Topik diikuti
Pergi ke BHkuMajlis Ulama Indonesia haramkan penggunaan, penjualan vape
Fatwa baharu turut melarang pengeluaran rokok elektronik kerana risiko kesihatan, ketagihan nikotin dan kemungkinan peranti disalahgunakan untuk mengambil dadah
Majlis Ulama Indonesia haramkan penggunaan, penjualan vape
JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) secara rasmi mengisytiharkan penggunaan, pengeluaran dan penjualan rokok elektronik atau vape sebagai haram di sisi Islam kerana membahayakan kesihatan, merosakkan alam sekitar dan berisiko disalahgunakan untuk mengambil dadah.
Keputusan itu terkandung dalam Fatwa MUI Nombor 131 Tahun 2026 mengenai Hukum Penggunaan Rokok Elektronik atau Vape, yang diluluskan di Jakarta pada 6 November lalu.
Fatwa tersebut ditandatangani Pengerusi Suruhanjaya Fatwa MUI, Profesor Asrorun Niam Sholeh, dan Timbalan Setiausaha Agung bagi Hal Ehwal Fatwa, Dr Aminuddin Yaqub.
Keputusan itu turut diperakui Pengerusi MUI, KH Anwar Iskandar, dan Setiausaha Agungnya, Buya Amirsyah Tambunan.
Fatwa berkenaan bukan sahaja melarang umat Islam menggunakan vape, malah turut mengharamkan kegiatan menghasilkan, mengedar dan menjual produk tersebut.
MUI menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat berdasarkan bukti mengenai kesan buruk penggunaan rokok elektronik terhadap kesihatan awam dan kesejahteraan masyarakat.
Menurut badan ulama berpengaruh itu, kandungan nikotin dalam vape boleh menyebabkan ketagihan serta memberi kesan negatif terhadap sistem saraf dan kesihatan pengguna.
Selain itu, peranti berkenaan berpotensi disalahgunakan untuk mengambil bahan terlarang, termasuk narkotik, bahan psikotropik dan bahan lain yang menyebabkan ketagihan.
“Penggunaan rokok elektronik atau vape adalah haram kerana membahayakan kesihatan, merosakkan alam sekitar dan bagi mencegahnya daripada dijadikan alat untuk mengedar serta mengambil dadah dan bahan terlarang lain,” menurut fatwa itu.
MUI turut menggunakan prinsip sadd al-dhari’ah, iaitu pendekatan dalam hukum Islam yang bertujuan menutup jalan kepada perbuatan yang boleh membawa kemudaratan.
Prinsip itu digunakan bagi mengelakkan vape daripada menjadi saluran penyalahgunaan dadah, sekali gus melindungi masyarakat daripada ancaman kesihatan dan sosial.
Dalam fatwa tersebut, MUI mentakrifkan vape sebagai peranti berkuasa bateri yang memanaskan cecair mengandungi nikotin, gliserin dan bahan perisa untuk menghasilkan wap yang disedut pengguna.
Nikotin pula dikenal pasti sebagai bahan yang boleh menyebabkan ketagihan serta menjejaskan kesihatan.
Susulan keputusan itu, MUI menggesa Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, bersama Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) supaya segera menggubal undang-undang bagi mengharamkan vape di seluruh negara.
Badan itu turut mencadangkan hukuman dikenakan terhadap pihak yang melanggar larangan berkenaan bagi memastikan perlindungan lebih menyeluruh kepada masyarakat.
MUI mahu pemerintah mengambil tindakan segera untuk mengawal pengedaran rokok elektronik serta menghalang orang ramai, khususnya golongan muda, daripada terdedah kepada kesan buruk penggunaannya.
Kementerian Kesihatan turut digesa merangka dasar larangan penggunaan vape dengan mengutamakan keselamatan dan kesihatan awam.
Pada masa sama, Badan Pengawas Ubat dan Makanan Indonesia (BPOM) diminta memperketat pengawasan terhadap produk vape serta meningkatkan kerjasama dengan Badan Narkotik Nasional (BNN) dan pihak berkuasa.
Langkah itu bertujuan mengesan dan membanteras penyalahgunaan peranti vape untuk mengedar atau mengambil dadah.
MUI juga mahu Kementerian Perindustrian menghentikan pengeluaran lesen baharu kepada pengusaha industri vape serta menilai semula dasar pelesenan sedia ada.
Kementerian Kewangan pula diminta mengkaji dasar percukaian berkaitan produk tersebut dengan mengambil kira kepentingan kesihatan masyarakat.
Selain tindakan pemerintah, MUI menyeru pertubuhan Islam, institusi pendidikan, sekolah agama dan keluarga supaya meningkatkan kesedaran mengenai bahaya vape.
Usaha penerangan itu dianggap penting bagi melindungi kanak-kanak dan remaja daripada ketagihan nikotin serta penyalahgunaan bahan terlarang.
Fatwa berkenaan berkuat kuasa sejak tarikh ia ditetapkan pada 6 November, namun penguatkuasaan larangan di seluruh Indonesia masih memerlukan tindakan perundangan pemerintah.
MUI turut menggesa semua pihak menyebarkan keputusan itu bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hukum penggunaan vape.
Badan tersebut menegaskan bahawa orang ramai perlu mengelakkan penggunaan rokok elektronik dan memainkan peranan aktif melindungi generasi muda daripada ketagihan nikotin.