Kumpulan hiburan dan bekas pengendali pawagam Cathay Cineplexes, mm2 Asia, memaklumkan pada 10 November bahawa United Overseas Bank (UOB) sudah menghantar tuntutan hutang sebanyak $74.6 juta daripadanya serta beberapa anak syarikat di bawah naungannya.
Anak syarikat yang menerima surat pada 7 November terdiri daripada mm2 Entertainment, UnUsUaL Management, mm Plus dan mm Connect pada 7 November, jelas mm2 Asia dalam satu pemfailan di Bursa Saham (SGX).
Jumlah tuntutan tersebut dianggarkan kira-kira tiga kali ganda daripada nilai pasaran mm2 Asia, yang bernilai sekitar $26 juta.
Jika hutang itu tidak dilunaskan dalam masa tujuh hari, UOB boleh memulakan tindakan undang-undang tanpa sebarang rujukan lanjut.
Surat tuntutan itu dikeluarkan selepas beberapa tuntutan hutang bernilai jutaan dolar difailkan oleh pemilik hartanah berhubung rangkaian pawagam Cathay Cineplexes yang kini ditutup.
Tuntutan itu menyusuli beberapa permintaan pembayaran bernilai berjuta-juta dolar daripada pemilik hartanah berhubung kegagalan operasi rangkaian pawagam Cathay Cineplexes milik kumpulan berkenaan.
Antara tuntutan terbesar adalah daripada Frasers Centrepoint Trust (FCT), yang menuntut bayaran $2.6 juta berkaitan sewaan di Causeway Point.
Standard Chartered turut mengeluarkan surat tuntutan berjumlah $905,000 kepada mm2 Asia pada Oktober, menurut laporan akhbar, The Straits Times (ST).
Dalam surat bertarikh 7 November, UOB menghantar notis pemberitahuan rasmi kepada mm2 Asia dan anak syarikatnya, iaitu mm2 Entertainment, Unusual Management, mm2 Connect, dan mm Plus.
Dua syarikat terakhir tersebut merupakan penjamin, berkemungkinan bagi Cathay Cineplexes, yang menamatkan operasi pada September selepas melaksanakan pembubaran sukarela.
Menurut penyata kewangan mm2 bagi tahun kewangan 2025 yang berakhir pada 31 Mac, jumlah pinjaman keseluruhan syarikat berkenaan ialah $217 juta.
Daripada jumlah itu, $201 juta perlu dijelaskan dalam tempoh setahun.
Hutang dagangan dan lain-lain berjumlah $102.5 juta.
Secara keseluruhan, kumpulan itu mencatat liabiliti semasa sebanyak $310 juta sehingga 31 Mac, berbanding aset semasa bernilai $263.6 juta, menunjukkan kedudukan kewangan yang agak ketat.
Kumpulan hiburan itu menjelaskan, pihaknya sedang mendapatkan nasihat undang-undang berhubung tuntutan UOB dan akan terus memantau perkembangan keadaan.
Pada Ogos lalu, mm2 turut mendedahkan ia telah menerima lapan surat tuntutan dengan jumlah keseluruhan $17.6 juta, namun menegaskan syarikat masih mampu beroperasi seperti biasa.
Saham mm2 Asia merosot 25 peratus, atau 0.1 sen, kepada 0.3 sen pada 10 November.
Jumlah dagangan yang tinggi sebanyak 53.4 juta saham bertukar tangan pada hari tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg