Seorang warganegara Malaysia telah diberi penangguhan pelaksanaan hukuman mati pada 19 Februari, di bawah satu undang-undang baru yang memberi kejelasan mengenai bila hukuman mati boleh dilaksanakan selepas semua jalan rayuan telah habis diteroka.
Pannir Selvam Pranthaman, yang disabitkan pada 2017 kerana mengimport 51.84g heroin ke Singapura dan dijatuhi hukuman mati mandatori, dijadual menjalani hukumannya pada 20 Februari, sebelum Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan agar permohonannya boleh didengar.
Dalam penghakiman bertulis, Hakim Woo Bih Li berkata beliau memerintahkan penangguhan itu sementara menunggu penentuan aduan Pannir kepada Persatuan Undang-undang terhadap bekas peguamnya, serta keputusan cabaran perlembagaan terhadap andaian yang dibuat di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, lapor The Straits Times.
Di bawah Seksyen 18(1), seseorang yang terbukti memiliki barang tertentu yang mengandungi dadah terkawal diandaikan memiliki dadah itu dalam simpanannya, sehingga dia membuktikan sebaliknya.
Perintah penangguhan dibuat selepas Akta Permohonan Pasca Rayuan dalam Kes Hukuman Mati (Akta Pacc), yang diluluskan oleh Parlimen pada 29 November 2022, berkuat kuasa pada 28 Jun 2024.
Kementerian Undang-undang di laman webnya berkata bahawa undang-undang baru itu melindungi pentadbiran keadilan dan kedaulatan undang-undang.
Akta Pacc bertujuan mencegah penyalahgunaan proses mahkamah.
Ia menetapkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh banduan hukuman mati sebelum memfailkan permohonan lanjut untuk menangguhkan hukuman mati selepas mereka kehabisan rayuan mereka.
Hanya Mahkamah Rayuan boleh mendengar permohonan sedemikian dan, antara pertimbangannya, ia mesti menentukan sama ada permohonan itu mempunyai prospek kejayaan yang munasabah dan jika terdapat kelewatan dalam failkannya.
Pannir diberi kebenaran untuk memfailkan permohonan Paccnya atas dua alasan.
Dalam afidavit, dia berkata bahawa dia adalah saksi material dalam aduan kepada Persatuan Undang-undang terhadap bekas peguamnya, Encik Ong Ying Ping.
Dia berkata dia tetap berminat dalam keputusan itu dan menambah bahawa dia mungkin bertindak terhadap Encik Ong untuk mendapatkan semula yuran dan ganti rugi.
Antara lain, Pannir mendakwa bahawa peguamnya itu telah menekan dan mengelirukannya untuk menandatangani satu notis untuk bertindak secara peribadi.
Dia berkata Encik Ong juga beritahunya tentang keengganan mewakilinya hanya tiga hari sebelum perbicaraan pada Ogos 2024.
Hakim Woo menyatakan bahawa Persatuan Undang-undang pada 13 Januari telah memaklumkan kepada Pannir bahawa aduannya akan dirujuk kepada pengerusi panel siasatan oleh Majlis Persatuan Undang-undang, yang akan membentuk jawatankuasa untuk menyemak aduan itu.
Beliau berkata prosiding terhadap Encik Ong tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kewajaran sabitan atau hukuman Pannir, tetapi menambah bahawa terdapat prospek kejayaan yang munasabah di bahagian ini.
Hakim berkata Pannir telah bertindak segera dalam memberi penjelasan terperinci tentang dakwaan salah laku Encik Ong kepada peguamnya sekarang, Encik Too Xing Ji - selewat-lewatnya pada 6 September 2024, dan dia telah mendapatkan bantuan Encik Too seawal Ogos atau September 2024 untuk menyediakan aduan terhadap Encik Ong.
Kata Justice Woo: “Oleh itu, saya tidak dapat membuat kesimpulan pada peringkat ini bahawa aduan pemohon hanyalah langkah sementara untuk melambatkan pelaksanaan hukumannya.”
Hakim itu juga membenarkan permohonan Pannir atas alasan bahawa cabaran perlembagaan terhadap peruntukan Akta Penyalahgunaan Dadah kekal di hadapan Mahkamah Rayuan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg