Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri Luar Syria dalam lawatan rasmi pertama ke AS

Sep 18, 2025 | 5:36 PM
Menteri Luar Syria, Asaad Hassan al-Shibani, berucap pada sidang akhbar selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, di Moscow, Russia, 31 Julai 2025.
Menteri Luar Syria, Asaad Hassan al-Shibani, berucap pada sidang akhbar selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, di Moscow, Russia, 31 Julai 2025. - Foto REUTERS

DAMSYIK: Menteri Luar Syria, Asaad al-Shibani dijadual tiba di Washington pada 18 September dalam lawatan rasmi pertamanya ke ibu negara Amerika Syarikat sejak pemerintah baru Islamis mengambil alih Damsyik tahun 2024 lalu, menurut dua sumber yang rapat dengan perancangan itu kepada Reuters.

Lawatan ini menandakan kunjungan pertama seorang menteri luar Syria ke Washington dalam lebih 25 tahun, sekali gus dianggap sebagai isyarat perubahan dalam hubungan dua hala.

Menurut laporan Axios, Encik Shibani akan mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Kongres bagi membincangkan penghapusan baki sekatan Amerika terhadap negaranya. Senator Lindsey Graham mengesahkan perkara itu.“Saya dan beberapa senator lain akan bertemu Shibani pada Khamis (18 September) untuk membincangkan pembatalan kekal sekatan tertentu termasuk yang digariskan dalam Akta Caesar,” kata Cik Graham.

Beliau menambah, sokongan terhadap pembatalan sekatan itu bergantung pada kesediaan Syria untuk bergerak ke arah perjanjian keselamatan dengan Israel serta menyertai gabungan antarabangsa menentang kumpulan ekstremis IS.

Encik Shibani juga dijangka bertemu Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, pada 19 September, menurut Axios.

Lawatan ini berlangsung sehari selepas Presiden Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, menyatakan rundingan dengan Israel mengenai pakatan keselamatan boleh menghasilkan keputusan “dalam beberapa hari akan datang”.

“Kami menafikan dakwaan bahawa Amerika memberi tekanan. Peranan mereka adalah sebagai pengantara. Namun, jelas bahawa Israel telah melancarkan lebih 1,000 serangan udara dan lebih 400 serangan darat ke atas Syria sejak 8 Disember,” kata Encik Sharaa, merujuk kepada tempoh selepas ofensif pemberontak yang diketuainya menumbangkan bekas presiden Bashar al-Assad.

Rundingan itu diharapkan mampu menghentikan serangan udara Israel serta memastikan pengunduran tenteranya dari selatan Syria.

Reuters melaporkan bahawa Washington sedang menekan Damsyik untuk mencapai persetujuan sebelum pemimpin dunia berhimpun di Perhimpunan Agung PBB di New York pada 22 September.

Lawatan Encik Shibani juga hadir selepas beberapa diplomat kanan Amerika yang menguruskan hal ehwal Syria secara tiba-tiba digugurkan daripada jawatan mereka.

Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada dorongan dasar baharu pro-Damsyik yang bertujuan menyatukan sekutu lama Amerika, iaitu puak Kurdish Syria, ke dalam pentadbiran pusat pimpinan Presiden Sharaa.

Pentadbiran Amerikaturut memainkan peranan sebagai pengantara antara Israel dan Syria, walaupun hubungan kedua-dua negara kekal tegang.

Bagi Cik Graham, perkembangan ini mungkin membuka lembaran baharu. Sekiranya Syria benar-benar beralih ke arah perjanjian keselamatan dengan Israel, ini boleh menjadi asas kukuh untuk menamatkan sekatan,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Negara Amerika enggan memberikan komen segera mengenai lawatan Shibani.

Encik Sharaa, yang akan menghadiri Perhimpunan Agung PBB di New York pada 22 September muncul sebagai tokoh utama selepas menumbangkan Assad tahun lalu, sekali gus menamatkan perang saudara berdarah yang berlarutan selama 13 tahun.

Sejak Disember lalu, beliau berdepan cabaran besar akibat serangan Israel yang semakin agresif. Namun, lawatan Encik Shibani ke Washington dilihat sebagai langkah diplomatik penting yang boleh mengubah kedudukan Syria di mata antarabangsa.

Awal tahun 2025, Presiden Donald Trump telah mengumumkan penghapusan beberapa sekatan utama terhadap Syria, satu langkah yang membuka ruang kepada rundingan lebih luas antara kedua-dua negara. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg