Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Mahkamah Indonesia batal pembebasan 2 polis dalam kes rempuhan bola sepak

Aug 25, 2023 | 05:10 PM



JAKARTA: Mahkamah Agung Indonesia membatalkan pembebasan dua anggota polis yang dituduh cuai dalam rempuhan maut di stadium bola sepak pada 2022, tetapi keputusan itu mencetuskan rasa kurang senang bagi keluarga mangsa, yang menyifatkannya sebagai ‘gurauan’.


Anggota polis itu dijatuhi hukuman penjara dua setengah tahun, selepas pendakwa raya membuat rayuan terhadap pembebasan mereka, dalam kes menyusuli bencana di Stadium Kanjuruhan di Malang, wilayah Jawa Timur, Oktober lalu.

Seramai 135 orang terbunuh semasa berebut keluar apabila polis melepaskan gas pemedih mata ke arah orang ramai, selepas peminat yang marah menyerbu ke padang berikutan kekalahan pasukan tuan rumah, dalam perlawanan pada 1 Oktober 2022.

“Kecuaian mereka menyebabkan kematian dan kecederaan serius orang lain,” berdasarkan ringkasan keputusan mahkamah pada Rabu, yang diterbitkan di laman webnya Khamis.

Pegawai berkenaan, Wahyu Setyo Pranoto dan Bambang Sidik Achmadi, didapati bersalah kerana gagal menjangka dan menguruskan kekecohan orang ramai di Stadium Kanjuruhan, menurut mahkamah.

Wahyu, bekas ketua operasi polis Malang, dihukum penjara dua setengah tahun, sementara Bambang, bekas ketua unit ketenteraman awam, dijatuhi hukuman penjara dua tahun.

Pada Mac, mahkamah rendah telah membebaskan kededua pegawai itu daripada sebarang salah laku.

Seorang wanita yang kehilangan anak lelakinya yang berusia 15 tahun dalam tragedi itu, dengan marah berkata, hukuman ke atas dua anggota polis itu terlalu ringan berbanding kehilangan nyawa yang besar.


“Ia satu jenaka. Ia tidak adil,” kata Cik Cholifatul Nur, yang anaknya, Jofan Farelino, maut dalam rempuhan itu.

“Lebih 135 nyawa [hilang], tetapi hanya dua setengah tahun. Ia seperti hukuman untuk pencuri lembu,” katanya kepada BeritaBenar.


Gas pemedih mata memburukkan keadaan dan mencetuskan panik, menyebabkan ramai daripada 40,000 penyokong bergegas ke arah pintu keluar, menolak dan memijak satu sama lain. Pihak berkuasa berkata, ramai mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas.

Pasukan pencari fakta yang ditubuhkan oleh Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, mendapati gas pemedih mata yang dilepaskan secara rambang oleh polis menyebabkan rempuhan itu.

Pihak berkuasa berkata faktor lain termasuk pintu keluar yang sempit turut menyumbang kepada bencana itu.

Rempuhan itu adalah salah satu bencana bola sepak paling buruk dalam sejarah.

Ia juga menimbulkan persoalan tentang keselamatan dan keselamatan stadium bola sepak di Indonesia, dengan bola sepak adalah sukan paling popular.

Encik Muhammad Isnur, seorang peguam yang mewakili beberapa keluarga mangsa, berkata keputusan Mahkamah Agung membuktikan terdapat kesilapan di mahkamah rendah yang telah membebaskan kededua pegawai polis itu.


“Walaupun mengecewakan dan tidak adil kepada keluarga mangsa, ia membuktikan bahawa percubaan untuk mengaburkan fakta di lapangan tidak berjaya,” katanya kepada BeritaBenar.


Keputusan terhadap semua orang yang didakwa dengan kecuaian jenayah tidak mungkin memuaskan hati keluarga mangsa rempuhan dan rasa keadilan mereka, kata Encik Rhenald Kasali, bekas anggota pasukan pencari fakta yang dilantik pemerintah.


“Masih ada pihak yang bertanggungjawab yang belum disentuh undang-undang. Masih banyak amalan buruk yang belum dibaiki dan mungkin berulang,” katanya kepada BeritaBenar.


Kededua anggota polis itu bukanlah satu-satunya tertuduh yang menerima hukuman ringan. Enam orang telah didakwa berkaitan rempuhan itu.

Pada Mac, dua pegawai bola sepak dijatuhkan hukuman penjara 12-18 bulan – jauh lebih rendah dari tempoh lebih enam tahun yang diminta oleh pihak pendakwaan. Seorang mangsa menggelar perbicaraan itu sebagai “lawak”.

Dan kes terhadap orang keenam, Akhmad Hadian Lukita, pengarah PT Liga Indonesia Baru, penganjur liga bola sepak, masih belum selesai.

Lukita menghadapi tuduhan tidak mengesahkan keselamatan Stadium Kanjuruhan sebelum perlawanan dan menggunakan laporan pemeriksaan keselamatan yang lapuk.

Dia juga didakwa tidak mengendahkan permintaan polis untuk menjadualkan semula perlawanan kepada masa yang lebih awal atas sebab keselamatan dan berkeras untuk mengadakannya pada waktu malam kerana tuntutan penaja.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >