NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan bermesyuarat pada 20 September berhubung letupan alat kelui yang menyasarkan kumpulan Hezbollah di Lebanon, kata Duta Slovenia untuk PBB, Encik Samuel Zbogar, yang juga presiden majlis seramai 15 anggota untuk September.
Mesyuarat itu diadakan ekoran permintaan Algeria bagi pihak negara-negara Arab, katanya.
Terdahulu pada 18 September, Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, memberi amaran bahawa letupan alat kelui yang menyasarkan Hezbollah itu menunjukkan “risiko serius peningkatan dramatik di Lebanon dan segala-galanya mesti dilakukan untuk elakkan peningkatan itu”.
“Jelas sekali, logik untuk membuat semua peranti ini meletup adalah untuk melakukannya sebagai serangan awal sebelum operasi ketenteraan besar,” katanya kepada pemberita, menjelang perhimpunan tahunan pemimpin dunia di Perhimpunan Agung PBB.
Beliau turut berkata bahawa adalah sangat penting untuk tidak menggunakan senjata yang boleh memudaratkan orang awam.
Encik Guterres “menggesa semua pihak yang prihatin agar menjalankan sekatan maksimum untuk mengelakkan sebarang peningkatan lanjut,” kata jurucakapnya, Encik Stephane Dujarric, dalam satu kenyataan.
Dalam kejadian letupan alat kelui yang digunakan anggota kumpulan Hezbollah pada 17 September, sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan sekitar 2,800 cedera.
Rumah Putih pada 19 September memberi amaran kepada semua pihak agar tidak meningkatkan ketegangan di Timur Tengah susulan dua hari letupan di Lebanon, yang secara meluas dikaitkan dengan Israel, menyasarkan kumpulan Hezbollah yang menggunakan peranti mudah alih.
“Kami masih tidak mahu melihat sebarang peningkatan ketegangan. Kami tidak percaya bahawa cara untuk menyelesaikan krisis ini adalah melalui operasi ketenteraan tambahan,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Encik John Kirby, kepada wartawan.
Menurut Encik Kirby, Rumah Putih tetap yakin bahawa cara terbaik mengelakkan peningkatan ketegangan dan mencegah pembukaan satu lagi barisan hadapan di Lebanon adalah melalui diplomasi.
Pegawai Israel belum mengulas mengenai serangan ke atas peranti komunikasi Hezbollah sejak dua hari lalu tetapi sumber keselamatan berkata agensi pengintip Israel Mossad bertanggungjawab ke atas letupan itu.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dalam satu kenyataan video ringkas, tidak menyebut tentang operasi yang meletupkan beribu-ribu alat kelui yang digunakan oleh Hezbollah itu.
Lebanon menyalahkan serangan itu ke atas Israel.
Dalam kenyataan berasingan, Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, berkata lebih banyak pasukan dihantar ke sempadan utara, tempat Israel telah bertukar-tukar tembakan setiap hari dengan Hezbollah selama berbulan-bulan, ketika perang memasuki fasa baru.
“Pusat graviti bergerak ke utara, bermakna kita peruntukkan kuasa, sumber dan tenaga untuk kawasan utara,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya.
Perdana Menteri sementara Lebanon, Encik Najib Mikati, mengadakan mesyuarat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Krisis negara itu bagi bincangkan senario yang berkemungkinan akan berlaku susulan perkembangan serangan Israel, lapor agensi berita Jerman, dpa. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg