MANILA – Sebuah mahkamah Filipina pada 4 September mengarahkan penangkapan Naib Presiden Sara Duterte berhubung kes jenayah yang mendakwa beliau mengancam Presiden Ferdinand Marcos Jr; Wanita Pertama Liza Araneta-Marcos dan bekas Speaker Dewan Perwakilan, Encik Martin Romualdez.

Mahkamah perbicaraan mengeluarkan waran tangkap terhadap Cik Duterte atas tiga pertuduhan membuat ancaman serius.

Mahkamah turut menetapkan ikat jamin sebanyak 120,000 peso (S$2,400) bagi setiap pertuduhan.

Peguam Cik Duterte berkata anak guamnya tidak berniat mengelak proses undang-undang dan akan menggunakan semua saluran perundangan yang tersedia untuk mempertahankan dirinya.

“Tanpa mengira persoalan mengenai bidang kuasa, beliau tidak berniat mengelak undang-undang dan akan terus menggunakan semua saluran perundangan yang tersedia,” kata peguamnya dalam satu kenyataan.

Kes itu berpunca daripada kenyataan kontroversi Cik Duterte pada November 2024, ketika hubungan politiknya dengan Encik Marcos semakin tegang.

Ketika itu, beliau berkata telah bercakap dengan seorang pembunuh upahan dan mengarahkannya membunuh Encik Marcos, isterinya dan sepupu Presiden itu, Encik Romualdez, sekiranya beliau sendiri dibunuh.

Encik Romualdez ketika itu merupakan Speaker Dewan Perwakilan Filipina.

Cik Duterte bagaimanapun menafikan bahawa kenyataannya merupakan ancaman terhadap mereka.

Dakwaan mengenai ancaman tersebut turut menjadi antara tuduhan yang terkandung dalam aduan pemecatan terhadap Cik Duterte.

Beliau kini berdepan perbicaraan di Senat, yang bersidang sebagai mahkamah pemecatan.

Sekiranya disabitkan dalam proses pemecatan itu, Cik Duterte boleh dilucutkan jawatan sebagai Naib Presiden dan kemungkinan beliau bertanding dalam pilihan raya presiden 2028 juga boleh terjejas.

Cik Duterte, anak kepada bekas Presiden Rodrigo Duterte, dilihat sebagai antara tokoh politik utama yang berpotensi bertanding bagi jawatan presiden pada 2028.

Selain dakwaan membuat ancaman, beliau turut dituduh menyalahgunakan dana awam ketika menjadi Naib Presiden dan semasa memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan.

Cik Duterte menafikan sebarang salah laku. - Agensi berita