaha menyelesaikan masalah yang ada bersama-sama,” ujarnya seperti yang dilapor The Jakarta Post.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg