PM Kemboja: Pusat penipuan rosakkan ekonomi dan imej negara

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Kemboja: Pusat penipuan rosakkan ekonomi dan imej negara

Kemboja muncul sebagai antara lokasi utama sindiket jenayah antarabangsa perdaya mangsa seluruh dunia
Feb 26, 2026 | 1:42 PM

PM Kemboja: Pusat penipuan rosakkan ekonomi dan imej negara

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
PM Kemboja, Pusat penipuan siber Kemboja, Hun Manet Brussels interview, sindiket scam Asia Tenggara, Prince Group Chen Zhi, pemerdagangan manusia Kemboja, KDNK Kemboja 2026, jenayah siber antarabangsa, berita AFP Kemboja
Perdana Menteri Kemboja Hun Manet bercakap dalam wawancara bersama AFP di Brussels pada 25 Februari. Hun Manet berkata pusat penipuan sedang merosakkan ekonomi negaranya serta mencemarkan nama Kemboja, sambil menolak dakwaan kerajaan bersekongkol. Negara itu muncul sebagai lokasi utama sindiket jenayah yang mengendalikan industri penipuan berbilion dolar dengan memperdaya pengguna Internet di seluruh dunia melalui hubungan cinta palsu dan pelaburan mata wang kripto. - Foto AFP

BRUSSELS: Perdana Menteri Kemboja Hun Manet berkata pusat penipuan siber yang beroperasi di negaranya sedang merosakkan ekonomi serta mencemarkan reputasi negara itu, sambil menolak dakwaan kerajaan bersekongkol dengan sindiket berkenaan.

Kemboja sejak beberapa tahun kebelakangan ini muncul sebagai antara lokasi utama sindiket jenayah antarabangsa yang memperdaya mangsa di seluruh dunia melalui hubungan cinta palsu dan pelaburan mata wang kripto.

“Rangkaian penipuan, atau ekonomi gelap, sedang memusnahkan ekonomi jujur kami. Ia memberi nama buruk kepada Kemboja,” katanya dalam wawancara bersama AFP di Brussels.

Menurut beliau, kegiatan tersebut turut menjejas sektor pelancongan dan pelaburan asing. Kerajaan, katanya, telah melancarkan operasi besar-besaran sehingga membawa kepada ribuan tangkapan, termasuk penghantaran pulang seorang bekas penasihat kepimpinan negara ke China.

Namun beberapa pakar industri mempersoalkan kesungguhan tindakan itu dengan mendakwa wujud hubungan antara pegawai Kemboja dan rangkaian penipuan.

Encik Hun Manet, yang mengambil alih jawatan daripada bapanya Encik Hun Sen pada 2023, mengakui kegiatan itu secara tidak langsung merangsang sebahagian aktiviti perniagaan dan menyediakan pekerjaan, tetapi menafikan negara mendapat manfaat sebenar daripadanya.

“Ya, pusat penipuan mungkin memberi kesan kepada sektor hartanah dan pelaburan pembinaan, tetapi sebahagian besar keuntungannya tidak disalurkan kepada kerajaan Kemboja,” katanya.

Pakar menganggarkan puluhan pusat penipuan beroperasi di negara itu dengan kira-kira 100,000 individu terlibat, ramai daripadanya mangsa pemerdagangan manusia yang dipaksa bekerja.

Laporan Institut Keamanan Amerika Syarikat pada 2024 menganggarkan pulangan penipuan siber di Kemboja melebihi AS$12.5 bilion ($15.78 bilion) setahun, bersamaan kira-kira separuh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rasmi negara itu.

Encik Hun Manet bagaimanapun menolak dakwaan ekonomi negara bergantung kepada penipuan.

“Ada yang mengatakan KDNK Kemboja bergantung kepada penipuan. Tidak. Kami bergantung pada ekonomi sebenar seperti pelancongan dan pembuatan,” katanya.

Sindiket tersebut beroperasi dari beberapa negara Asia Tenggara.

Sebahagian pekerja menyertainya secara sukarela, namun ramai warga asing diperdagangkan dan dipaksa bekerja di bawah ancaman penderaan.

Pada awalnya mereka menyasarkan penutur bahasa Mandarin, namun kini beroperasi dalam pelbagai bahasa untuk memperdaya mangsa di seluruh dunia.

Operasi membanteras yang digerakkan sebahagiannya oleh Beijing pada 2025 membebaskan ribuan pekerja pusat penipuan di Myanmar dan Kemboja serta menghantar mereka pulang ke negara asal.

Kemuncaknya pada Januari apabila ahli perniagaan kelahiran China, Chen Zhi, ditahan dan diekstradisi dari Kemboja.

Chen sebelum ini merupakan penasihat kepada Encik Hun Manet dan bapanya.

“Kami tidak tahu beliau dalang utama,” kata Encik Hun Manet, yang berada di Brussels dalam lawatan diplomatik berkaitan konflik sempadan dengan Thailand.

Beliau berkata semakan latar belakang tidak menunjukkan sebarang masalah walaupun syarikat Chen, Prince Group, beroperasi di banyak negara termasuk Britain.

Menurut pendakwa Amerika Syarikat, syarikat itu menjadi lindungan kepada empayar penipuan siber besar yang beroperasi sejak 2015 di lebih 30 negara melalui perniagaan hartanah dan kewangan.

Sebelum dakwaan timbul, Chen dianggap “sekadar ahli perniagaan yang menyumbang kepada ekonomi”.

“Apa sahaja aktivitinya, kami tidak tahu,” kata Encik Hun Manet, sambil menegaskan pihak berkuasa bertindak sebaik sahaja mengetahui kesalahan didakwa.

Pendakwa Amerika Syarikat menyatakan Chen mengendalikan kompleks buruh paksa di Kemboja, menempatkan pekerja yang diperdagangkan dalam kem berpagar kawat berduri.

Prince Group menafikan tuduhan tersebut.

Encik Hun Manet berkata Chen dihantar ke China, bukan Amerika Syarikat, kerana kewarganegaraannya.

Menurutnya, kewarganegaraan Kemboja Chen dibatalkan selepas didapati diperoleh menggunakan dokumen palsu, menyebabkan beliau hanya berstatus warga China.

“Kami tiada pilihan selain menghantarnya ke negara asal,” katanya.

Perdana menteri menegaskan kerajaan akan terus membersihkan rangkaian jenayah tersebut. “Inilah sebabnya kita perlu menghapuskan kegiatan ini,” katanya. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg