Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Majlis Ulama Indonesia keluar fatwa haram orang kaya guna bahan api bersubsidi

Sejajar usaha pemerintah pastikan bahan api bersubsidi sampai kepada golongan memerlukan
Feb 17, 2025 | 5:30 AM
Orang ramai beratur di sebuah kedai yang menjual gas memasak di Jakarta pada 5 Februari. 
Orang ramai beratur di sebuah kedai yang menjual gas memasak di Jakarta pada 5 Februari.  - Foto AFP

JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa pada 6 Februari bagi mengharamkan golongan berada menggunakan bahan api bersubsidi.

Ini termasuk minyak petrol, Pertalite dan gas petroleum cecair (LPG) dalam tong tiga kilogram.

Ia sejajar dengan usaha pemerintah dalam menangani kebocoran dan memastikan bahan api bersubsidi itu khusus untuk golongan memerlukan.

Perkara itu tidak menyentuh aspek ekonomi sahaja, malah merangkumi dimensi etika dan keadilan sosial.

Setiausaha Jawatankuasa Fatwa MUI, Encik Miftahul Huda, menegaskan bahawa golongan kaya tidak layak menggunakan bahan api bersubsidi yang diperuntukkan untuk isi rumah berpendapatan rendah dan perniagaan kecil.

“Pemerintah telah memperuntukkan bahan api bersubsidi ini secara eksklusif untuk golongan kurang berkemampuan.

“Golongan kaya yang menggunakan bahan api bersubsidi ini ibarat mengambil hak yang bukan milik mereka. Dalam Islam, tindakan ini dianggap zalim,” kata beliau.

Encik Miftahul turut menjelaskan bahawa perbuatan itu setara dengan mencuri daripada golongan miskin dan ia adalah satu dosa besar dalam Islam.

Beliau memetik ayat 90 Surah An-Nahl: ‘Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, berbuat kebajikan, dan memberikan bantuan kepada kerabat. Dia (juga) melarang perbuatan keji, kemungkaran, dan permusuhan. Dia memberi pelajaran kepadamu agar kamu selalu ingat.’

Pandangan itu memberikan asas moral dan agama kepada usaha pemerintah untuk memperkemas sistem subsidi yang sedia ada.

Usaha pemerintah Indonesia dalam memastikan subsidi hanya sampai kepada golongan sasaran bukan sesuatu yang baru.

Namun, pelbagai cabaran terus membayangi pelaksanaannya.

Terdahulu, Kementerian Sumber Tenaga dan Mineral memperkenalkan peraturan yang melarang peruncit kecil menjual LPG tong tiga kilogram.

Namun, dasar itu ditarik balik dalam beberapa hari akibat kekurangan bekalan dan barisan panjang di pusat pengedar.

Kesan daripada kebocoran subsidi amat ketara.

Pemerintah memberi subsidi kira-kira 70 peratus daripada harga LPG tong tiga kilogram, iaitu membelanjakan sekitar 87 trilion rupiah ($7.2 bilion) pada 2024 untuk menyediakan gas memasak kepada 40 juta orang.

Namun, hampir 30 peratus daripada gas bersubsidi itu dijual kepada pengguna tidak layak, termasuk golongan kaya dan perniagaan besar.

Menurut Menteri Sumber Tenaga dan Mineral, Encik Bahlil Lahadalia, kebocoran itu menyebabkan kerugian kira-kira 26 trilion rupiah setiap tahun kepada negara.

“Presiden Prabowo (Subianto) telah mengarahkan semua anggota Kabinet supaya memastikan setiap sen dana pemerintah sampai kepada penerima yang disasarkan,” kata Encik Bahlil.

Sebagai tindak balas kepada masalah itu, pemerintah memperbaiki sistem pengedaran bahan api bersubsidi.

Antara langkah yang diambil ialah pemberian lesen kepada 375,000 peruncit yang dibenarkan menjual produk bersubsidi secara sah.

Sistem pemantauan digital juga akan diperluaskan untuk mengawal harga daripada peringkat pengeluaran hingga ke pengedar dan peruncit.

Namun, Encik Bahlil mengakui bahawa kawalan harga tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh, terutama pada peringkat akhir pengedaran.

Sebagai contoh, walaupun harga maksimum LPG tiga kilogram bersubsidi sepatutnya 19,000 rupiah, ia sering dijual pada harga sekitar 30,000 rupiah akibat kelemahan dalam mekanisme kawalan.

Selain itu, pemerintah juga telah mula mengaktifkan semula peruncit sebagai subdepoh rasmi Pertamina di seluruh negara.

Langkah tersebut bertujuan memastikan pengagihan bahan api bersubsidi lebih cekap dan mencegah manipulasi harga pada peringkat akhir.

Pemerintah daerah juga memainkan peranan penting dalam menangani isu itu. Sebagai contoh, pentadbiran Jawa Tengah baru-baru ini mengeluarkan surat pekeliling yang melarang penjawat awam menggunakan LPG tong tiga kilogram.

Setiausaha Jawa Tengah, Encik Sumarno, berkata:

“Sebagai penjawat awam, kita mempunyai tanggungjawab untuk menyokong dasar pemerintah dan memastikan pelaksanaannya berjaya.”

Selain itu, beliau menyeru penjawat awam supaya menjadi contoh kepada masyarakat dengan tidak menggunakan LPG bersubsidi dan membantu memantau program subsidi.

Dalam usaha menangani penyalahgunaan subsidi, pihak berkuasa turut meningkatkan tindakan penguatkuasaan.

Polis Jawa Tengah baru-baru ini menahan seorang penduduk di Purworejo atas tuduhan menimbun ratusan LPG tong tiga kilogram untuk dipindahkan ke dalam tong 12 kilogram dan dijual semula pada harga pasaran penuh.

Fatwa yang dikeluarkan oleh MUI memberikan dimensi baru dalam usaha penerintah Indonesia dalam menangani kebocoran subsidi.

Dengan menekankan aspek moral dan agama, fatwa itu diharap dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat, terutama golongan mampu tetapi masih menggunakan bahan api bersubsidi.

Namun, kejayaan dasar itu memerlukan usaha bersepadu daripada semua pihak, termasuk pemerintah, masyarakat, dan institusi agama.

“Keadilan sosial adalah salah satu prinsip utama dalam Islam. Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk memastikan subsidi ini sampai kepada golongan memerlukan.

“Menggunakan bahan api bersubsidi secara tidak sah adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap kepercayaan masyarakat dan negara,” jelas Encik Miftahul. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg