DHAKA: Industri pakaian di Bangladesh bukan sekadar nadi ekonomi negara itu.
Ia juga lambang kebangkitan kelas pekerja wanita, kemajuan sosioekonomi, dan titik tolak ke arah membasmikan kemiskinan.
Namun kini, segalanya terancam apabila Amerika Syarikat, melalui dasar perdagangan barunya di bawah Presiden Donald Trump, merancang mengenakan tarif setinggi 37 peratus ke atas barangan eksport Bangladesh, terutama pakaian.
Meskipun tarif itu ditangguhkan buat sementara waktu susulan bantahan antarabangsa, kebimbangan terhadap kemungkinan ia akan diperkenalkan semula membayangi ekonomi Bangladesh yang sedang rapuh.
Negara tersebut – dengan jumlah penduduk melebihi 170 juta dan sebahagian besar bergantung kepada industri pakaian, kini berada di persimpangan getir antara kelangsungan ekonomi dengan tekanan geopolitik.
“Kebimbangan saya adalah tempahan akan berkurang,” ujar Cik Murshida Akhtar, 25 tahun, seorang pekerja kilang di Savar, pinggir bandar Dhaka, yang menyara keluarganya dengan gaji sekitar AS$156 ($201) sebulan.
“Bila kurang kerja, kami hilang pendapatan. Saya menyara keluarga saya dengan duit dari mesin jahit.”
Cik Murshida merupakan sebahagian daripada lebih empat juta rakyat Bangladesh yang bekerja secara langsung dalam industri pakaian – industri yang membekalkan 85 peratus daripada keseluruhan eksport negara.
Jika dihitung secara tidak langsung, lebih 20 juta orang bergantung kepada sektor itu untuk menyara hidup, termasuk ahli keluarga pekerja, pembekal bahan mentah, pengangkutan dan perkhidmatan sokongan lain.
Ancaman tarif itu bukan sahaja menyekat kemasukan produk Bangladesh ke pasaran Amerika yang merupakan destinasi eksport utama negara itu, malah turut menggugat kesinambungan ekonomi Bangladesh yang berasaskan kos pengeluaran rendah dan persaingan harga.
“Tarif ini satu bentuk keangkuhan kuasa besar,” tegas Profesor Rashed Al Mahmud Titumir, dari Universiti Dhaka.
“Ia dikenakan ketika kami sedang dalam krisis ekonomi dan belum pun pulih daripada kejatuhan pemerintah lama.”
Krisis mata wang pada 2024 telah menggugat pentadbiran mantan perdana menteri, Sheikh Hasina, yang memerintah selama hampir 15 tahun.
Kejatuhan beliau mencetuskan kekosongan kuasa serta ketidaktentuan politik yang mendalam.
Di tengah-tengah proses pemulihan dan usaha membina semula institusi demokrasi, beban tarif pula menambahkan tekanan.
Bangladesh kini diketuai secara sementara oleh pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Encik Muhammad Yunus, yang telah merayu kepada Encik Trump agar diberikan kelonggaran 90 hari.
Beliau berjanji Bangladesh akan membeli lebih banyak kapas dan barangan dari Amerika bagi mengurangkan lebihan dagangan sebanyak AS$6 bilion yang tercatat pada 2024.
Namun rayuan tersebut masih belum memberikan jaminan jangka panjang.
Selepas kejadian tragis runtuhan kilang, Rana Plaza, pada 2013 yang mengorbankan lebih 1,100 pekerja, industri pakaian Bangladesh telah berubah secara drastik.
Banyak kilang ditutup atau bergabung, dan syarikat yang kekal mula melabur dalam aspek kemampanan, keselamatan pekerja dan piawaian antarabangsa.
Bangladesh kini mempunyai lebih 230 kilang yang diperakui di bawah program Kepimpinan dalam Reka Bentuk Tenaga dan Alam Sekitar (Leed) – jumlah tertinggi di dunia.
Salah satu daripadanya ialah 4A Yarn Dyeing, kilang tempat Cik Murshida bekerja.
Kilang itu bukan sahaja mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa, malah turut dilengkapi panel solar, sistem pengudaraan yang baik, dan kawasan kerja yang selesa walaupun dalam cuaca tropika.
Kilang tersebut membekalkan pakaian luar seperti jaket kalis air kepada jenama besar dari Amerika dan Eropah.
“Ruang kerja kami terang dan teratur. Kami tahu pemeriksa antarabangsa akan datang pada bila-bila masa,” kata pengurus besar kilang itu, Encik Khandker Imam.
Namun ketika rusuhan politik yang menumbangkan pemerintahan Sheikh Hasina pada 2024, kilang itu turut menjadi sasaran.
Encik Khandker menceritakan bagaimana beliau bersama pekerja kilang terpaksa mempertahankan premis mereka apabila ratusan perusuh berkumpul di luar pagar.
Mereka dilabel sebagai ‘bersekongkol’ dengan pemerintah terdahulu.
“Saya pakai topi keledar dan berdiri bersama pekerja di pintu pagar.
“Kami tidak hentikan operasi walau satu hari pun,” katanya.
Ketahanan kilang itu melambangkan daya tahan industri pakaian Bangladesh – industri yang terlatih berdepan krisis, baik bencana alam, politik mahupun tekanan antarabangsa.
Namun untuk terus bertahan dalam pasaran antarabangsa yang amat berdaya saing bukanlah tugas mudah.
China kekal sebagai pengeksport pakaian terbesar dunia, diikuti oleh India, Vietnam, Kemboja dan Sri Lanka yang menawarkan struktur kos dan dasar perdagangan yang hampir serupa.
Dalam persekitaran kini, walaupun tarif setinggi 10 peratus pun seperti yang sedang dikenakan oleh Amerika sudah cukup untuk menghakis margin keuntungan yang sememangnya rendah.
Tambahan pula, Bangladesh kini berada di bawah tekanan kewangan daripada pihak luar.
Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) telah meluluskan pinjaman AS$4.7 bilion dan kini mendesak pemerintah supaya mengurangkan subsidi serta menaikkan harga bahan api.
Menurut Dr Fahmida Khatun dari Pusat Dialog Dasar: “Kami sedang berdepan tekanan luar biasa dari IMF. Harga bahan api dan keperluan asas lain terpaksa dinaikkan. Jika tarif diteruskan, rakyat akan menanggung akibatnya.”
Bank Dunia pula telah menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara itu bagi dua tahun akan datang, sekali gus mengesahkan betapa getirnya cabaran yang dihadapi Bangladesh.
Namun di sebalik semua tekanan itu, pemimpin seperti Encik Muhammad Yunus berusaha mengembalikan demokrasi dan membina ekonomi yang lebih adil.
Kilang seperti 4A Yarn Dyeing menjadi bukti transformasi positif adalah mungkin apabila sektor swasta diberi ruang untuk membangun secara bertanggungjawab.
“Seluruh ekonomi negara ini bergantung kepada sektor pakaian,” kata Ketua Kemampanan, 4A Yarn Dyeing, ENcik Mohammad Monower Hossain.
“Gerakan rakyat yang menumbangkan pemerintah lama pun sedar akan perkara ini. Sebagai negara, tenaga buruh adalah satu-satunya kekuatan kami.”
Kecekalan itu tidak menghairankan.
Industri itu sudah terbiasa hidup dalam krisis sama ada kemelut politik, bencana alam, atau persaingan sejagat.
Di saat dunia sedang mempersoalkan semula struktur globalisasi dan kebebasan perdagangan, Bangladesh menjadi contoh jelas tentang bagaimana ekonomi boleh dibina dari bawah – oleh jutaan wanita dan lelaki yang menjahit, menyeterika dan menjahit semula bukan sekadar pakaian, tetapi harapan untuk masa depan.
Di sebalik semua ini, yang paling terkesan ialah rakyat biasa seperti Cik Murshida, suaminya, dan anak mereka.
Bagi mereka, kilang bukan sekadar tempat mencari nafkah, tetapi satu-satunya saluran mobiliti sosial yang mampu mengubah nasib dan membawa mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.
“Kami tidak minta simpati. Kami hanya mahu kerja kami dihargai dan peluang untuk terus hidup dengan bermaruah,” ujar Cik Murshida. – Agensi berita.
“
“Tarif ini satu bentuk keangkuhan kuasa besar. Ia dikenakan ketika kami sedang dalam krisis ekonomi dan belum pun pulih daripada kejatuhan pemerintah lama.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg