Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Parlimen pecat Pemangku Presiden Korea Selatan

Dec 27, 2024 | 4:22 PM
Speaker Dewan Negara, Encik Woo Won-shik, mengetuk tukul selepas mengumumkan keputusan pada hari undian pemecatan Pemangku Presiden yang juga Perdana Menteri Korea Selatan, Encik Han Duck-soo, semasa sesi pleno di Dewan Negara, Seoul, pada 27 Disember. 
Speaker Dewan Negara, Encik Woo Won-shik, mengetuk tukul selepas mengumumkan keputusan pada hari undian pemecatan Pemangku Presiden yang juga Perdana Menteri Korea Selatan, Encik Han Duck-soo, semasa sesi pleno di Dewan Negara, Seoul, pada 27 Disember.  - Foto REUTERS

SEOUL: Parlimen Korea Selatan meluluskan usul pemecatan terhadap Pemangku Presiden Han Duck-soo pada 27 Disember, menambahkan lagi ketidaktentuan politik di negara itu.

Encik Han, yang juga Perdana Menteri, telah mengambil alih tugas Presiden Yoon Suk Yeol selepas pemecatan Encik Yoon pada 14 Disember berikutan pengisytiharan undang-undang tentera yang mengejutkan negara.

Pemecatan Encik Han menjadikan Menteri Kewangan, Encik Choi Sang-mok, sebagai pemangku presiden baru, mengikut undang-undang Korea Selatan.

Namun, krisis politik yang berlarutan itu menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan negara, yang menghadapi ancaman nuklear Korea Utara dan cabaran ekonomi domestik.

Parlimen, yang dikuasai oleh pembangkang Parti Demokratik, menolak Encik Han dengan 192 undi, melebihi majoriti mudah yang diperlukan, seperti diumumkan oleh Speaker Dewan Negara, Encik Woo Won-shik.

Keputusan itu ditentang Parti Kuasa Rakyat (PPP) yang memerintah dengan anggotanya meninggalkan dewan sebagai bentuk bantahan.

Encik Han menghormati keputusan itu dan mengumumkan bahawa beliau akan meletak jawatan bagi mengelakkan kekacauan lebih lanjut.

“Saya menerima keputusan Parlimen dan akan berundur bagi memastikan kestabilan negara,” katanya.

Namun, tindakan pemecatan ini menjadi perdebatan dalam kalangan ahli perundangan dan pakar undang-undang.

Sebahagian ahli mendakwa bahawa usul itu memerlukan dua pertiga sokongan seperti dalam kes pemecatan Presiden.

Pemecatan Encik Han berpunca daripada keengganannya melantik tiga hakim untuk mengisi kekosongan di Mahkamah Perlembagaan.

Mahkamah itu akan memutuskan sama ada mengesahkan atau menolak pemecatan Presiden Yoon.

Encik Han berpendapat pelantikan hakim memerlukan persetujuan bersama antara parti pemerintah dengan pembangkang, serta mengingatkan bahawa kuasa pemangku presiden harus digunakan secara berhati-hati.

Pemangku Presiden bukanlah Presiden sebenar. Kuasa besar seperti pelantikan hakim perlembagaan memerlukan konsensus,” kata Encik Han.

Namun, pembangkang mendakwa Encik Han sengaja melambatkan proses itu dan menuduh beliau bersubahat dengan Encik Yoon dalam pengisytiharan undang-undang tentera pada 3 Disember.

Krisis politik itu menimbulkan persoalan mengenai siapakah yang sebenarnya memegang kuasa dalam pemerintah dan tentera.

Profesor Jeong Hoiok dari Universiti Myoungji, berkata: “Ketidakstabilan politik ini memberikan isyarat buruk kepada dunia, merosakkan diplomasi dan kedudukan ekonomi Korea Selatan.”

Kesan ekonomi juga semakin dirasai, dengan mata wang won jatuh ke paras terendah dalam hampir 15 tahun dan pasaran saham mengalami kemerosotan sekitar 10 peratus pada 2024.

Pemecatan Encik Han dan Encik Yoon berpunca daripada pengisytiharan undang-undang tentera Encik Yoon.

Encik Yoon kini berdepan siasatan polis dan pendakwaan atas tuduhan pemberontakan, yang boleh membawa kepada penahanannya.

Mahkamah Perlembagaan memulakan perbicaraan mengenai pemecatan Encik Yoon pada 27 Disember, tetapi keputusan akhir mungkin mengambil masa sehingga enam bulan.

Krisis itu menimbulkan kebimbangan mendalam terhadap kestabilan politik dan ekonomi Korea Selatan.

Profesor Cha Jina dari Universiti Korea berkata: “Pemangku presiden hanyalah pengganti sementara dan tidak sepatutnya memiliki kuasa penuh seperti presiden sebenar.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg