Mahkamah Thai tolak permohonan Thaksin ke Qatar untuk bertemu Trump
Mahkamah Thai tolak permohonan Thaksin ke Qatar untuk bertemu Trump
Mahkamah Thai tolak permohonan Thaksin ke Qatar untuk bertemu Trump
BANGKOK: Mahkamah Thailand telah menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, untuk ke luar negara ke Qatar bagi menghadiri satu majlis peribadi yang dijangka dihadiri oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Encik Thaksin, yang kini berdepan pertuduhan jenayah di bawah undang-undang ketat fitnah diraja Thailand, memohon kebenaran merentas sempadan sebagai sebahagian daripada syarat ikat jamin yang dikenakan ke atasnya.
Namun begitu, Mahkamah Jenayah pada 8 Mei memutuskan bahawa permintaan itu tidak mempunyai “justifikasi yang mencukupi”, sambil menyatakan bahawa jemputan dari Istana Lusail di Qatar iaitu lokasi Encik Trump dijangka menghadiri majlis makan malam tertutup. Ia adalah bersifat peribadi dan “tidak berkaitan dengan sebarang peranan rasmi diplomatik.”
Dalam permohonannya, Encik Thaksin berhujah bahawa acara tersebut menawarkan peluang luar biasa untuk berbincang secara tidak rasmi dengan Encik Trump dan pasukan ekonominya, khususnya selepas Thailand dikenakan tarif sebanyak 36 peratus sebagai sebahagian daripada gelombang penalti perdagangan oleh Amerika Syarikat.
“Permintaan itu tidak mengandungi jadual perjalanan yang jelas,” menurut kenyataan mahkamah.
Mahkamah juga menyatakan kebimbangan bahawa perjalanan ke luar negara itu boleh menjejaskan proses perundangan yang sedang berlangsung terhadap Encik Thaksin.
Perbincangan rasmi antara Amerika Syarikat dan Thailand mengenai tarif, yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada April, telah ditangguhkan tanpa tarikh baru. Penangguhan ini mencetuskan spekulasi bahawa politik dalaman mungkin menjadi punca kelewatan tersebut.
Encik Thaksin pulang ke Thailand pada Ogos 2023 selepas lebih sedekad tinggal di luar negara, dan telah berikrar untuk “tidak lagi terbabit dalam politik secara langsung.” Namun, media tempatan melaporkan bahawa beliau telah menawarkan diri untuk membantu menjalin semula hubungan perdagangan dengan Washington secara tidak formal.
Anaknya, Cik Paetongtarn Shinawatra, dilantik sebagai Perdana Menteri pada tahun 2024, satu perkembangan yang ramai penganalisis anggap sebagai hasil percaturan politik Encik Thaksin. Walaupun Encik Thaksin tidak memegang sebarang jawatan rasmi, pengkritik menyifatkan beliau masih menjadi tokoh utama di sebalik kerajaan sedia ada.
Bekas perdana menteri itu kekal popular di kalangan penyokong setianya, namun beliau dilihat kurang disenangi oleh golongan istana dan tentera yang pro-diraja.
Encik Thaksin dijangka hadir ke mahkamah pada bulan Julai bagi perbicaraan kes fitnah diraja, yang berpunca daripada satu wawancara bersama media Korea Selatan pada tahun 2015. Beliau juga sedang disiasat oleh Mahkamah Agung atas dakwaan menerima layanan istimewa selepas kepulangannya ke Thailand. - AFP

