Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump tangguh tarif ke atas EU kepada 9 Jul

May 26, 2025 | 11:31 AM
Dr Ursula von der Leyen, donald trump
Dr Ursula von der Leyen (kanan) berkata bahawa beliau telah mengadakan “perbincangan yang baik” menerusi telefon dengan Presiden Donald Trump tetapi memerlukan masa sehingga 9 Julai untuk membuat keputusan. - Foto EPA-EFE

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada 25 Mei bahawa beliau akan menghentikan sementara tarif 50 peratus yang diancamnya ke atas Kesatuan Eropah (EU) sehingga 9 Julai, selepas “panggilan yang sangat baik” dengan ketua kesatuan itu Dr Ursula von der Leyen.

Encik Trump yang telah mengancam pada 23 Mei untuk mengenakan tarif yang tinggi sejurus 1 Jun, berkata rundingan sebelum ini dengan EU mengenai tarif “tidak membawa ke mana-mana”.

Dr von der Leyen “baru menelefon saya... dan beliau meminta lanjutan pada tarikh 1 Jun, dan beliau mahukan rundingan yang serius”, kata Encik Trump memberitahu pemberita sebelum menaiki Air Force One di Morristown, New Jersey.

“Dan saya bersetuju untuk berbuat demikian,” tambahnya.

Dr von der Leyen sebelum ini berkata menerusi X bahawa beliau telah mengadakan “panggilan yang baik” dengan Encik Trump, tetapi “untuk mencapai kesepakatan yang baik, kami memerlukan masa sehingga 9 Julai”.

“Eropah bersedia memajukan perbincangan dengan pantas dan tegas,” kata Presiden Suruhanjaya Eropah itu yang melaksanakan dasar dagangan untuk blok 27 negara itu.

Brussels dan Amerika telah berunding dalam usaha mengelak perang dagangan rentas Atlantik dan telah bersetuju menangguhkan pelaksanaan tarif ke atas kedua-dua pihak sehingga Julai.

Tetapi ancaman Encik Trump pada 23 Mei secara mendadak meningkatkan kepentingannya.

Encik Trump berkata beliau “tidak mengusahakan perjanjian” dengan EU, mengulangi pandangannya yang sering menyatakan bahawa blok itu diwujudkan untuk “mengambil kesempatan” ke atas Amerika.

Menteri Kewangan Jerman Encik Lars Klingbeil pada 25 Mei menggesa “rundingan serius” dengan Washington dan beliau telah bercakap dengan rakan sejawatannya dari Amerika Encik Scott Bessent mengenai perkara itu.

“Kami tidak memerlukan sebarang provokasi lagi, tetapi rundingan yang serius,” kata Encik Klingbeil, yang juga naib canselor Jerman, kepada akhbar Bild.

“Tarif Amerika membahayakan ekonomi negara itu sendiri,” tambahnya.

Encik Trump telah mengenakan blok itu dengan tiga set tarif: 25 peratus pada keluli, aluminium dan kereta, diikuti dengan 20 peratus tarif “timbal balik” ke atas semua import – yang telah digantung sementara rundingan dijalankan, walaupun garis dasar 10 peratus kekal berkuat kuasa.

Brussels telah mengumumkan rancangan membalas dengan mengenakan tarif ke atas barangan Amerika bernilai hampir 100 bilion euro ($146 bilion) jika rundingan tidak membawa sebarang hasil. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg