Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Majlis Keselamatan PBB mahu gencatan kemanusiaan berpanjangan di Gaza

Nov 16, 2023 | 1:17 PM
BEKALAN BAHAN API TIBA: Beberapa wartawan berdiri di atas bumbung bangunan untuk melaporkan ketibaan lori tangki yang membawa bahan api untuk dibawa ke Gaza menerusi Lintasan Rafah pada Rabu.
BEKALAN BAHAN API TIBA: Beberapa wartawan berdiri di atas bumbung bangunan untuk melaporkan ketibaan lori tangki yang membawa bahan api untuk dibawa ke Gaza menerusi Lintasan Rafah pada Rabu. - Foto AFP

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa “gencatan kemanusiaan yang berpanjangan” di Jaluran Gaza – kali pertama ia “membuka mulut” sejak bermulanya konflik berdarah antara Israel dengan Hamas.

Ketetapan itu, disiapkan oleh Malta dan dengan 12 undi menyokong, “menyeru agar gencatan dan laluan kemanusiaan segera dan berpanjangan di seluruh Jaluran Gaza buat beberapa hari yang mencukupi” bagi membolehkan bantuan sampai kepada orang awam di wilayah yang dikepung Israel itu.

Teks itu menimbulkan persoalan tentang berapa hari yang akan dianggap mencukupi. Versi terdahulu draf meminta gencatan awal selama lima hari berturut-turut dalam tempoh 24 jam selepas ketetapan itu diterima pakai.

“Ia perlu cukup lama untuk kita dapat menggerakkan sumber, sebaik sahaja kita mempunyai bahan api yang mencukupi, buat orang ramai mendapatkan apa yang mereka perlukan,” kata Cik Stephane Dujarric, jurucakap setiausaha agung PBB.

Ketetapan Majlis Keselamatan itu bertujuan untuk mengikat di sisi undang-undang, tetapi dari segi praktiknya beberapa negara anggota telah mengabaikannya.

Ketetapan itu juga menyeru semua pihak untuk mematuhi kewajipan kemanusiaan antarabangsa “terutamanya berkaitan dengan perlindungan orang awam, khususnya kanak-kanak.”

Ia juga menggesa “pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan yang ditahan oleh Hamas dan kumpulan lain, terutamanya kanak-kanak”. Lebih 230 tebusan dipercayai ditahan Hamas.

Tetapi ketetapan itu tidak pula mengecam serangan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober, yang menyebabkan kira-kira 1,400 orang maut, menurut pihak berkuasa Israel.

Tiga negeri berkecuali dalam undian itu iaitu Amerika Syarikat, Britain dan Russia.

“Saya berasa ngeri dengan fakta bahawa beberapa anggota majlis ini tidak mahu memutuskan untuk mengutuk serangan Hamas ini,” kata Duta Besar Amerika ke PBB, Cik Linda Thomas-Greenfield.

“Apakah yang menghalang mereka daripada mengutuk secara terang-terangan tindakan sebuah organisasi yang bertekad untuk membunuh orang Yahudi?”

Jurucakap Kementerian Luar Israel menggesa kutukan “tidak berbelah bahagi” terhadap Hamas, tetapi memberi isyarat tidak ada ruang “untuk gencatan kemanusiaan yang berpanjangan” selagi tebusan tidak dibebaskan.

Selepas serangan 7 Oktober dan pengeboman balas Israel ke atas Gaza, majlis itu cuba berkali-kali untuk meluluskan beberapa ketetapan tetapi terbukti sia-sia belaka.

“Saya tahu kita semua kecewa dengan sikap Majlis Keselamatan yang berdiam diri dalam tempoh 40 hari lalu,” kata Duta Besar China ke PBB, Encik Jun Zhang pada Rabu. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg