Bekas pengendali pawagam Cathay Cineplexes, mm2 Asia, telah diberikan bantuan sementara pada 10 Disember selepas Mahkamah Tinggi membenarkan syarikat itu dilindungi daripada pemiutang dan prosiding undang-undang selama empat bulan, sementara ia merangka pelan penyusunan semula.
Keputusan itu akan memberi syarikat tersebut masa dan ruang bernafas untuk merangka pelan bagi membayar balik pemiutangnya, kata Pesuruhjaya Kehakiman Mohamed Faizal, dalam penghakiman bertulis selepas perbicaraan, lapor The Straits Times (ST).
Pada 10 November, mm2 dalam satu pemfailan bursa, berkata ia telah memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk penangguhan sementara di bawah Akta Muflis, Penyusunan Semula dan Pembubaran, bagi menghentikan prosiding semasa, yang sedang menunggu atau diancam, daripada dimulakan atau diteruskan ke atas syarikat itu.
Permohonan itu dibuat selepas mm2 dan anak syarikatnya menerima tuntutan pembayaran balik daripada beberapa pemiutang, termasuk UOB, sebanyak $74.6 juta; Frasers Centrepoint Trust sebanyak $2.6 juta; dan Standard Chartered sebanyak $905,000.
Permohonan itu didengar pada 10 Disember dan Mahkamah Tinggi telah meluluskan permohonan mm2.
Syarikat itu juga berhutang kepada Linkwasha Holdings lebih $7.55 juta sebagai jumlah pokok dan faedah terakru pada Julai 2025 bagi pinjaman $30 juta pada 2017 untuk membiayai sebahagian pengambilalihan Cathay Cineplexes.
Faedah terakru ialah faedah yang terkumpul atas pinjaman atau pelaburan (seperti bon) tetapi belum dibayar atau diterima lagi.
mm2 juga berhutang kepada Alprop kira-kira $794,000 dan ia menghadapi kegagalan membayar bon lebih $63 juta.
Hutang yang dihadapi mm2 “mengakibatkan keadaan yang tidak dapat dipertahankan, di mana perniagaan itu berdepan prosiding gulung tikar jika ia tidak diberikan ruang bernafas menerusi penangguhan sementara itu,” kata pesuruhjaya kehakiman itu.
Dalam permohonan mahkamahnya, mm2 berkata ia berhasrat mengagihkan $12 juta kepada pemiutangnya selepas penyusunan semula, yang bermaksud pemiutang menerima kira-kira 28 sen bagi setiap dolar hutang tertunggak.
Jika syarikat itu dibubarkan, mm2 berkata pemiutang mungkin tidak menerima apa-apa, atau paling banyak 2.55 sen bagi setiap dolar.
Jumlah $12 juta itu datang daripada pelaburan $25 juta yang dicadangkan oleh syarikat pengurusan dana penyelamat, Hildrics Asia Growth Fund VCC.
Kecuali Linkwasha, pemiutang lain menyokong pelan penyusunan semula mm2 itu, kata pesuruhjaya kehakiman.
“Pada peringkat yang agak awal ini, nampaknya pemiutang yang terdiri daripada lebih separuh daripada hutang tidak bercagar telah tampil untuk menyokong permintaan bagi penangguhan tersebut.
“Sama pentingnya, sebilangan besar pemiutang ini telah memberikan sokongan mereka baru-baru ini, hanya selepas permohonan itu difailkan,” kata Pesuruhjaya Kehakiman Encik Mohamed Faizal, yang memberikan talian hayat bantuan itu kepada mm2.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg