SPH Logo mobile
Langgan|

Mahkamah Kemboja kekalkan hukuman penjara 14 tahun terhadap wartawan kes foto sempadan

Mahkamah Kemboja kekalkan hukuman penjara 14 tahun terhadap wartawan kes foto sempadan

Mar 26, 2026 | 4:20 PM

Mahkamah Kemboja kekalkan hukuman penjara 14 tahun terhadap wartawan kes foto sempadan

Sebuah rumah yang musnah di wilayah Banteay Meanchey, Kemboja pada 13 Mac 2026. Wartawan menyertai lawatan media ke kawasan sempadan untuk meninjau lokasi yang menurut pihak berkuasa Kemboja telah diduduki oleh Thailand, sekali gus memberi gambaran langsung mengenai situasi di sepanjang sempadan Kemboja-Thailand.
Sebuah rumah yang musnah di wilayah Banteay Meanchey, Kemboja pada 13 Mac 2026. Wartawan menyertai lawatan media ke kawasan sempadan untuk meninjau lokasi yang menurut pihak berkuasa Kemboja telah diduduki oleh Thailand, sekali gus memberi gambaran langsung mengenai situasi di sepanjang sempadan Kemboja-Thailand. - Foto EPA

PHNOM PENH: Sebuah mahkamah di Kemboja pada 26 Mac mengekalkan hukuman penjara 14 tahun terhadap dua wartawan yang disabitkan kesalahan khianat selepas menyiarkan gambar yang diambil di kawasan ketenteraan terhad susulan pertempuran sempadan dengan Thailand, menurut kumpulan hak asasi.

Dua wartawan terbabit, Pheap Phara dan Phorn Sopheap, ditahan pada akhir Julai selepas memuat naik gambar di Facebook yang menunjukkan mereka bersama tentera Kemboja di kuil Ta Krabei, sebuah lokasi bersejarah di kawasan sempadan yang dipertikaikan dengan Thailand, menurut kumpulan hak asasi tempatan LICADHO.

Media Thailand kemudian menyiarkan semula gambar itu dan mendakwa ia memaparkan periuk api yang belum dipasang di latar belakang, menurut kenyataan kumpulan tersebut.

Pertikaian sempadan antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu yang berlarutan sejak sekian lama kembali memuncak pada 2025, mengakibatkan puluhan kematian serta lebih sejuta penduduk terpaksa berpindah pada Julai dan Disember.

Thailand berulang kali menuduh Kemboja menanam periuk api baharu di kawasan sempadan yang dipertikaikan, manakala Kemboja menafikan dakwaan tersebut.

Kedua-dua wartawan itu sebelum ini disabitkan kesalahan pada Disember dan dijatuhi hukuman 14 tahun penjara atas pertuduhan “membekalkan maklumat kepada negara asing yang menjejaskan pertahanan negara”.

Mahkamah rayuan di wilayah Battambang mengekalkan sabitan tersebut selepas rayuan difailkan, menurut LICADHO. Peguam mereka tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Pengarah operasi LICADHO, Am Sam Ath, berkata kes itu memberi kesan besar kepada kebebasan media.
“Kes ini menjejaskan bidang kewartawanan, terutama ruang kebebasan media, dan boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan wartawan terhadap keselamatan mereka,” katanya kepada AFP.

Kemboja berada di kedudukan ke-161 daripada 180 negara dalam Indeks Kebebasan Media Dunia oleh Reporters Without Borders.

Jurucakap Kementerian Penerangan, Tep Asnarith, bagaimanapun berkata kes tersebut menjadi pengajaran kepada wartawan untuk lebih berhati-hati dalam menerbitkan laporan, khususnya berkaitan keselamatan negara.

“Kebebasan media perlu seiring dengan tanggungjawab terhadap undang-undang dan kepentingan negara,” katanya.

Kemboja dan Thailand sebelum ini menandatangani perjanjian gencatan senjata pada akhir Disember, namun ketegangan di sempadan masih berterusan dengan kedua-dua pihak saling menuduh melanggar perjanjian. - AFP

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg