KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan pengendali portal berita Malaysiakini dan dua lagi untuk memfailkan pernyataan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Kerjanya, Datuk Ab Rauf Yusoh pada 1 Julai ini, lapor Utusan Online hari ini.
Laman berita itu juga menyatakan, Timbalan Pendaftar Norfauzani Mohd. Nordin turut memerintahkan Najib dan UMNO untuk memfailkan penyataan balas pada 15 Julai ini.
Sementara itu, Malaysiakini hari ini turut melaporkan bahawa saman yang dikemukakan Datuk Seri Najib terhadap Mkini Dot Com Sdn Bhd, yang mengendalikan portal berita Malaysiakini, akan didengar di hadapan hakim lain.
Perkara itu diketahui hari ini apabila kes itu didengar oleh Timbalan Pendaftar Norfauzani Mohd Nordin.
Apabila Malaysiakini menerima saman yang difailkan oleh firma Hafarizam, Aishah dan Mubarak pada 3 Jun, dokumen yang disampaikan oleh firma itu menyatakan perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, SM Komathy Suppiah.
Bagaimanapun, menurut peguam Malaysiakini, Ashok Kandiah, kes itu berjalan di hadapan Timbalan Pendaftar Norfauzani hari ini.
"Semasa itu, timbalan pendaftar berkata ia ditetap akan didengar oleh pesuruhjaya kehakiman, Datuk Kamaluddin Md Said," katanya.