Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS draf resolusi PBB cadang mansuh sekatan terhadap Presiden Syria

Nov 5, 2025 | 11:17 AM
AS,  draf resolusi PBB, Syria, Ahmed al-Sharaa
Presiden Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, dalam foto fail yang dipetik pada 15 Oktober 2025. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Amerika Syarikat telah mengemukakan draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mencadangkan pemansuhan sekatan terhadap Presiden Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, menjelang pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, di Rumah Putih pada 10 November ini.

Menurut dokumen yang dilihat oleh agensi berita Reuters pada 4 November, draf resolusi itu turut mencadangkan penghapusan sekatan terhadap Menteri Dalam Negeri Syria, Encik Anas Khattab.

Setakat ini, tarikh pembentangan resolusi tersebut untuk pengundian masih belum diputuskan.

Mengikut prosedur Majlis Keselamatan PBB, sesuatu resolusi hanya dapat diluluskan sekiranya memperoleh sekurang-kurangnya sembilan undi sokongan tanpa sebarang veto daripada lima anggota tetap iaitu Amerika, Russia, China, Perancis dan Britain.

Washington telah berbulan-bulan mendesak Majlis Keselamatan yang dianggotai 15 negara itu untuk melonggarkan sekatan terhadap Syria.

Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, mengesahkan bahawa Presiden Trump akan bertemu dengan Presiden al-Sharaa di Rumah Putih pada 10 November.

“Apabila presiden berada di Timur Tengah pada Mei lalu, beliau membuat keputusan bersejarah untuk menarik balik sekatan terhadap Syria bagi memberi peluang sebenar kepada keamanan,” kata Cik Leavitt kepada pemberita.

“Kami telah melihat kemajuan yang baik di bawah kepimpinan baru Syria,” tambahnya.

Langkah itu menandakan perubahan dasar yang besar Washington terhadap Damsyik selepas lebih sedekad hubungan tegang semasa pemerintahan mantan Presiden Bashar al-Assad.

Encik Trump juga sebelum ini membatalkan sebahagian besar sekatan Amerika terhadap Syria pada Jun, dan bertemu dengan Encik al-Sharaa ketika lawatan ke Arab Saudi pada Mei lalu.

Encik al-Sharaa mengambil alih kuasa pada Disember 2024 selepas serangan pantas oleh kumpulan pemberontak yang dipimpin oleh Hayat Tahrir al-Sham (HTS) – sebuah kumpulan Islamis yang pernah menjadi sayap rasmi Al-Qaeda di Syria sebelum memutuskan hubungan pada 2016.

Selepas memegang tampuk kuasa, Encik al-Sharaa telah melakukan beberapa lawatan diplomatik ke luar negara sebagai usaha pemerintah peralihan untuk memulihkan hubungan antarabangsa Syria yang terputus sejak lebih sedekad.

“Syria kini memerlukan ruang untuk membina semula hubungan dan kestabilan. Langkah ini adalah permulaan kepada pemulihan diplomatik,” kata seorang diplomat Barat yang enggan dikenali.

Sejak Mei 2014, HTS disenaraikan dalam senarai sekatan PBB bersama Al-Qaeda dan kumpulan IS. Beberapa pemimpin kumpulan itu, termasuk Encik al-Sharaa dan Encik Anas Khattab, turut tertakluk kepada sekatan perjalanan, pembekuan aset dan embargo senjata.

Namun, Jawatankuasa Sekatan Majlis Keselamatan dilaporkan telah memberi pengecualian perjalanan sementara kepada Encik al-Sharaa sepanjang tahun 2025. Ini bermakna, walaupun resolusi Amerika tidak diluluskan sebelum 10 November, Presiden Syria itu masih boleh menghadiri pertemuan rasmi di Washington.

Satu laporan pemantau sekatan PBB pada Julai lalu mendapati tiada “hubungan aktif” antara HTS dan Al-Qaeda sepanjang 2025. Penemuan ini memberikan justifikasi tambahan kepada langkah Washington untuk menilai semula dasar terhadap Damsyik.

“Apabila ancaman pengganas telah berkurang dan kepimpinan baharu menunjukkan kesediaan untuk berunding, sekatan yang berterusan hanya mengekang proses damai,” kata seorang pegawai kanan Amerika. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg