Topik diikuti
Pergi ke BHkuMajlis kahwin tukar jadi tragedi selepas serangan AS di Iran
Sekurang-kurangnya 5 maut, lebih 60 cedera apabila bom jatuh di kawasan kediaman
TEHERAN: Sebuah majlis perkahwinan yang sepatutnya menjadi malam penuh kegembiraan di sebuah bandar kecil di selatan Iran bertukar menjadi tragedi apabila sebuah bom dipercayai milik Amerika Syarikat menghentam kawasan kediaman itu, mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang dan mencederakan 67 yang lain.
Antara yang terbunuh dalam serangan di Kuhestak, wilayah Hormozgan, pada malam 1 September itu ialah seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun.
Pengantin lelaki dan perempuan dilaporkan terselamat.
Serangan berlaku sekitar 9.30 malam ketika puluhan tetamu sudah berkumpul di rumah keluarga Malahi dan beberapa kediaman berdekatan untuk meraikan pasangan pengantin.
Seperti kebanyakan majlis perkahwinan tradisional di bandar kecil di selatan Iran, acara itu diadakan di rumah, dengan tetamu lelaki dan wanita berkumpul secara berasingan.
Beberapa jam sebelumnya, kaum wanita hadir dengan tangan dihiasi inai, kanak-kanak bermain di halaman dan hidangan untuk tetamu sedang disediakan.
Namun, letupan kuat kemudian meruntuhkan bumbung sebuah bangunan tempat sebahagian majlis berlangsung.
Rakaman selepas serangan menunjukkan dinding konkrit berlubang, pintu pecah dan siling runtuh, manakala kasut, hiasan majlis dan permaidani yang berlumuran darah berselerakan di tengah runtuhan.
Seorang penduduk tempatan yang dikenali sebagai Kian berkata bekalan elektrik dan talian telefon terputus selepas letupan.
“Orang ramai mendukung kanak-kanak dan cuba membawa mereka ke hospital menggunakan trak pikap dan apa sahaja kenderaan yang mereka temui,” katanya.
Menurutnya, bom itu mengenai bahagian majlis yang menempatkan tetamu wanita.
“Itulah sebabnya kebanyakan mereka yang cedera ialah wanita dan kanak-kanak,” katanya.
Persatuan Bulan Sabit Merah Iran berkata sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan 67 cedera.
Antara mangsa ialah Amir-Mohammad Karimi, enam tahun, yang baru memulakan tadika.
Ibunya berkata kanak-kanak itu begitu teruja untuk menghadiri majlis berkenaan sehingga pergi lebih awal bersama kakaknya, Kiana, 14 tahun.
Apabila letupan kedengaran, wanita itu berlari mencari kedua-dua anaknya dan menemui mereka diselaputi debu serta terkena serpihan.
Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Hazrat Abolfazl di Minab.
Bapa pengantin perempuan dan pemilik bangunan yang terkena serangan, Encik Ali Malahi, menyifatkan kejadian itu sebagai amat menyedihkan.
“Syukur kepada Tuhan jumlah korban tidak lebih tinggi,” katanya kepada televisyen pemerintah Iran.
Analisis visual dan pemeriksaan serpihan senjata oleh seorang pakar bahan letupan menunjukkan bom yang mengenai kawasan kediaman itu dipercayai senjata milik Amerika.
Mantan juruteknik pemusnah bahan letupan Tentera Amerika, Encik Trevor Ball, mengenal pasti serpihan di lokasi sebagai komponen bom luncur yang digunakan oleh Markas Pusat Amerika (Centcom).
Antara serpihan itu ialah sirip ekor dan bahagian badan senjata yang menurutnya sepadan dengan Joint Standoff Weapon (JSOW).
Serangan itu berlaku ketika tentera Amerika melancarkan serangan besar-besaran terhadap beberapa sasaran di selatan Iran.
Markas Pusat Amerika (Centcom) berkata operasinya menyasarkan kemudahan komunikasi dan lokasi lain yang dikaitkan dengan angkatan bersenjata Iran, termasuk Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran.
Sebuah menara komunikasi besar berhampiran pelabuhan Kuhestak turut diserang dan tumbang merentasi jalan berhampiran kawasan kediaman.
Bangunan tempat majlis perkahwinan berlangsung terletak kira-kira 140 meter dari menara tersebut.
Centcom tidak secara langsung mengesahkan atau menafikan bahawa pasukannya menyerang majlis perkahwinan itu.
Jurucakapnya, Kapten Tim Hawkins, berkata tentera Amerika menyedari laporan mengenai kejadian tersebut tetapi menegaskan: “Tentera Amerika tidak pernah menyasarkan orang awam, tidak seperti IRGC.”
Teheran mengecam serangan itu sebagai “jenayah perang”, dengan Kementerian Luar Iran berkata kejadian di Kuhestak menunjukkan kesan sebenar perang terhadap orang awam.
Persatuan Bulan Sabit Merah Iran pula meminta pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menyiasat serangan tersebut.
Kejadian itu berlaku ketika pertempuran Amerika-Iran kembali meningkat selepas beberapa minggu reda.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, berkata tentera negaranya melancarkan “serangan sangat besar” terhadap Iran dan bersedia melancarkan serangan sekali lagi pada bila-bila masa.
Washington berkata serangan terbarunya adalah tindak balas terhadap percubaan Iran memasang periuk api di Selat Hormuz serta serangan peluru berpandu terhadap pangkalan Amerika di Jordan.
Iran kemudian menyerang pangkalan Amerika di Jordan, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Bahrain dan wilayah Kurdistan Iraq.
Setiausaha Majlis Tertinggi Keselamatan Negara Iran, Encik Mohsen Rezaei, memberi amaran Teheran kini bersedia menggunakan “strategi baharu” dalam peperangan.
Bagi mereka yang berada di majlis perkahwinan di Kuhestak, pertikaian antara dua negara itu kini membawa kesan yang jauh lebih peribadi.
Seorang tetamu, Encik Motahareh, yang sebelum serangan berkongsi gambar dirinya tersenyum ketika menghadiri acara berinai, kemudian memuat naik gambar dengan wajah diselaputi debu dan solekan yang luntur.
“Malam ini sepatutnya menjadi malam cinta dan ketawa,” tulisnya.
“Tetapi majlis perkahwinan bertukar menjadi perkabungan, dan malam yang manis akan kekal pahit selama-lamanya.” – Agensi berita.
