WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat mendapati pada 1 Julai bahawa bekas presiden, Encik Donald Trump, tidak boleh didakwa atas tindakan rasmi yang diambil sebagai presiden, tetapi boleh didakwa atas tindakan peribadinya.
Demikian menurut keputusan penting yang dibuat bagi mengiktiraf buat kali pertama, terhadap sebarang bentuk kekebalan presiden daripada pendakwaan.
Hakim, dalam keputusan 6-3 yang ditulis oleh Ketua Hakim Negara, Encik John Roberts, mengetepikan keputusan mahkamah rendah sebelum ini yang menolak tuntutan kekebalan Encik Trump daripada tuduhan jenayah.
Tuduhan itu melibatkan tindakan Encik Trump membatalkan keputusan kekalahannya dalam Pilihan Raya Presiden 2020 kepada Presiden Amerika, Encik Joe Biden.
Encik Trump ialah calon parti Republikan yang mencabar Encik Biden, seorang Demokrat, dalam pilihan raya Amerika yang dijadualkan berlangsung pada 5 November, dalam perlawanan semula 2020.
Kelewatan Mahkamah Agung mengendalikan kes itu dan keputusannya berhubung soalan penting mengenai ruang lingkup kekebalan Encik Trump kepada hakim perbicaraan untuk dihurai, menjadikannya mustahil bagi Encik Trump dibicarakan sebelum pilihan raya atas tuduhan yang dibawa oleh Peguam Khas, Encik Jack Smith.
“Kami menyimpulkan bahawa di bawah struktur perlembagaan kuasa yang dipisahkan, sifat kuasa presiden memerlukan bekas presiden itu mempunyai sedikit kekebalan daripada pendakwaan jenayah untuk tindakan rasmi semasa memegang jawatan,” tulis Ketua Hakim Negara.
“Sekurang-kurangnya berkenaan dengan pelaksanaan kuasa teras perlembagaan presiden, imuniti ini mesti mutlak. Mengenai baki tindakan rasminya, beliau juga berhak mendapat imuniti,” tambahnya.
Encik Trump memuji keputusan itu dalam hantaran di media sosial.
Beliau menulis bahawa ia adalah “kemenangan besar untuk Perlembagaan dan Demokrasi kita. Saya bangga menjadi rakyat Amerika!”
Kekebalan bagi bekas presiden adalah “mutlak” berkenaan dengan “kuasa perlembagaan teras mereka”, tulis Ketua Hakim Negara.
Seorang bekas presiden mempunyai “sekurang-kurangnya kekebalan berasaskan andaian” untuk “perbuatan di dalam perimeter luar tanggungjawab rasminya”.
Ini bermakna pihak pendakwa menghadapi halangan undang-undang yang tinggi untuk mengatasi kekebalan berasaskan andaian itu.
Dalam ucapan di Rumah Putih, Encik Biden menyifatkan keputusan itu sebagai “duluan yang berbahaya” kerana kuasa presiden tidak lagi dikekang oleh undang-undang.
“Negara ini diasaskan atas prinsip bahawa tidak ada raja di Amerika... tiada siapa yang berada di atas undang-undang, malah presiden Amerika sekalipun,” tambahnya.
Beliau bercakap beberapa jam selepas salah seorang pegawai kempennya berkata keputusan itu menjadikan lebih mudah bagi Encik Trump “meneruskan langkah ke arah pemerintahan kuku besi”.
Ketua Hakim Negara berkata kes Trump akan dihantar semula ke mahkamah rendah untuk semakan lanjut.
Mahkamah menganalisis empat kategori kelakuan yang terkandung dalam dakwaan terhadap Encik Trump – perbincangannya dengan pegawai Jabatan Kehakiman selepas pilihan raya 2020; tekanan yang didakwanya terhadap Naib Presiden, Encik Mike Pence, ketika itu untuk menyekat pensijilan kemenangan pilihan raya Encik Biden; dakwaan peranannya dalam mengumpulkan suara propemilih Trump; dan kelakuannya berkaitan dengan serangan 6 Januari 2021 ke atas bangunan pentadbiran Capitol Amerika. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg