YANGON: Mahkamah Agung di Myanmar, yang diperintah tentera, akan mendengar rayuan bekas pemimpin Cik Aung San Suu Kyi minggu ini terhadap dua sabitan kesalahannya.
Demikian kata sumber yang rapat dengan kes itu pada Isnin berhubung usaha pemenang Hadiah Nobel itu untuk mengurangkan hukuman penjaranya yang selama 33 tahun.
Cik Suu Kyi, 78 tahun, disabit beberapa kesalahan – daripada hasutan dan penipuan pilihan raya hingga pelbagai tuduhan rasuah sejak tentera menangkap beliau ketika rampasan kuasa Februari 2021 terhadap pemerintah yang diterajuinya.
Sekutu Cik Suu Kyi dan pemerintah Barat mengutuk pemenjaraannya sebagai permainan junta.
Ia bagi menghalang sebarang kemunculan semula Suu Kyi, tokoh popular perjuangan Myanmar selama berdekad-dekad untuk mewujudkan sebuah negara demokrasi.
Mahkamah Agung mengumumkan akan mendengar rayuan pada Rabu terhadap sabitan kesalahan Cik Suu Kyi.
Sumber itu, yang enggan dikenali kerana sensitiviti terhadap kesnya, berkata keputusan boleh mengambil masa dua bulan.
Jurucakap junta tidak dapat dihubungi untuk pengesahan.
Tentera menegaskan beliau diberi proses sewajarnya oleh badan kehakiman bebas negara itu.
Ia sekali gus menentang kritikan kumpulan hak asasi manusia mengenai pemenjaraan berbilang anggota gerakan prodemokrasi dalam perbicaraan rahsia, dan penyambungan semula hukuman mati selepas ditiadakan selama beberapa dekad.
Myanmar dilanda konflik sejak tentera merampas kuasa atas alasan penyelewengan yang tidak ditangani dalam pilihan raya November 2020 yang menyaksikan parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pimpinan Cik Suu Kyi meraih kemenangan besar.
NLD menafikan penipuan dan sejak itu telah dibubar bersama 39 parti lain kerana gagal mendaftar untuk pilihan raya yang belum ditetapkan tarikhnya.
Aktivis telah menggesa junta supaya tidak mengadakan pilihan raya dan memberi amaran ia boleh menyebabkan tercetusnya keganasan berdarah antara tentera dengan gerakan prodemokrasi. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg