Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mahkamah Agung Filipina batalkan pendakwaan pemecatan Naib Presiden Duterte

Jul 25, 2025 | 7:28 PM
(FOTO FAIL) Naib Presiden Filipina, Sara Duterte, tiba untuk mengemukakan afidavit balas berhubung aduan oleh Biro Siasatan Kebangsaan (NBI) berkaitan dakwaan ancaman terhadap Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, di Jabatan Kehakiman di Manila pada 9 Mei 2025. Mahkamah tertinggi Filipina telah menghalang perbicaraan pemecatan terhadap Naib Presiden Sara Duterte di Dewan Senat yang dijadualkan berlangsung, dengan menyatakan bahawa ia melanggar peruntukan perlembagaan yang melarang prosiding pemecatan berulang dalam tahun yang sama, pada 25 Julai 2025.
(FOTO FAIL) Naib Presiden Filipina, Sara Duterte, tiba untuk mengemukakan afidavit balas berhubung aduan oleh Biro Siasatan Kebangsaan (NBI) berkaitan dakwaan ancaman terhadap Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, di Jabatan Kehakiman di Manila pada 9 Mei 2025. Mahkamah tertinggi Filipina telah menghalang perbicaraan pemecatan terhadap Naib Presiden Sara Duterte di Dewan Senat yang dijadualkan berlangsung, dengan menyatakan bahawa ia melanggar peruntukan perlembagaan yang melarang prosiding pemecatan berulang dalam tahun yang sama, pada 25 Julai 2025. - Foto AFP

MANILA: Naib Presiden Filipina, Sara Duterte, mencatat kemenangan besar dari segi undang-undang pada 25 Julai apabila Mahkamah Agung negara itu membatalkan aduan pemecatan terhadapnya, dengan alasan ia bertentangan dengan Perlembagaan.

Dewan Rendah Kongres sebelum ini telah memecat Cik Sara pada Februari lalu dengan menuduh beliau menyalahgunakan dana awam, memiliki kekayaan luar biasa, dan mengugut untuk membunuh Presiden Ferdinand Marcos Jr, Wanita Pertama dan Speaker Dewan.

Mahkamah menegaskan keputusan itu tidak bermakna beliau dibebaskan daripada semua tuduhan, namun tetap memberi kelebihan besar kepada aspirasi politik beliau.

Cik Sara kini dilihat secara meluas sebagai antara calon terkuat untuk Pilihan Raya Presiden 2028, yang tidak boleh disertai oleh Marcos kerana had satu penggal bagi jawatan Presiden Filipina.

Sekiranya disabitkan kesalahan dalam perbicaraan pemecatan, Cik Sara boleh diharamkan daripada memegang sebarang jawatan awam seumur hidup. Beliau menyifatkan tindakan untuk memecatnya, yang berlaku di tengah-tengah perbalahan dengan Encik Marcos, sebagai bermotifkan politik.

“Keputusan sebulat suara ini sekali lagi menegakkan kedaulatan undang-undang dan mengukuhkan batasan perlembagaan terhadap penyalahgunaan proses pemecatan,” kata barisan peguam Cik Sara dalam satu kenyataan.

Cik Sara merupakan anak kepada bekas Presiden Filipina yang lantang dan kontroversi, Encik Rodrigo Duterte, yang kini berada dalam tahanan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berkaitan perang berdarah terhadap dadah semasa pentadbirannya. Encik Rodrigo Duterte menafikan sebarang salah laku.

Dalam keputusan sebulat suara itu, Mahkamah Agung bersetuju dengan hujahan pasukan guaman Cik Sara bahawa Kongres telah melanggar peruntukan Perlembagaan yang melarang lebih daripada satu prosiding pemecatan terhadap pegawai yang sama dalam tempoh setahun,

Lebih 200 ahli Dewan Rendah telah menyokong aduan pemecatan yang keempat untuk dibawa ke Dewan Senat, walaupun tiga aduan terdahulu tidak pernah diambil tindakan.
“Aduan pemecatan keempat itu melanggar larangan satu tahun kerana terdapat tiga aduan yang dikemukakan sebelum itu,” kata jurucakap Mahkamah Agung, Camille Ting, dalam satu sidang media.

Akibatnya, Mahkamah memutuskan bahawa Dewan Senat tidak mempunyai kuasa untuk membentuk tribunal pemecatan terhadap Cik Sara.
Presiden Marcos pula mengambil pendekatan menjauhkan diri daripada prosiding terhadap Naib Presidennya itu, dengan menyatakan bahawa cabang eksekutif kerajaan tidak boleh campur tangan dalam hal tersebut.

Tiada komen segera dikeluarkan daripada panel pendakwaan Dewan berhubung keputusan Mahkamah. Mahkamah Agung juga menyatakan bahawa aduan baharu terhadap Cik Sara boleh dikemukakan semula selepas tempoh larangan selama setahun berakhir.
“Kami tetap bersedia untuk menjawab segala tuduhan pada masa yang sesuai dan di hadapan forum yang sewajarnya,” ujar peguam Cik Sara. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg