BANGKOK: Sebilangan besar rakyat Thailand tidak yakin dengan keupayaan Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra dalam mengemudi ekonomi negara yang masih terjejast sejak enam bulan lalu, menurut satu tinjauan pendapat.
Kajian yang dijalankan oleh Institut Pembangunan Pentadbiran Negara (NIDA) pada 24 hingga 26 Februari menunjukkan bahawa kira-kira 63 peratus responden berasa “kurang yakin” atau “tidak yakin langsung” terhadap kebolehan kerajaan menyelesaikan masalah negara.
Mereka berpendapat bahawa tiada perubahan ketara atau hasil jelas sejak pentadbiran ini mengambil alih kuasa.Tinjauan yang melibatkan 1,310 responden berusia 18 tahun ke atas ini mempunyai margin kesilapan sebanyak tiga peratus, menurut kenyataan rasmi NIDA pada 2 Mac.
Cik Paetongtarn, yang merupakan anak kepada bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, dijangka menjadi sasaran utama dalam ‘perbahasan tidak percaya’ yang bakal berlangsung berikutan kelemahan dalam pencapaian ekonomi negara.
Walaupun kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah rangsangan ekonomi, termasuk pemberian tunai kepada rakyat, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024 hanya mencatat 2.5 peratus – jauh lebih rendah daripada jangkaan pakar ekonomi dan separuh daripada kadar pertumbuhan Indonesia.
Lebih 55 peratus daripada responden menyatakan mereka “tidak begitu berpuas hati” atau “tidak berpuas hati langsung” dengan prestasi kerajaan gabungan dan kepimpinan Cik Paetongtarn. Sementara itu, sebahagian kecil responden menyatakan mereka masih berpuas hati dengan pentadbiran sedia ada.
Bagi menjawab kebimbangan rakyat, Cik Paetongtarn menegaskan bahawa kerajaan tidak mampu memulihkan ekonomi bersendirian kerana sumber kewangan yang sangat terhad.
“Saya harap rakyat tidak terlalu kecewa dengan kadar pertumbuhan KDNK,” katanya dalam siaran televisyen bulanannya pada 2 Mac. “Dengan kerjasama sektor swasta, ekonomi mempunyai peluang besar untuk berkembang dengan pesat,” tambahnya.
Bagaimanapun, unjuran pertumbuhan oleh Bank of Thailand menunjukkan angka yang lebih rendah daripada sasaran kerajaan. Bank pusat itu meramalkan pertumbuhan sedikit melebihi 2.5 peratus pada 2025, berbanding anggaran awal 2.9 peratus.
Sebagai perbandingan, kerajaan sebelum ini menyasarkan pertumbuhan antara 3 hingga 3.5 peratus untuk tahun 2025.
Menanggapi sentimen rakyat yang semakin merosot, seorang pengundi, Encik Somchai Rattanakorn, berkata beliau kecewa dengan kepimpinan semasa.
“Kami diberi harapan tinggi, tetapi tiada perubahan nyata dalam ekonomi. Rakyat memerlukan tindakan, bukan sekadar janji,” katanya. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg