HONG KONG: Mahkamah Hong Kong menolak permohonan para peguam bela jutawan prodemokrasi, Encik Jimmy Lai, supaya tuduhan menghasut terhadapnya digugurkan dalam perbicaraan keselamatan negara yang dipantau rapi.
Encik Lai, 76 tahun, pengasas akhbar prodemokrasi, Apple Daily yang kini ditutup, didakwa atas tuduhan bersubahat menerbitkan penerbitan berunsur hasutan di bawah undang-undang hasutan era penjajah.
Peguam Encik Lai, Encik Robert Pang, berhujah bahawa pertuduhan menghasut harus ditolak kerana pihak pendakwaan gagal mengemukakan pertuduhan dalam tempoh enam bulan dari kesalahan yang didakwa.
Encik Pang menegaskan bahawa anak guamnya hanya dibawa ke mahkamah dan didakwa secara rasmi pada 28 Disember 2021 – empat hari selepas tarikh akhir.
Tiga hakim yang dilantik pemerintah untuk perbicaraan itu – Cik Esther Toh, Cik Susana D’Almada Remedios dan Encik Alex Lee – berkata had masa tidak boleh diambil kira kerana konspirasi itu adalah “kesalahan yang berterusan dan oleh itu tiada had masa permulaan dan terakhir”.
“Mahkamah memutuskan bahawa pendakwaan pertuduhan hasutan terhadap tertuduh tiada batas masa,” kata hakim dalam ringkasan penghakiman mereka pada 22 Disember.
“Oleh itu, Mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan yang tertuduh atas pertuduhan menghasut.”
Menurut pihak pendakwaan, Encik Lai dan Apple Daily menerbitkan sejumlah 161 artikel berunsur hasutan antara 1 April 2019 dengan 24 Jun 2021 – sehingga akhbar itu menghentikan penerbitan berikutan serbuan polis, pembekuan asetnya dan penahanan bekas kakitangan yang melumpuhkan operasinya.
Selain pertuduhan menghasut, Encik Lai turut berdepan dua konspirasi untuk bersubahat dengan kuasa asing dan mendesak agar sekatan dikenakan terhadap pegawai Hong Kong dan China.
Tuduhan itu dibuat di bawah undang-undang keselamatan negara yang dikenakan China dan boleh membawa kepada hukuman penjara seumur hidup.
Encik Lai mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.
Terdahulu Amerika Syarikat dan Britain menuntut pembebasan Encik Lai.
Perbicaraan terhadap Encik Lai sedang dipantau dengan teliti sebagai pengukur bagi kebebasan politik dan kebebasan kehakiman Hong Kong.
Encik Lai adalah warganegara Britain dan beberapa wakil konsulat asing dari Amerika, Britain, Australia dan Canada turut hadir pada proses perbicaraan itu.
Kes beliau mendapat kecaman meluas daripada masyarakat antarabangsa namun China menolak kritikan berkenaan sebagai fitnah dan campur tangan asing. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg