Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendakwa raya Korea S mohon lagi Presiden Yoon ditahan lebih lama

Jan 25, 2025 | 10:01 PM
Para pakar berkata pihak pendakwa raya perlu segera mendakwa Presiden Yoon Suk Yeol untuk menahannya lebih lama.
Para pakar berkata pihak pendakwa raya perlu segera mendakwa Presiden Yoon Suk Yeol untuk menahannya lebih lama. - Foto REUTERS

SEOUL: Pendakwa raya Korea Selatan pada 25 Januari sekali lagi memohon agar dilanjutkan penahanan ke atas Presiden Yoon Suk Yeol berhubung dekri undang-undang tentera yang gagal.

Lanjutan penanahannya dibuat selepas mahkamah Seoul menolak tuntutan yang sama sebelum ini, lapor agensi berita Yonhap.

Beliau diberkas dalam serbuan pada awal pagi minggu lalu atas tuduhan melakukan pemberontakan, menjadikannya ketua negara Korea Selatan pertama yang ditahan dalam siasatan jenayah.

Dekri undang-undang tenteranya berlangsung hanya kira-kira enam jam sebelum ia diundi untuk dibatalkan oleh para anggota parlimen yang merempuh masuk ke parlimen.

Tetapi insiden itu masih berjaya menjerumuskan Korea Selatan ke dalam krisis politik terburuk dalam beberapa dekad.

Mahkamah mengeluarkan waran penahanannya minggu lalu atas alasan terdapat risiko beliau akan memusnahkan bukti, tetapi penyiasat berkata bahawa dokumen asal tamat tempoh pada 28 Januari.

Lewat 24 Januari, Mahkamah Daerah Pusat Seoul menolak permintaan penyiasat untuk melanjutkan penahanannya hingga 6 Februari, menyatakan ia “sukar untuk mencari alasan yang mencukupi”, kata pendakwa raya.

Hanya beberapa jam kemudian, pihak pendakwa memfailkan permohonan baru, lapor Yonhap.

Mereka kini mesti memutuskan sama ada akan mendakwanya kerana “mengetuai pemberontakan dan salah guna kuasa”, seperti yang disyorkan oleh Pejabat Siasatan Rasuah (CIO).

Encik Yoon kekal ditahan di pusat tahanan di Seoul. CIO menuduhnya bersekongkol dengan bekas menteri pertahanannya dan komander tentera lain untuk “mengganggu perintah perlembagaan”.

Pakar berkata keputusan 24 Januari itu bermakna pendakwa perlu bergerak cepat untuk mendakwa Encik Yoon dengan tujuan menahannya.

“Hakim nampaknya telah memutuskan bahawa tiada justifikasi untuk siasatan lanjut terhadap Yoon dan pihak pendakwaan mesti memutuskan sama ada akan mengemukakan pertuduhan,” kata Encik Yoo Jung-hoon, seorang peguam dan pengulas politik.

Encik Yoon telah menolak untuk bekerjasama dengan siasatan jenayah ke atas pengisytiharan undang-undang tenteranya, dengan pasukan pembela berhujah bahawa penyiasat tidak mempunyai kuasa undang-undang.

Beliau juga menghadapi perbicaraan berasingan di Mahkamah Perlembagaan yang, jika ia mengekalkan pemecatannya, secara rasmi Encik Yoon akan dipecat daripada jawatannya. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg