DAMSYIK: Presiden sementara Syria Ahmed al-Sharaa mengeluarkan dekri presiden pada 12 Mac untuk menubuhkan Majlis Keselamatan Negara yang bertujuan untuk mengukuhkan penyelarasan keselamatan dan kestabilan politik semasa fasa peralihan negara.
Dekri presiden itu menggariskan bahawa majlis yang baru dibentuk akan bertanggungjawab menyelaraskan dasar keselamatan negara dan menangani cabaran keselamatan dan politik yang dihadapi Syria.
Dipengerusikan oleh Encik Sharaa, keanggotaan majlis tersebut termasuk menteri luar negeri, pertahanan, dalam negeri dan pengarah perisikan am Syria.
Selain itu, dua jawatan penasihat akan dilantik oleh presiden berdasarkan pengalaman dan kepakaran mereka.
Penasihat teknikal yang pakar dalam hal ehwal teknikal dan saintifik juga akan menyertai majlis tersebut.
Majlis itu ditetapkan untuk bersidang secara tetap atau atas permintaan presiden, dengan keputusan dibuat secara kolektif dalam kalangan anggotanya.
Dekri itu menekankan bahawa tanggungjawab majlis itu perlu sejajar dengan kepentingan tertinggi Syria dan memastikan penyelarasan yang berkesan dalam kalangan pelbagai institusi negara.
Keputusan itu berkuat kuasa serta-merta, dengan semua institusi berkaitan diarahkan untuk menguatkuasakan dekri itu, menurut pengumuman presiden.
Majlis Keselamatan Negara yang baru itu tidak wujud dalam zaman pemerintahan Presiden Bashar al-Assad yang telah digulingkan pada awal Disember 2025.
Penciptaan majlis tersebut dibuat ketika pihak berkuasa berusaha untuk melaksanakan pemerintahan negara, membubarkan kumpulan bersenjata dan membina semula negara selepas lebih 13 tahun perang saudara melanda Syria.
Matlamat itu telah dirumitkan oleh gelombang hukuman mati, kebanyakannya ke atas kaum minoriti Alawiyah sejak 6 Mac, selepas lelaki bersenjata pro-Assad menyerang pasukan keselamatan Syria.
Mantan Presiden Assad adalah daripada keturunan Alawiyah.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata hampir 1,400 orang awam terbunuh dalam operasi oleh pasukan keselamatan atau kumpulan bersekutu.
Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen nasional dan media sosial pada 9 Mac, Encik Sharaa, menuduh penyokong setia rejim Assad dan kuasa asing yang tidak dinamakannya sebagai punca kekacauan.
“Ketika kita berada pada saat genting ini, kita mendapati diri kita berdepan dengan bahaya baru – percubaan oleh saki-baki bekas rejim dan penyokong asing mereka untuk menghasut perbalahan baru dan mengheret negara kita ke dalam perang saudara, bertujuan untuk memecahbelahkan, memusnahkan perpaduan dan kestabilannya,” katanya.
Pihak berkuasa Syria mengumumkan pada 10 Mac bahawa operasi terhadap penyokong setia rejim Assad telah ditamatkan. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg