Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MalaysiaNow dikenakan arahan pembetulan Pofma susulan laporan layanan pengedar dadah M’sia

MHA kenal pasti lima kenyataan palsu
Nov 15, 2025 | 5:41 PM
MalaysiaNow, Pofma, Pannir Selvam Pranthaman
Laporan MalaysiaNow itu mengandungi kepalsuan mengenai layanan terhadap pengedar dadah yang dihukum mati, Pannir Selvam Pranthaman, kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA). - Foto fail

Portal berita Malaysia, MalaysiaNow, diarah supaya menerbitkan notis pembetulan berhubung kenyataan palsu dalam rencana bertarikh 9 November mengenai layanan terhadap Pannir Selvam Pranthaman, pengedar dadah dari seberang Tambak, yang dihukum mati pada 8 Oktober.

Pejabat Pofma, yang mentadbir Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma), telah diminta Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong, agar mengeluarkan arahan pembetulan kepada MalaysiaNow di bawah undang-undang berita palsu Singapura, kata Kementerian Dalam Negeri (MHA) pada 15 November.

Di bawah arahan itu, MalaysiaNow dikehendaki menyiarkan notis pembetulan bersama laporan asal di laman webnya, hantaran Facebook, X dan LinkedIn, lapor The Straits Times (ST).

Dalam kenyataannya, MHA mengenal pasti lima kepalsuan dalam rencana berkenaan.

Pertama, hukuman mati Pannir dilaksanakan tanpa mengambil kira kedaulatan undang-undang, kata MHA, dengan menyatakan semua banduan yang menunggu hukuman mati diberikan proses undang-undang sewajarnya.

Hukuman mati hanya akan dijadualkan apabila banduan tersebut telah menghabiskan semua proses undang-undang, dan selepas isu pengampunan telah diuruskan, kata MHA.

Ia memperincikan proses dari sabitan dan hukuman ke atas Pannir oleh Mahkamah Tinggi pada 2 Mei 2017, hingga 9 Februari 2018, apabila Mahkamah Rayuan menolak rayuan Pannir terhadap sabitan dan hukumannya.

Kementerian itu menambah pada masa hukuman mati Pannir, semua permohonannya telah selesai, yang terakhir ditolak pada 7 Oktober.

Enam petisyen untuk pengampunan juga telah dikemukakan kepada Presiden bagi pihaknya, tetapi semuanya ditolak.

Panir awalnya dijadualkan menjalani hukuman mati pada 24 Mei 2019, tetapi diberikan dua penangguhan.

Ini adalah kerana permohonan saat akhir sehari sebelum hukuman gantung yang difailkannya untuk mencabar penolakan petisyen pengampunannya, yang kemudian ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 26 November 2021.

Dia kemudian dijadualkan menjalani hukuman mati sekali lagi pada 20 Februari 2025, tetapi diberikan penangguhan kedua untuk membuat permohonan lagi tetapi telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 5 September.

“Justeru, adalah palsu dan mengelirukan untuk mencadangkan hukuman mati ke atas Pannir pada 8 Oktober telah dijalankan tanpa mengambil kira kedaulatan undang-undang,” kata MHA.

Kenyataan palsu kedua berkaitan dengan keputusan pemerintah tidak mengeluarkan sijil bantuan substantif kepada Pannir yang mendakwa dia telah membantu CNB dengan memberikan maklumat yang membawa kepada penangkapan seorang pengedar dadah bernama Zamri Tahir.

Pannir tidak diberikan sijil sedemikian kerana Pendakwa Raya memutuskan dia tidak memberikan bantuan substantif kepada CNB, kata MHA.

Pesalah dadah yang dikatakan telah membantu CNB secara substantif dalam menggendalakan kegiatan mengedar dadah di dalam dan luar Singapura boleh dihukum penjara seumur hidup dan dirotan, dan bukannya ke tali gantung, jika mereka didapati bertindak hanya sebagai pengirim dadah berkenaan.

Mengenai kepalsuan ketiga dan keempat melibatkan kenyataan CNB secara rahsia memudah cara temu bual antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (NCID) Polis Diraja Malaysia dengan Pannir, CNB menyatakan ia diatur pada 27 September susulan permintaan rasmi oleh jabatan berkenaan.

Kenyataan palsu kelima oleh MalaysiaNow mendakwa pegawai Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) cuba mengelirukan keluarga Pannir supaya menandatangani borang yang menyatakan semua barang miliknya telah diserahkan kepada mereka.

Sebelum hukuman mati, Pannir meminta untuk menyerahkan surat dan puisi tulisan tangannya kepada keluarganya, kata MHA.

SPS menyemak surat dan puisi tersebut dan menilai kandungan beberapa halaman yang menjejas keselamatan atau ketenteraman penjara. Halaman itu kemudian disimpan SPS seperti yang dibenarkan di bawah undang-undang, kata MHA.

Selepas hukuman mati Pannir, pegawai SPS bertemu dengan keluarganya untuk menyerahkan barang-barangnya dan meminta mereka menandatangani borang yang mengesahkan barang-barang yang tertera pada borang itu sudah dikembalikan kepada mereka.

Keluarga Pannir kemudian mendakwa beberapa halaman dokumen Pannir hilang dan diberitahu dokumen yang tidak memenuhi garis panduan disimpan pihak penjara. Mereka tidak menandatangani borang itu.

Dalam pada itu, mengulas arahan pemerintah Singapura, portal MalaysiaNow, berkata ia menolak tuntutan tersebut dan sebaliknya, hanya akan memasukkan kenyataan MHA dalam semua pautan yang disebut oleh notis Pofma.

“SPS tidak pernah cuba mengelirukan keluarga Pannir supaya menandatangani borang yang menyatakan semua harta bendanya dikembalikan kepada mereka.

“Pemerintah (Singapura) memandang serius tentang komunikasi maklumat palsu yang disengajakan,” jelas MHA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg