WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, telah mengumumkan apa yang didakwanya sebagai rancangan damai Israel, bagi gencatan senjata di Gaza.
Menurut wartawan yang diundang menghadiri majlis taklimat mengenai latar belakang saranan itu pada 31 Mei, rancangan terkini itu hampir tidak dapat dibezakan daripada rancangan sebelumnya, yang dipersetujui oleh Hamas.
Jika berhasil, ia akan menyaksikan gencatan senjata dalam konflik yang telah mengorbankan lebih 36,000 rakyat Palestin, majoriti daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak, serta menimbulkan kemarahan masyarakat di seluruh dunia.
Pelan itu melibatkan tiga peringkat.
Usulan peringkat pertama melibatkan gencatan senjata selama enam minggu. Tentera Israel akan berundur dari kawasan berpenduduk di Gaza.
Tebusan, termasuk warga emas dan wanita, akan ditukar dengan ratusan tahanan Palestin.
Warga Palestin akan dibenarkan pulang ke ‘rumah dan kawasan kejiranan’ di seluruh Gaza, termasuk di kawasan utara yang musnah akibat pengeboman Israel selama berbulan-bulan.
Selain itu, bantuan kemanusiaan yang memasuki Gaza akan ‘melonjak’ kepada 600 trak sehari, manakala masyarakat antarabangsa akan menghantar ratusan ribu khemah perlindungan sementara dan membantu membina unit perumahan.
Kumpulan Hamas akan membebaskan ‘sebilangan’ tebusan yang ditahan dalam serangan 7 Oktober ke atas Israel, termasuk wanita, warga emas dan mereka yang tercedera.
Mayat beberapa tebusan yang dibunuh juga akan diserahkan.
Dalam tempoh enam minggu terawal, Israel dan Hamas akan mengadakan rundingan bagi memastikan pelan itu diteruskan ke fasa kedua, iaitu tamatnya permusuhan secara kekal.
Di bawah fasa kedua rancangan itu, yang dijangka berlaku sekitar enam minggu lagi, tentera Israel akan berundur sepenuhnya dari Gaza manakala Hamas akan membebaskan ‘semua tebusan yang masih hidup’ termasuk tentera lelaki Israel.
Pelan pembinaan semula Gaza akan bermula sejurus selepas itu, disokong oleh Amerika dan masyarakat antarabangsa, yang akan membangunkan kediaman, sekolah dan hospital.
Encik Biden akan bekerjasama dengan rakan serantau untuk memastikan pelan itu berjalan lancar dengan tidak membenarkan Hamas mengangkat senjata semula.
Menurut seorang pegawai kanan Amerika, fasa pembinaan semula Gaza akan mengambil masa sekitar tiga hingga lima tahun.
Jika kedua-dua pihak bersetuju dengan perjanjian tersebut, Encik Biden berkata ia akan membawa kepada ‘penamatan permusuhan secara kekal’ sebagaimana yang diharapkan Israel.
Dalam fasa kedua, ia akan menyaksikan kumpulan Hamas dan Israel merundingkan syarat bagi menamatkan permusuhan secara kekal.
“Gencatan senjata masih akan diteruskan selagi rundingan diteruskan,” kata Encik Biden.
Dalam fasa ketiga, gencatan senjata kekal akan menyusul, memudahkan pembinaan semula enklaf itu, termasuk 60 peratus klinik, sekolah, universiti dan bangunan keagamaan yang rosak atau dimusnahkan oleh tentera Israel.
Mayat mana-mana tebusan yang dibunuh akan dikembalikan kepada pihak masing-masing dalam fasa ketiga.
Namun, jika Hamas gagal memenuhi komitmennya di bawah perjanjian tersebut, Israel boleh meneruskan operasi ketenteraan, tegas Encik Biden.
Hamas menyatakan pada 31 Mei, ia melihat cadangan itu “secara positif” tanpa memberi butiran lanjut.
Sementara itu, sokongan terhadap saranan tersebut datang daripada beberapa ahli politik Israel dan keluarga tawanan, serta masyarakat antarabangsa.
Encik Benny Gantz, saingan utama Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, bercakap secara positif mengenai cadangan itu, dan meminta dua rakannya dalam Kabinet perang – Encik Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Encik Yoavi Gallant – agar bersidang bagi membincangkan “langkah seterusnya”.
Encik Gantz sebelum ini mengancam untuk meninggalkan Kabinet menjelang 8 Jun, jika tiada rancangan untuk Gaza selepas perang telah dipersetujui.
Ketua Pembangkang Israel, Encik Yair Lapid, turut berjanji untuk menyokong rancangan tersebut. Partinya Yesh Atid akan menyokong jika parti ultranasionalis dan sayap kanan, menarik balik sokongan terhadap pelan damai itu.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, turut menyokong rancangan itu, begitu juga dengan banyak sekutu Israel, termasuk Britain dan Jerman.
Sebahagian besar penentangan terhadap rancangan damai itu datang daripada dalam Kabinet Israel.
Pada 1 Jun, Encik Netanyahu berkata sebarang inisiatif yang tidak termasuk “penghapusan” kapasiti Hamas untuk mentadbir dan berperang, adalah “bukan permulaan”.
Tafsiran Encik Netanyahu mengenai situasi di Gaza, bertentangan dengan tafsiran pentadbiran Encik Biden.
Dalam pengumumannya pada 31 Mei, Encik Biden menyatakan bahawa beliau menganggap kehadiran Hamas di dalam enklaf itu, telah berkurang sehingga kemungkinan serangan 7 Oktober akan berulang adalah sesuatu yang mustahil.
Seperti yang dijangkakan, ahli ultranasionalis dan pelampau kanan gabungan sayap kanan Encik Netanyahu – Encik Itamar Ben-Gvir dan Encik Bezalel Smotrich – mengancam untuk berundur daripada pemerintah dan boleh membawa kepada jatuhnya pemerintahan jika cadangan itu diterima.
Kebanyakan keputusan mungkin bergantung pada perkiraan di Parlimen.
Parti sayap kanan dan ultranasionalis mempunyai 14 kerusi, manakala blok Encik Gantz hanya mempunyai lapan kerusi – bermakna sayap kanan mempunyai lebih pengaruh terhadap seorang perdana menteri yang mahu kekal berkuasa.
Bagi Encik Lapid, 17 kerusinya ditawarkan sebagai sokongan hanya dalam perkara yang berkaitan dengan cadangan damai.
Ini menyebabkan Encik Netanyahu bergantung kepada blok paling kanan.
Ini masih belum jelas. Keluarga tawanan yang diculik dari Israel dan ditahan di Gaza memberi tekanan kepada pemerintah untuk menerima perjanjian itu, begitu juga sebahagian daripada parti politik Israel.
Bagaimanapun, tekanan untuk menolak perjanjian itu adalah sama kuat, dan ia akan kekal untuk dilihat sama ada Encik Netanyahu memilih kelangsungan hidupnya sendiri, atau mengembalikan tawanan.
Daripada pihak Hamas, tidak jelas sama ada cahaya “positif” yang dilihatnya terhadap cadangan itu, akan membawa kepada penerimaannya.
Encik Osama Hamdan, jurucakap kumpulan itu di Lebanon, berkata Hamas masih belum menerima cadangan bertulis daripada Amerika.
Laporan tambahan mengatakan bahawa kumpulan itu perlu menunggu untuk mendengar daripada kepimpinannya di dalam Gaza, termasuk Encik Yahya Sinwar, sebelum mereka boleh mengatakan sama ada mereka menerimanya atau sebaliknya.
Kemungkinan besar, mereka enggan menyatakan persetujuan, sebelum mereka melihat sama ada Israel terbuka kepada perjanjian tersebut.
Asal usul rancangan itu masih tidak jelas. Encik Biden berhati-hati untuk merangka pengumuman itu sebagai inisiatif Israel.
Bagaimanapun segelintir dalam pemerintah Israel dikatakan telah mengetahui rancangan damai itu sebelum 31 Mei.
Ia juga hampir sama dengan yang disebut-sebut sebagai cadangan Israel sebelum ini, yang dipersetujui oleh Hamas pada akhir April.
Ia menyebabkan beberapa pemerhati mencadangkan itu adalah isyarat Amerika kepada Israel bahawa pentadbiran itu sedang berusaha untuk menghentikan konflik.
Keadaan kemanusiaan di Gaza kekal teruk. Lebih sejuta orang telah melarikan diri dari bandar Rafah, ketika Israel meneruskan serangan mautnya, yang dalam dua kejadian berasingan minggu lalu, membunuh 66 orang yang kehilangan tempat tinggal.
Perunding Israel dan Amerika akan bersidang semula di Kahirah pada tarikh yang bakal ditetapkan untuk membincangkan pembukaan semula lintasan Rafah, dan berpotensi menyelesaikan salah satu punca utama krisis kemanusiaan di selatan Gaza.
Mesir dan Qatar akan berusaha memastikan Hamas berpegang pada syarat, manakala Amerika akan melakukan perkara yang sama ke atas Israel.
Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, mendesak Hamas supaya menerima rancangan gencatan senjata baharu Gaza dalam perbincangan dengan diplomat tertinggi Jordan, Arab Saudi dan Turkey.
Dalam panggilan telefon dari pesawatnya ketika pulang dari mesyuarat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Prague, Encik Blinken ‘menekankan Hamas harus menerima perjanjian itu tanpa berlengah’, kata jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Matthew Miller.
Hamas berkata ia akan ‘mempertimbangkan secara positif’ pelan hala tuju Israel ke arah gencatan senjata penuh Gaza diumumkan oleh Encik Biden, yang menggesa penamatan perang hampir lapan bulan.
Namun, sepantas itu, Perdana Menteri Israel, Encik Netanyahu, menolak usul keamanan Encik Biden itu dan menegaskan tenteranya akan terus berjuang sehingga ia ‘menghapuskan’ keupayaan Hamas memerintah Gaza dan menimbulkan ancaman ketenteraan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg