Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rangkaian pawagam Cathay tutup 1 Sep selepas rundingan gagal

Pemilik Cathay, mm2 Asia, rugi $105.2j bagi tahun kewangan lalu
Sep 1, 2025 | 3:50 PM
Cathay, gulung tikar, rugi, juta
Rangkaian pawagam Cathay yang menghadapi masalah hutang kepada pemilik premis beberapa cawangannya, tidak lagi dapat meneruskan operasi sebagai sebuah perniagaan yang berdaya maju. - Foto ZAOBAO

Pemilik rangkaian pawagam Cathay Cineplexes, mm2 Asia, mengumumkan bahawa operasi perniagaan pawagam tersebut akan dihentikan secara sukarela mulai 1 September.

Ini kerana rangkaian pawagam yang menghadapi masalah hutang kepada pemilik premis beberapa cawangannya, tidak lagi dapat meneruskan operasi sebagai sebuah perniagaan yang berdaya maju, kata syarikat induknya.

“Cathay Cineplexes telah berusaha merundingkan huraian yang baik dengan para pemiutang, namun ia tidak berjaya mencapai hasil penyusunan semula yang dipersetujui bersama bagi kewajipan pembayaran hutang kepada pemiutang ini,” kata mm2 Asia.

Lembaga Pengarah Cathay Cineplexes akan meneruskan proses pembubaran perniagaan rangkaian pawagam tersebut, atas permintaan pemiutang.

Satu mesyuarat agung luar biasa bagi anggota Cathay Cineplexes dan satu mesyuarat bersama pemiutangnya akan diadakan dalam masa terdekat, lapor The Business Times (BT).

Dalam kenyataannya, syarikat hiburan mm2 Asia menamakan pihak yang menuntut bayaran daripada syarikat itu.

Ini termasuk DBS Trustee, pemegang amanah Lendlease Global Commercial Reit; pemilik premis pusat beli-belah Century Square, dan Century Square LLP.

Turut dinamakan ialah HSBC Institutional Trust Services (Singapore), pemegang amanah bagi Frasers Centrepoint Trust (FCT); Lendlease Retail Investments 3; serta Alprop, dan Resorts Concepts.

Sejak beberapa bulan lalu, rangkaian pawagam Cathay menerima tuntutan pembayaran hutang bernilai jutaan dolar daripada pemilik premisnya atas tunggakan sewa dan bayaran lain yang belum dijelaskan.

Ini berlaku semasa beberapa cawangan pawagam tersebut ditutup.

Ia menerima tuntutan pembayaran sekitar $2.7 juta pada Februari daripada pemilik premis bagi pawagam Cathay di Century Square dan Causeway Point.

Kedua-dua pusat beli-belah tersebut dimiliki FCT.

Pemilik premis bagi pawagam Cathay di pusat beli-belah Jem, Lendlease Global Commercial Reit, mengeluarkan tuntutan pembayaran sebanyak $3.4 juta pada Julai.

Alprop mengemukakan tuntutan sekitar $1 juta bagi pawagam Cathay di West Mall yang ditutup pada Februari, bagi pihak pemilik premis pusat beli-belah tersebut, iaitu UOL Group.

Pada Julai, mm2 Asia menyatakan ia sedang menilai semua pilihan yang ada untuk menangani masalah kewangannya, termasuk menutup rangkaian pawagamnya, disebabkan industri pawagam yang semakin suram sejak Covid-19.

Sebanyak enam pawagam Cathay telah ditutup sepanjang tiga tahun lalu.

Kini hanya empat pawagam Cathay yang masih beroperasi, iaitu di pusat beli-belah Causeway Point, Century Square, Downtown East dan 321 Clementi.

Bagi tahun kewangan lalu yang berakhir pada Mac, mm2 Asia mengalami kerugian bersih sebanyak $105.2 juta.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg