PM Thai isytihar hartanah London, pelaburan, jam, beg mewah bernilai jutaan dolar
PM Thai isytihar hartanah London, pelaburan, jam, beg mewah bernilai jutaan dolar
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra, telah mengisytiharkan aset bernilai AS$400 juta ($550 juta), termasuk dua hartanah di London, pelaburan dalam beberapa syarikat, serta koleksi jam tangan dan beg tangan mewah.
Cik Paetongtarn, 38 tahun, dan waris kepada keluarga Shinawatra, turut menyenaraikan wang tunai dan deposit sebanyak 1.09 bilion baht ($43.3 juta) dalam lebih dua dozen akaun bank, menjadikan jumlah keseluruhan asetnya sebanyak 13.85 bilion baht, lapor Bloomberg.
Beliau mendedahkan kekayaannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan sebagai sebahagian daripada keperluan bagi pemegang jawatan awam di Thailand, dan maklumat itu disiarkan secara umum oleh agensi tersebut pada 3 Januari.
Cik Paetongtarn, anak perempuan bongsu mantan Perdana Menteri Thailand, Encik Thaksin Shinawatra, menjadi anggota keluarga Shinawatra ketiga untuk menerajui tampok kepimpinan Thailand pada Ogos 2024 selepas pendahulunya, Encik Srettha Thavisin, digulingkan oleh Mahkamah Perlembagaan atas kes pelanggaran etika.
Keluarga Shinawatra adalah antara keluarga terkaya di Thailand, dengan Encik Thaksin meraih kekayaan besar semasa ledakan teknologi pada 1980-an dan 1990-an dengan menubuhkan syarikat yang menawarkan perkhidmatan telefon mudah alih, rangkaian data dan satelit.
Cik Paetongtarn sebelum ini telah memindahkan 24 peratus pegangannya dalam syarikat pemaju hartanah SC Asset Corp Pcl yang dikawal keluarganya kepada seorang pengurus dana pada November 2024.
Dokumen yang didedahkan menunjukkan Cik Paetongtarn memiliki pelaburan kira-kira 11 bilion baht dalam pelbagai syarikat, dan beliau melaporkan pendapatan lebih 265 juta baht pada 2024.
Antara aset beliau yang lain termasuk, 217 beg tangan, 108 cincin, 205 pasang anting-anting dan sembilan permainan seni berjenama yang dikenali sebagai Bearbrick.
Hartanah beliau di London termasuk sebuah pangsapuri di Montpelier Street dengan pajakan selama 992 tahun, menurut pengisytiharan tersebut.
Beliau turut memiliki sembilan hartanah dan sedozen plot tanah di serata Thailand.
Selain itu, Cik Paetongtarn turut memiliki sebidang tanah di Hokkaido, Jepun, bersama suaminya. – Agensi berita.

