Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suara pengundi Muslim Michigan susulan ketegangan Timur Tengah

Nov 6, 2024 | 1:09 PM
Anggota masyarakat Arab-Amerika berkumpul di sebuah restoran untuk menonton keputusan pilihan raya Presiden di Dearborn, Michigan, Amerika Syarikat, pada 5 November.
Anggota masyarakat Arab-Amerika berkumpul di sebuah restoran untuk menonton keputusan pilihan raya Presiden di Dearborn, Michigan, Amerika Syarikat, pada 5 November. - Foto REUTERS

MICHIGAN: Di tengah kekacauan yang melanda Timur Tengah, ramai pengundi di Michigan, khususnya daripada anggota masyarakat Arab-Amerika dan Muslim, meluahkan ketidakpuasan mereka terhadap dasar luar Amerika Syarikat yang dikendalikan oleh pentadbiran Joe Biden-Kamala Harris.

Salah seorang daripadanya, Cik Soujoud Hamade, peguam hartanah berusia 32 tahun, yang juga pengundi berdaftar daripada Parti Demokrat, mengambil langkah berani dengan menyokong calon Parti Hijau, Cik Jill Stein, dalam pilihan raya Presiden Amerika kali ini.

Cik Hamade yang merupakan warga Lebanon-Amerika, menyatakan bahawa sokongan terhadap Cik Stein lebih daripada sekadar bantahan terhadap Biden-Harris.

“Setiap kali saya menonton berita atau membuka media sosial, saya melihat rakyat saya dihancurkan, saya melihat negara asal saya dimusnahkan,” jelas Cik Hamade dengan nada penuh emosi selepas membuang undi di Dearborn, bandar yang mempunyai majoriti Arab-Amerika dan merupakan kawasan penentu di Michigan.

Dearborn, sebuah kawasan pinggir bandar Detroit yang terkenal sebagai tempat kelahiran Henry Ford, mempunyai populasi sekitar 110,000 orang, dengan 55 peratus penduduknya berketurunan Timur Tengah atau Afrika Utara.

Anggota masyarakat Arab-Amerika telah lama menjadi pengundi tegar Parti Demokrat, namun kini mereka semakin marah dengan sikap pentadbiran Encik Biden yang dilihat tidak mengambil tindakan tegas terhadap perang yang melibatkan Israel, Gaza dan kini Lebanon.

Meskipun Encik Biden memenangi Dearborn dengan sokongan besar pada 2020, hasil tinjauan terkini menunjukkan terdapat peralihan sokongan dalam kalangan pengundi Arab-Amerika dan Muslim.

Ramai menganggap dasar luar yang diteruskan oleh pentadbiran Encik Biden terhadap Israel telah menyebabkan kebimbangan besar dalam kalangan mereka, terutama apabila melihat penderitaan rakyat Palestin di Gaza.

Guru Darjah 1, Encik Charles Fawaz, 29 tahun, yang berketurunan Lebanon, mengakui memilih Encik Donald Trump kali ini.

“Ketika Trump menjadi presiden, hubungan luar negara kita berjalan dengan baik kerana pemimpin-pemimpin lain menghormati negara kita,” kata Encik Fawaz.

Beliau menambah bahawa walaupun Encik Trump mungkin tidak berjaya membawa kedamaian di Timur Tengah, beliau percaya Parti Republikan lebih baik dalam mengurus ekonomi.

Bagi penduduk Arab-Amerika yang lain, pilihan mereka bukanlah semata-mata berkisar tentang calon Presiden, tetapi lebih kepada masa depan anggota masyarakat mereka.

Penduduk berketurunan Palestin dari Dearborn, Cik Jacklin Zeidan, berkata bahawa isu yang dihadapi oleh masyarakat Arab-Amerika kini lebih berkait dengan perubahan dasar dan bukan hanya pilihan calon.

Seorang warga Arab-Amerika, Cik Has Chero, beliau berharap suara anggota masyarakat itu lebih didengari, terutama dalam isu melibatkan Gaza dan Lebanon.

“Kami mahu hak kami dihormati dan disuarakan lebih kuat dalam politik negara ini,” kata Cik Chero.

Namun, walaupun terdapat perbezaan pendapat, banyak pengundi dari Dearborn tetap bersatu dalam kotak undi.

Seorang lagi penduduk Dearborn, Encik Henry Ray, berkata beliau memilih mengundi Cik Harris, tetapi ketegangan yang berlaku di Gaza telah menjadi isu besar yang menjejas ramai pengundi.

“Memang memenatkan berada di negeri ‘atas pagar’ ini, dengan calon-calon yang sentiasa hadir dan intensiti kempen yang sangat tinggi,” tambah Encik Ray.

Pada 6 November, Encik Trump telah mengisytiharkan dirinya menang pilihan raya Presiden berdasarkan kiraan tidak rasmi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg