Mahkamah Thai tolak permohonan Thaksin keluar negara hadiri mesyuarat ASEAN
Mahkamah Thai tolak permohonan Thaksin keluar negara hadiri mesyuarat ASEAN
Mahkamah Thai tolak permohonan Thaksin keluar negara hadiri mesyuarat ASEAN
BANGKOK: Mahkamah Jenayah Thailand telah menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, untuk meninggalkan negara bagi menghadiri mesyuarat ASEAN di Indonesia pada 7 Mac. Keputusan ini dibuat selepas mahkamah mendapati tiada alasan kukuh untuk membenarkan perjalanan tersebut.
Encik Thaksin, yang berdepan tuduhan di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan Thailand berkaitan undang-undang lese majeste (menghina institusi diraja), mengemukakan permohonan rasmi di Mahkamah Jenayah Ratchadaphisek pada 6 Mac.
Sekiranya permohonannya diluluskan, beliau perlu membayar jaminan serta mematuhi prosedur perundangan sebelum berlepas. Bagaimanapun, selepas sesi pendengaran pada jam 3 petang, mahkamah memutuskan bahawa permohonan itu tidak dapat diterima.
Sebelum ini, pada Januari lalu, mahkamah membenarkan Encik Thaksin menghadiri satu mesyuarat di Malaysia dengan syarat beliau membayar wang jaminan sebanyak 5 juta baht (S$197,000) serta melaporkan diri dalam tempoh tiga hari selepas pulang.
Pada Februari, beliau juga mendapat kebenaran untuk menghadiri mesyuarat ASEAN di Brunei, namun permohonannya untuk ke Vietnam dan Kemboja ditolak.
Thaksin telah dilantik sebagai penasihat tidak rasmi kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi membantu persiapan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025. Pelantikan ini diumumkan pada 16 Disember 2024 dalam satu sidang media di Putrajaya yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra, yang juga anak kepada Thaksin.
Encik Anwar memuji pengalaman luas Thaksin sebagai negarawan dan menyatakan bahawa pandangannya mampu memberi nilai tambah dalam isu-isu berkaitan ASEAN.
Walaupun pernah hidup dalam buangan akibat pertuduhan politik, Encik Thaksin kembali ke Thailand pada 2023 dan kekal sebagai figura politik berpengaruh.
Pelantikannya sebagai penasihat ASEAN dianggap sebagai langkah strategik dalam menangani cabaran besar serantau, termasuk krisis Myanmar yang masih menjadi isu utama ASEAN.
“Pengalaman Thaksin dalam politik serantau memberi perspektif berharga untuk penyelesaian konflik di ASEAN,” kata seorang pegawai kanan Malaysia. - Agensi berita

