JAKARTA: Mahkamah Konstitusi Republik Indonesia pada Isnin mengekalkan syarat umur minimum yang layak bagi calon presiden dan naib presiden pada usia 40 tahun.
Keputusan itu sekali gus menutup kemungkinan anak sulung Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, yang berusia 36 tahun bertanding bagi jawatan naib presiden dalam pemilihan pada 2024.
Ketua Hakim Negara, Encik Anwar Usman, yang juga abang ipar Encik Jokowi, mengetuai panel membabitkan sembilan hakim, dan menetapkan untuk menolak petisyen bagi menurunkan usia minimum kepada 35 daripada 40 tahun. Dalam keputusan 6:2 itu, Encik Anwar telah menarik diri daripada membuat keputusan.
Menurut barisan hakim, penetapan had usia adalah di bawah kuasa ahli Parlimen dan dan petisyen itu tidak mempunyai ‘alasan mengikut undang-undang’.
Keputusan pembacaan semakan ini dibuat tiga hari sebelum pendaftaran calon dijadualkan untuk dibuka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) Indonesia pada 19 Oktober.
Sebelum ini, Mahkamah menerima tujuh permohonan semakan kehakiman yang mendesak untuk menurunkan had umur calon presiden dan timbalan presiden kepada 35 tahun.
Jika dibenarkan, petisyen itu akan membenarkan anak Presiden Jokowi yang juga Datuk Bandar Surakarta, Encik Gibran Rakabuming Raka, bertanding dalam pilihan raya pada Februari 2024, berkemungkinan besar sebagai pasangan calon Presiden, Encik Prabowo Subianto.
Sebelum ini, Encik Gibran mengakui bahawa Pengerusi Parti Gerindra, Encik Prabowo Subianto, telah mengulangi permintaan untuk bergandingan dengannya sebagai calon timbalan presiden, walaupun usianya baru mencapai 36 tahun.
Encik Gibran tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan komen daripadanya mengenai perkara itu.
Setiausaha Agung Parti Gerindra, Encik Ahmad Muzani berkata, pasangan Encik Prabowo pada pemilihan presiden 2024 akan diumumkan selepas keputusan Mahkamah berhubung tuntutan umur minimum presiden dan naib presiden.
Keputusan itu dibuat di tengah-tengah kritikan yang semakin meningkat terhadap apa yang dikatakan sumber sebagai usaha presiden yang akan tamat tempoh jawatannya untuk membina dinasti politik dan mengekalkan pengaruh selepas meninggalkan jawatan.
Negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu akan mengundi pada pilihan raya presiden dan perundangan serentak pada 14 Februari 2024.
Menteri Pertahanan, Encik Prabowo bersaing rapat dalam tinjauan pendapat dengan Gabenor Jawa Tengah, Encik Ganjar Pranowo, manakala manakala gabenor Jakarta, Encik Anies Baswedan, berada di tempat ketiga. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg