Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Majlis Keselamatan PBB kutuk keganasan di Syria, desak lindungi semua etnik, agama

Mar 14, 2025 | 12:21 PM
Orang ramai berhimpun membantah keganasan terhadap komuniti Alawiyah di Syria dalam satu demonstrasi di Place des Nations, di hadapan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Eropah di Geneva, Switzerland, pada 13 Mac 2025.
Menurut Syrian Observatory for Human Rights, lebih daripada 1,200 orang terbunuh sejak 6 Mac 2025 dalam pertempuran antara tentera kerajaan dan penyokong bekas pemerintah, Bashar al-Assad — majoriti mangsa adalah orang awam daripada golongan minoriti Alawiyah.
Orang ramai berhimpun membantah keganasan terhadap komuniti Alawiyah di Syria dalam satu demonstrasi di Place des Nations, di hadapan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Eropah di Geneva, Switzerland, pada 13 Mac 2025. Menurut Syrian Observatory for Human Rights, lebih daripada 1,200 orang terbunuh sejak 6 Mac 2025 dalam pertempuran antara tentera kerajaan dan penyokong bekas pemerintah, Bashar al-Assad — majoriti mangsa adalah orang awam daripada golongan minoriti Alawiyah. - Foto EPA-EFE

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mencapai persetujuan untuk mengeluarkan satu kenyataan rasmi yang mengutuk keganasan meluas di wilayah pantai Syria dan mendesak pihak berkuasa sementara negara itu melindungi semua rakyat Syria tanpa mengira etnik atau agama, menurut para diplomat pada 13 Mac.

Kenyataan Presiden Majlis itu yang digubal bersama oleh Russia dan Amerika Syarikat dijangka diterima secara rasmi pada 14 Mac. Ia disepakati secara sebulat suara oleh semua 15 negara anggota selepas sesi tertutup mengenai Syria pada 10 Mac lalu.

Keganasan berdarah yang berlaku selama beberapa hari di wilayah pantai Syria menyaksikan pertempuran sengit antara penyokong bekas Presiden Bashar al-Assad dan pemerintah baru negara itu. Menurut satu kumpulan pemantau perang, lebih daripada 1,000 orang terbunuh, termasuk wanita dan kanak-kanak di Tartus dan Latakia — kawasan yang dihuni oleh masyarakat Alawiyah, iaitu golongan minoriti yang pernah menyokong Assad.

“Majlis Keselamatan menggesa pihak berkuasa sementara Syria untuk melindungi semua rakyatnya tanpa mengira etnik atau agama,” menurut kenyataan itu yang diperoleh Reuters. “Mereka juga mesti memastikan pelaku pembunuhan beramai-ramai ini dihadapkan ke muka pengadilan.”

Presiden sementara Syria, Encik Ahmed Sharaa, menyifatkan pembunuhan terhadap golongan minoriti sebagai ancaman besar terhadap usahanya menyatukan negara dan berjanji untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat.

“Kami tidak akan berkompromi dalam hal ini, sama ada musuh atau sekutu sendiri, semua yang bersalah akan dihukum,” katanya dalam satu kenyataan di Damsyik.

Majlis turut menyambut baik kecaman awam yang dibuat oleh pemerintah sementara Syria terhadap keganasan tersebut, dan menggesa langkah tambahan untuk mencegah insiden sama daripada berulang.

Kenyataan itu turut menegaskan komitmen tegas PBB terhadap kedaulatan, perpaduan, kemerdekaan dan integriti wilayah Syria, dan menyeru semua negara agar tidak mencetuskan ketidakstabilan tambahan.

Meskipun kenyataan itu tidak menyebut sebarang negara secara khusus, sejak penggulingan Assad pada Disember lalu, Israel telah melancarkan beberapa serangan udara ke atas pangkalan tentera Syria dan memasuki zon nyah-tentera yang dipantau oleh PBB — atas alasan mempertahankan keselamatan.
Majlis juga menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap ancaman pengganas asing di Syria dan menggesa tindakan tegas untuk membanterasnya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg