JAKARTA: Mahkamah Perlembagaan Indonesia memutuskan bahawa parti politik yang gagal memenuhi kuota minimum 30 peratus calon wanita boleh digugurkan daripada menyertai pilihan raya legislatif, dalam keputusan penting yang dijangka memberi kesan besar terhadap landskap politik negara itu menjelang pilihan raya 2029.

Dalam keputusan sebulat suara pada 25 Mei, mahkamah menetapkan bahawa semua parti politik yang bertanding di peringkat wilayah mahupun nasional wajib mematuhi kuota penyertaan wanita atau berdepan tindakan pembatalan penyertaan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia (KPU).

Keputusan itu dibuat kurang tiga tahun sebelum pilihan raya legislatif Indonesia seterusnya dijadual berlangsung pada 2029.

Mahkamah memutuskan memihak kepada sekumpulan pelajar universiti yang memfailkan petisyen semakan terhadap satu peruntukan dalam Undang-Undang Pilihan Raya Umum yang mewajibkan kuota wanita tetapi tidak menetapkan hukuman terhadap pelanggaran syarat tersebut.

Hakim Mahkamah Perlembagaan, Adies Kadir, berkata ketiadaan hukuman menyebabkan KPU sebelum ini terus meluluskan senarai calon parti politik walaupun tidak memenuhi syarat minimum calon wanita.

“Mahkamah berpandangan bahawa ketiadaan sekatan dalam undang-undang pilihan raya membolehkan KPU di semua peringkat meluluskan senarai calon yang gagal memenuhi kuota minimum 30 peratus wanita dalam pilihan raya lalu,” katanya ketika membacakan keputusan mahkamah.

Beliau berkata panel sembilan hakim mendapati peruntukan sedia ada bertentangan dengan Perlembagaan kerana gagal menjamin pelaksanaan sebenar kuota wanita.

Dalam petisyen mereka, para pelajar merujuk kepada pilihan raya legislatif 2024 di wilayah Tulungagung dan Trenggalek di Jawa Timur.

Mereka berhujah bahawa KPU hanya mampu memberi amaran kepada parti politik yang gagal memenuhi kuota wanita semasa proses pendaftaran calon, tetapi parti terbabit tetap dibenarkan bertanding.

Petisyen itu turut mengemukakan data menunjukkan daripada 18 parti yang bertanding dalam pilihan raya Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) 2024, hanya Prosperous Justice Party (PKS) berjaya memenuhi kuota wanita di semua 84 kawasan pilihan raya seluruh negara.

Menurut data tersebut, antara parti yang paling banyak gagal memenuhi kuota ialah Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) iaitu parti terbesar di Parlimen Indonesia, selain Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) dan Parti Democratik.

Ketiga-tiga parti itu didakwa gagal memenuhi kuota wanita di antara 24 hingga 29 kawasan pilihan raya.

Pesuruhjaya KPU, Idham Kholik, berkata agensi itu akan melaksanakan keputusan mahkamah selepas ia dimasukkan secara rasmi dalam pindaan baharu Undang-Undang Pilihan Raya.

“Kami akan melaksanakan keputusan ini selepas ia dimuktamadkan dalam semakan undang-undang pilihan raya,” katanya pada 27 Mei.

Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia, Sufmi Dasco Ahmad, yang berasal dari Parti Gerindra pimpinan Presiden Prabowo Subianto, berkata rang undang-undang baharu akan mengambil kira keputusan mahkamah tersebut.

“Keputusan Mahkamah Perlembagaan adalah muktamad dan mengikat,” katanya seperti dipetik agensi Antara.

Beliau turut berkata ramai wanita berkelayakan mampu mengisi kerusi legislatif di Indonesia.

Parti-parti politik utama di Parlimen Indonesia turut menyambut baik keputusan itu.

Ahli Parlimen dan pemimpin PDI-P, Andreas Hugo Pareira, berkata partinya selama ini berusaha memenuhi kuota wanita di setiap peringkat struktur parti.

“Kami mempunyai anggota wanita di semua peringkat parti dan sentiasa cuba memenuhi kuota 30 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui cabaran mendapatkan calon wanita masih berlaku di kawasan yang politiknya didominasi lelaki.

Sementara itu, pemimpin PKB, Nihayatul Wafiroh, berkata partinya sentiasa mendukung semangat meningkatkan penyertaan wanita dalam politik.

Penyelidik daripada Persatuan Pilihan Raya dan Demokrasi, Haykal, berkata pengenaan hukuman terhadap parti yang melanggar kuota wanita dijangka menghalang cubaan memintas syarat tersebut.

“Pemenuhan kuota secara bermakna bergantung kepada kesungguhan parti politik merekrut calon wanita yang benar-benar berkualiti, bukan sekadar memenuhi syarat atas kertas,” katanya.

Dalam satu pertikaian pilihan raya pada 2024, Mahkamah Perlembagaan sebelum ini mengarahkan pengundian semula di dua wilayah Gorontalo selepas mendapati empat parti termasuk Gerindra, PKB, Parti NasDem dan Parti Demokrat hanya mencalonkan sekitar 27 peratus wanita.

Keputusan terbaru mahkamah itu dilihat sebagai langkah besar untuk memperkukuh penyertaan wanita dalam politik Indonesia, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap parti politik agar lebih serius memberi ruang kepada calon wanita dalam pilihan raya akan datang. - Agensi berita