SEOUL: Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan akan memulakan semakan terhadap pemecatan Presiden Yoon Suk Yeol pada 16 Disember, susulan pengisytiharan undang-undang tentera yang diumumkan pada 3 Disember.
Menurut jurucakap mahkamah, enam hakim akan menghadiri sesi pertama bagi membincangkan prosedur dan langkah hujahan kes.
Pemecatan Presiden Yoon telah diluluskan oleh Parlimen yang dikuasai pembangkang pada 14 Disember.
Mahkamah mempunyai tempoh sehingga enam bulan untuk memutuskan sama ada menggugurkan beliau daripada jawatan atau mengembalikannya ke kedudukan asal.
Hakim Kim Hyung-du berkata sesi awal akan memberi tumpuan kepada tatacara perbicaraan.
Pada 2017, mahkamah mengambil masa tiga bulan untuk memutuskan pemecatan bekas Presiden Park Geun-hye atas penyalahgunaan kuasa, selepas hujahan lisan bermula tiga minggu dari tarikh Parlimen meluluskan pemecatan tersebut.
Presiden Yoon dan beberapa pegawai kanan kini berdepan tuduhan pemberontakan susulan pengisytiharan undang-undang tentera yang singkat itu.
Menurut sumber daripada pihak polis, pasukan penyiasat gabungan yang melibatkan pihak polis, Kementerian Pertahanan dan agensi antirasuah dijadual akan menyoal siasat Presiden Yoon pada 18 Disember.
Bagaimanapun, pada 15 Disember, Presiden Yoon tidak hadir untuk sesi soal siasat yang dijalankan oleh pejabat pendakwa raya, dengan alasan sedang membentuk pasukan guaman bagi pembelaannya.
Pemerintah yang kini dipimpin Pemangku Presiden Han Duck-soo bergerak pantas untuk memastikan kestabilan negara.
Encik Han berusaha meyakinkan rakan antarabangsa dan menenangkan pasaran kewangan.
Awal pagi 16 Disember, menteri kewangan, gabenor Bank Korea dan pengawal selia kewangan utama bertemu untuk memantau pasaran kewangan dan tukaran asing secara berterusan.
Pasaran saham Kospi menunjukkan peningkatan untuk hari kelima berturut-turut pada 16 Disember, mencapai paras tertinggi dalam lebih dua minggu.
Analisis menunjukkan pengurangan ketidakpastian politik menyumbang kepada sentimen positif itu.
Tindakan undang-undang tentera Presiden Yoon mengejutkan pasaran dan rakan diplomatik, yang bimbang dengan keupayaan Korea Selatan untuk menangani ancaman nuklear Korea Utara.
Dalam langkah pertamanya, Encik Han menghubungi Presiden Amerika Syarikat Joe Biden pada 15 Disember, mengulangi komitmen kepada dasar keselamatan yang berpandukan perikatan antara kedua-dua negara.
Pemecatan Presiden Yoon turut mencetuskan pergolakan dalam parti pemerintah, Parti Kuasa Rakyat.
Pemimpin parti Han Dong-hoon, mengumumkan peletakan jawatannya pada 16 Disember, selepas menyokong keputusan memecat Presiden Yoon sebagai langkah mengembalikan kestabilan negara.
“Pemecatan Presiden Yoon Suk Yeol adalah keputusan yang menyakitkan, tetapi saya tidak menyesal melakukannya,” kata Encik Dong-hoon dalam sidang media di Parlimen.
Encik Han Dong-hoon, yang dipilih sebagai ketua parti pada Julai lalu, menyatakan bahawa keruntuhan Majlis Tertinggi Parti telah menjadikan mustahil untuk beliau meneruskan tugasnya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg