Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mahkamah Jenayah Antarabangsa kini guna istilah ‘Negara Palestin’

Oct 11, 2024 | 2:36 PM
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengarahkan penggunaan istilah ‘Negara Palestin’ untuk menggantikan istilah ‘Palestin’ yang digunakan sebelum ini.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengarahkan penggunaan istilah ‘Negara Palestin’ untuk menggantikan istilah ‘Palestin’ yang digunakan sebelum ini. - Foto REUTERS

THE HAGUE: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) secara rasmi meminta badan bukan pemerintah (NGO) dan institusi lain, termasuk yang mendapat sokongan dari Jerman dan Israel, agar menggunakan istilah ‘Negara Palestin’ dalam penghujahan bertulis mereka, menggantikan istilah ‘Palestin’ yang digunakan sebelum ini. 

Arahan bahasa ICC itu berkaitan dengan penyiasatan berterusan terhadap isu berkaitan Palestin, kes yang telah menarik perhatian beberapa entiti antarabangsa.

Pelbagai organisasi, kebanyakannya sejajar dengan perspektif Jerman dan Israel, telah mematuhi permintaan mahkamah dengan mengemas kini istilah tersebut dalam dokumen mereka.

Organisasi terkenal yang menyemak semula penyerahan mereka termasuk Pusat Undang-undang dan Keadilan Eropah (ECLJ), Peguam UK untuk Israel (UKLFI), Persatuan ALMA untuk Kemajuan Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa, Pusat Undang-undang Israel dan Institut Keadilan Jerusalem.

Individu berprofil tinggi, seperti Senator Republikan Amerika Syarikat, Encik Lindsey Graham, Profesor Dr David Chilstein, dan peguam Cik Yael Vias Gvirsman, yang mewakili warga Israel, juga telah meminda istilah mereka selaras dengan arahan ICC.

Sebelum ini menggunakan ‘Palestin’ dalam penghujahan mereka, mereka kini menggunakan ‘Negara Palestin’ mengikut arahan mahkamah, lapor Anadolu Agency.

Pelarasan bahasa itu sejajar dengan status diplomatik yang diberikan ICC kepada Palestin.

Perhimpunan Negara-Negara Pihak ICC secara rasmi mengiktiraf Palestin sebagai negara anggota pada 2015, selepas ia menyerahkan penyertaannya kepada Statut Rome, perjanjian pengasas mahkamah, dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pengiktirafan Negara Palestin berkembang di peringkat antarabangsa, dengan 146 negara kini secara rasmi mengakui statusnya sebagai sebuah negara.

Israel meneruskan serangannya di Jaluran Gaza sejak serangan oleh kumpulan Hamas pada 2023 walaupun resolusi Majlis Keselamatan PBB menggesa gencatan senjata segera.

Lebih 42,000 orang terbunuh sejak itu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 97,300 yang lain cedera dalam serangan itu, lapor pihak berkuasa kesihatan tempatan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg