MANILA: Senat Filipina dijadual memulakan perbicaraan pemecatan Naib Presiden, Cik Sara Duterte, pada 6 Julai dalam satu proses berprofil tinggi yang boleh menentukan masa depan politik beliau termasuk peluang bertanding dalam pilihan raya presiden 2028.

Ribuan anggota polis dikerahkan di sekitar bangunan Senat di Manila bagi memperketat keselamatan sepanjang prosiding yang dijangka berlangsung selama beberapa bulan jika pihak pendakwa diberikan tempoh 62 hari untuk mengemukakan bukti.

Cik Duterte, 48 tahun, yang juga anak bekas presiden Encik Rodrigo Duterte, telah dipecat oleh Dewan Perwakilan pada 11 Mei lalu atas dakwaan rasuah, penyelewengan dana awam, sogokan dan komplot pembunuhan terhadap Presiden Ferdinand Marcos Jr..

Namun, hanya keputusan bersalah yang disokong dua pertiga anggota Senat mampu melucutkan jawatan beliau sebagai naib presiden serta menghalangnya daripada bertanding dalam pilihan raya pada masa depan.

Walaupun berdepan tekanan politik yang besar, satu tinjauan awam pada akhir Mei menunjukkan Cik Duterte masih menjadi pilihan utama bagi pilihan raya presiden 2028 dengan 51 peratus responden menyatakan hasrat mengundinya.

Artikel pemecatan terhadap Cik Duterte tertumpu kepada dakwaan salah guna dana awam, pemilikan aset yang tidak dapat dijelaskan, sogokan terhadap pegawai pemerintah serta ancaman bunuh terhadap Marcos dan anggota keluarganya.

Kontroversi ancaman bunuh itu tercetus selepas Cik Duterte, dalam satu sidang media lewat malam, mendakwa beliau telah mengupah pembunuh untuk membunuh Marcos sekiranya beliau sendiri dibunuh terlebih dahulu.

Beliau kemudian menjelaskan kenyataan tersebut telah disalah tafsir.

Setakat ini, kem Cik Duterte masih belum mengesahkan sama ada beliau akan hadir sendiri sepanjang perbicaraan berlangsung.

Perbicaraan itu berlaku ketika Senat Filipina sendiri berdepan kekecohan politik sejak dua bulan lalu termasuk pertukaran kepimpinan secara mengejut, siasatan rasuah terhadap beberapa sekutu Duterte serta campur tangan isu Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Pada Mei lalu, 13 senator yang berpihak kepada Cik Duterte berjaya mengambil alih kawalan Senat hanya beberapa minit sebelum undian pemecatan di Dewan Perwakilan berlangsung.

Namun tindakan itu kemudian dibatalkan selepas sekutu Cik Duterte memboikot proses berkenaan.

Salah seorang sekutu utama Duterte, Senator Ronald Dela Rosa, yang dikenali sebagai pelaksana utama kempen perang dadah berdarah era Rodrigo Duterte, turut mencetuskan kontroversi apabila berlindung di bangunan Senat ketika pihak berkuasa cuba melaksanakan waran ICC terhadapnya.

Beliau kemudian menghilangkan diri selepas berlaku ketegangan dengan pengawal keselamatan Senat yang melepaskan tembakan amaran.

Dalam perkembangan lain, senator pro-Duterte, Jose “Jinggoy” Estrada, ditahan atas dakwaan menerima sogokan bernilai lebih 573 juta peso (S$13 juta) berkaitan projek kawalan banjir.

Seorang lagi sekutu Duterte, Senator Rodante Marcoleta, turut didakwa atas kesalahan rasuah pada 3 Julai lalu.

Mengikut Perlembagaan Filipina, keputusan bersalah memerlukan sokongan “dua pertiga daripada semua anggota” Senat.

Namun, pendakwa pemecatan, Wakil Rakyat Gerville “Jinky” Luistro, berhujah bahawa jumlah itu sepatutnya hanya mengambil kira senator yang hadir secara fizikal ketika pengundian dibuat.

Walaupun formula itu diubah, penganalisis politik masih melihat laluan untuk mensabitkan Cik Duterte sebagai amat sukar.

Penganalisis firma tinjauan WR Numero, Encik Cleve Arguelles, berkata jumlah sokongan dalam Senat ketika ini masih belum mencukupi untuk menyingkirkan Duterte.

“Sangat jelas bahawa laluan menuju sabitan bersalah amat sukar,” katanya kepada AFP.

“Sama ada kita bercakap mengenai 16 senator atau tafsiran lain, jumlah itu masih jauh daripada ambang yang diperlukan untuk mensabitkan beliau,” katanya.

Perbicaraan itu juga berlaku di tengah-tengah perseteruan sengit antara dua dinasti politik terbesar Filipina - keluarga Marcos dan Duterte.

Hubungan kedua-dua keluarga yang sebelum ini bergabung dalam kemenangan besar pilihan raya 2022 mula retak hanya beberapa minggu selepas membentuk pemerintahan bersama.

Konflik itu kemudian memuncak menjadi perang politik terbuka pada 2025 apabila Duterte pertama kali berdepan usaha pemecatan sebelum dibatalkan Mahkamah Agung.

Ketegangan semakin meningkat selepas Rodrigo Duterte ditahan dan dihantar ke ICC bagi menghadapi tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan kempen perang dadahnya.

Encik Arguelles berkata keputusan perbicaraan Senat ini amat penting bagi kedua-dua kem politik kerana ia menentukan kelangsungan pengaruh mereka pada masa depan.

“Semua puak politik ini sedang berjuang demi masa depan politik masing-masing,” katanya.

“Bagi pentadbiran Marcos, mereka perlu memastikan bahawa apabila mereka tidak lagi berkuasa nanti, pemerintah baharu tidak akan bertindak terhadap mereka pula,” katanya.

Beliau turut menjangkakan walaupun Cik Duterte berjaya mengelak daripada disabitkan kesalahan, reputasi politiknya tetap akan terjejas akibat penelitian awam yang berpanjangan.

Menurutnya, pelbagai dakwaan terhadap Cik Duterte berkemungkinan menyebabkan beliau kehilangan sokongan pengundi bebas dan sederhana menjelang pilihan raya akan datang. - Agensi berita