WASHINGTON: Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) – sebuah pertubuhan hak asasi dan advokasi terbesar bagi masyarakat Muslim di Amerika Syarikat – memuji usaha pengundi Muslim yang tetap hadir mengundi dalam pilihan raya 2024 meskipun rasa kecewa terhadap kedua-dua parti besar, terutamanya disebabkan konflik berterusan dan tragedi kemanusiaan di Gaza.
CAIR turut menyeru agar Presiden terpilih Encik Donald Trump menepati janji kempennya untuk membawa keamanan di peringkat antarabangsa, khususnya dengan menamatkan perang yang menghancurkan Gaza dan menyokong hak-hak Palestin.
Pengarah Eksekutif Nasional CAIR, Encik Nihad Awad, dalam satu kenyataan pada 6 November, berkata: “Kami menghargai pengorbanan pengundi Muslim Amerika yang tetap berusaha bersuara dalam pilihan raya kali ini, meskipun diliputi rasa kekecewaan.
“Sokongan terhadap Parti Demokrat, terutama kepada calon Naib Presiden Kamala Harris, merosot ketara akibat ketidakpuasan hati para pengundi Muslim, Arab, belia serta kelompok minoriti lain terhadap dasar pentadbiran Biden-Harris yang menyokong secara kewangan dan ketenteraan kepada Israel.”
Tambah Encik Awad, ketidakmampuan Cik Harris untuk menyediakan pelan konkrit bagi menghentikan perang di Gaza – termasuk menangguh penghantaran senjata ke Israel – dan penolakannya untuk membenarkan wakil Palestin-Amerika bersuara dalam Konvensyen Nasional Demokrat, memperburukkan lagi imej parti di mata para pengundi Muslim.
“Sebaliknya, Naib Presiden Harris hanya memperlihatkan sedikit perubahan nada terhadap Palestin tetapi masih kekal dengan dasar yang pro-Israel seperti yang dilakukan pentadbiran Presiden Biden. Ini telah menyebabkan peralihan besar sokongan komuniti Muslim, Arab dan kelompok minoriti lain yang sebelum ini setia menyokong Demokrat,” kata Encik Awad.
CAIR turut menyeru Encik Trump untuk menepati janji-janji kempennya dengan segera melaksanakan langkah-langkah bagi menghentikan keganasan di Gaza dan mengutamakan keamanan yang berteraskan keadilan bagi rakyat Palestin.
Dalam kempennya, Encik Trump telah berjanji untuk menyambut baik sokongan pengundi Muslim di beberapa negeri penting dan menyatakan komitmennya untuk mengecam dasar era Bush-Cheney yang dikatakan menyumbang kepada penderitaan Dunia Islam.
Encik Awad menegaskan: “Presiden Trump perlu menyedari bahawa majoriti rakyat Amerika, termasuk masyarakat Muslim yang menyokongnya, tidak mahukan lebih banyak kebencian dalam negara ataupun perang berterusan di luar negara.
“Beliau perlu menunaikan janjinya untuk membawa keamanan berkekalan yang bukan sahaja melibatkan penamatan konflik tetapi juga berasaskan keadilan, kebebasan, dan hak rakyat Palestin untuk memiliki sebuah negara berdaulat.”
CAIR turut menggesa Parti Demokrat agar mengambil iktibar daripada kehilangan sokongan pengundi Muslim dan kelompok minoriti lain yang berpaling akibat isu Gaza.
“Tiada parti atau ahli politik yang memiliki undi masyarakat Muslim secara mutlak. Kami menjangkakan semua wakil rakyat benar-benar menyelesaikan kebimbangan mendesak pengundi Muslim,” tambah Encik Awad.
Menurutnya perubahan sokongan pengundi Muslim dan Arab ini merupakan tanda penting yang perlu dititikberatkan oleh Parti Demokrat jika mereka ingin mengekalkan sokongan komuniti ini pada masa akan datang.
Encik Awad juga mengingatkan bahawa peralihan sokongan yang berlaku bukan sekadar reaksi sementara, tetapi mencerminkan rasa kecewa yang mendalam terhadap dasar luar Amerika yang disifatkan oleh ramai sebagai berat sebelah dan tidak adil.
“Bukan hanya Demokrat, malah semua wakil rakyat perlu peka terhadap suara komuniti Muslim Amerika yang semakin lantang menentang dasar luar yang menindas,” katanya.
CAIR juga memberi jaminan untuk terus bekerja sama dengan rakan-rakan dan sekutu mereka dalam membantah sebarang dasar yang tidak adil atau membahayakan komuniti rentan, sama ada dalam dasar domestik mahupun antarabangsa oleh pentadbiran baru.
“Dalam menghadapi cabaran baru, kami akan terus memperjuangkan hak komuniti Muslim dan bekerjasama dengan semua pihak di Amerika demi membina sebuah negara yang lebih adil untuk semua serta berusaha untuk perubahan yang positif di peringkat global,” kata Encik Awad, penuh yakin.
Dengan kemenangan Encik Trump dalam pilihan raya kali ini, CAIR menaruh harapan besar agar janji-janji kempennya bukan sekadar retorik politik, sebaliknya menjadi langkah konkrit untuk membawa keamanan yang berlandaskan keadilan sejagat. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg