RIYADH: Arab Saudi telah mengumumkan perubahan besar dalam dasar visanya dengan mengehadkan pelancong dari 14 negara kepada visa kemasukan tunggal sahaja bagi tujuan pelancongan, perniagaan dan lawatan keluarga berkuat kuasa 1 Februari lalu.
Keputusan ini menyaksikan penggantungan visa kemasukan pelbagai untuk tempoh satu tahun bagi warganegara Algeria, Bangladesh, Mesir, Habsyah, India, Indonesia, Iraq, Jordan, Maghribi, Nigeria, Pakistan, Sudan, Tunisia dan Yaman.
Kerajaan Arab Saudi mengambil langkah ini sebagai usaha menangani peningkatan jumlah individu yang menggunakan visa bukan haji untuk menunaikan ibadah tersebut secara tidak sah.
Menurut pihak berkuasa tempatan, perubahan itu didorong oleh keperluan untuk membanteras jemaah haji haram.
Jelasnya, sesetengah pelawat bawah program visa jangka panjang, memilih menetap lebih lama untuk bekerja secara haram atau menunaikan haji di luar saluran rasmi yang sebenarnya terhad kepada jemaah haji lulusan kerajaan Arab Saudi.
Pada 2024, 1,200 anggota jemaah tanpa visa yang sah meninggal dunia ketika musim Haji sebahagiannya akibat cuaca panas yang melampau dan kesesakan luar biasa.
Jurucakap Kementerian Luar Arab Saudi menjelaskan bahawa visa pelbagai kemasukan sebelum ini telah memberi ruang kepada segelintir individu untuk menyalahgunakan sistem visa.
“Visa kemasukan pelbagai memudahkan sesetengah pihak mengelak daripada mematuhi peraturan rasmi haji. Langkah ini bertujuan memastikan semua pelawat mematuhi tujuan sebenar visa mereka,” jurucakap Kementerian Luar Arab Saudi
Sejak sekian lama, kerajaan Arab Saudi berdepan cabaran besar dalam mengawal kehadiran jemaah yang masuk ke Makkah menggunakan visa lawatan biasa semasa musim haji.
Setiap tahun, kerajaan memperuntukkan kuota khas bagi jemaah haji dan setiap individu yang ingin menunaikan ibadah ini perlu mendapatkan permit rasmi.
Bagaimanapun, ada yang cuba memintas sistem ini dengan memasuki negara itu menggunakan visa jangka panjang, sekali gus membebankan sistem pengurusan jemaah dan keselamatan negara.
Berdasarkan peraturan baru ini, visa pelancongan, perniagaan dan lawatan keluarga hanya akan diberikan dalam bentuk visa kemasukan tunggal dengan tempoh sah selama 30 hari.
Bagaimanapun, kategori tertentu dikecualikan daripada sekatan ini, termasuk visa haji dan umrah; visa diplomatik dan rasmi; serta pemegang permit pemastautin.
Sebaliknya, pemegang visa pelancongan, perniagaan dan lawatan keluarga dari 14 negara yang terjejas kini perlu membuat permohonan baru setiap kali ingin memasuki Arab Saudi.
Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengawal kemasukan pelawat serta memastikan pengurusan jemaah haji yang lebih sistematik.
Pihak berkuasa Arab Saudi menegaskan bahawa perubahan ini hanya bersifat sementara, tetapi tiada garis masa khusus diberikan mengenai bila dasar ini akan dikaji semula.
Oleh itu, bakal pelawat digesa untuk merancang perjalanan mereka lebih awal, memantau maklumat rasmi di portal visa kerajaan (visa.mofa.gov.sa), serta memastikan pematuhan ketat terhadap syarat visa yang diberikan.
Seorang pegawai kerajaan berkata: “Ini bukan satu larangan kekal. Kami akan menilai kesannya dari semasa ke semasa, tetapi buat masa ini, keutamaan kami adalah untuk memastikan sistem visa tidak disalahgunakan.”
Sementara itu, beberapa pemerhati industri pelancongan berpendapat perubahan ini mungkin akan memberi impak kepada jumlah pelawat dari negara-negara yang terjejas.
“Ramai pelawat yang biasa mendapatkan visa jangka panjang kini terpaksa membuat permohonan baru setiap kali ingin ke Arab Saudi. Ini sudah tentu akan menambah kos dan prosedur,” kata seorang ejen pelancongan di Jakarta.
Bagi mereka yang bercadang untuk mengunjungi Arab Saudi dalam tempoh terdekat, nasihat utama adalah untuk mengikuti perkembangan dasar ini dengan teliti.
“Kita perlu bersedia dengan perubahan mendadak seperti ini dan sentiasa mengikuti garis panduan kerajaan Arab Saudi,” kata seorang pegawai pelancongan di Kuala Lumpur. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg